Kini trending di media sosial, ada segelintir netizen menuduh guru ‘makan gaji buta’, tidak kurang juga yang menyuruh golongan pendidik perlu menjadi pengasuh dan menjaga sekatan jalan raya apabila sekolah ditutup sehingga hujung tahun.

“Sepanjang PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ini cikgu bukan buat apa. Elok gaji dipotong sebab semuanya makan gaji buta sahaja!”

Jangan cuba-cuba menyuruh mereka menjadi frontliners di jalan raya, silap hari bulan ramai yang tidak lepas sekatan nanti.

Belum sempat menjawab soalan Matematik, surat rentas daerah anda pun boleh ‘ditolak’ sebab salah ejaan dan tersilap format.

Hakikatnya, itu baru sedikit. Sebenarnya masih banyak lagi tuduhan dan sindiran yang dilemparkan kepada golongan berkenaan.

Lebih memedihkan, soal gaji mereka juga turut disentuh dan dipertikai. Memang ‘bikin panas’.

Saya yang mendengar pun rasa kecewa dan marah, apatah lagi mereka. Seolah-olah pengorbanan dan usaha yang mereka lakukan selama ini hanya sia-sia.

Jangan kata cikgu-cikgu berhati kebal. Mereka macam kita juga, punya perasaan. Takkanlah sedikit pun tidak terasa dan terhiris hati.

Jika sebut tentang pengorbanan, banyak yang hendak dibicarakan, 10 muka surat pun tak cukup hendak ditulis betapa banyaknya usaha mereka mendidik anak bangsa.

Tak pernah pun mereka mengeluh penat, mahupun bosan.

Seperti Cikgu Muhammad Nazmi Rosli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang Lawas, Sarawak, ada sahaja kelainan yang dibawanya ketika pembelajaran di dalam kelas.

Terbaharu, beliau membina ‘kolam renang’ di dalam kelas dengan menggunakan plastik sampah berwarna biru yang membuatkan ramai teruja dan tidak kurang juga yang rasa terharu.

Sebelum ini beliau pernah tular di media sosial dan televisyen gara-gara beliau menjelajah 13 kampung untuk menghantar kerja sekolah murid mendapat perhatian netizen.

Disebabkan masalah capaian internet dan telefon, juga kemudahan elektrik yang sering dicatu, beliau mengambil inisiatif dengan menghantar bahan pembelajaran kepada 111 muridnya.

Inisiatif

Seorang lagi ‘wira tak didendang’ bernama Mohamad Sahaimi Zainal yang merupakan Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Simpai, Pahang (sekolah orang asli) atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mie Ubai.

Kisah beliau di GPS Bestari yang bertajuk ‘Kagum dan terkejut! Bagaikan buruh binaan, lelaki bancuh simen di sekolah itu rupa-rupanya...’ tular di media sosial.

Kepandaiannya dalam pertukangan dimanfaatkan untuk sekolah dan murid.

“Setakat bertukang dan kerja berat, memang saya minat. Bagi saya, tugas sebagai pendidik yang mengajar di dalam kelas sudah menjadi tanggungjawab tetapi kerja-kerja pertukangan ini adalah sumbangan saya untuk sekolah, misalnya binaan pondok dan tempat duduk. Sekurang-kurangnya bolehlah jadi tempat murid berehat dan belajar,” kata Cikgu Mie Ubai.

Jadi, hentikanlah mempersoal dan menyalahkan golongan pendidik. Jika ada antara anda yang berfikir guru-guru gembira apabila sekolah tutup, sebenarnya anda silap. Hakikatnya, mereka menangis!

“Tiba-tiba dapat tahu hari terakhir pelajar di sekolah hari ini. Sedih sangat.”

“Aku baru siap fotostat kertas exam (peperiksaan) akhir tahun ni..”

“Tengok balkoni panjang sekolah, kosong...”

“Hari terakhir pakai tanda nama untuk tahun 2020. Kalau teringin nak pakai, boleh pakai masa Google Meet. Hari ini saya dah boleh menerima hakikat selepas sepanjang petang semalam saya menangis.”

Itu hanya segelintir rintihan. Sebenarnya masih ramai lagi yang bersedih. Namun, sedih itu sedikit pun tidak membuatkan jiwa mereka mati, sebaliknya mereka bangkit untuk anak bangsa.

Pembelajaran dalam talian mula dirancang, tidak kurang juga ada yang sudah mula memanaskan enjin menempuh puluhan kilometer nun jauh di pedalaman semata-mata mahu menghantar bahan pembelajaran.