PENGURUSAN kewangan bagi cikgu muda yang baru posting memang merupakan satu cabaran. Baru pegang gaji sendiri, duit sendiri, maka banyaklah benda yang nak rasa dan beli.

Apatah lagi komitmen pada awal karier nie memang lain macam sikit. Masa ni lah nak simpan duit untuk komitmen yang besar, macam untuk kahwin, untuk beli kereta, untuk beli rumah, nak bantu keluarga, nak modal berniaga. Itu belum lagi nak guna untuk gaya hidup, macam nak beli baju pakai, gajet, barang mekap dan lain-lain yang sebelum nie, mampu tengok saja.

Saya sendiri struggle untuk lima tahun pertama bekerja dalam menguruskan kewangan sendiri! Cukup makan saja. Tambah lagi menarik, sebab cikgu-cikgu ni ada slip gaji dan senang buat loan, maka ramai lah yang datang mengerumun nak offer macam-macam tawaran. Maka sebab tu tak hairan, ramai kalangan pendidik yang akhirnya terperangkap dengan jerat kewangan.  

Ini termasuk dengan kena tipu oleh Skim Cepat Kaya, MLM dan perniagaan lain yang akhirnya terjerat kena bayar loan bertahun-tahun untuk benda yang tak ada.

Pendek cerita lepas tu akan berada pada keberhutangan yang serius, iaitu jumlah hutang lebih daripada 60% pendapatan. Nauzubillah! Semoga kita semua dijauhkan daripada hutang.

So sebelum anda dijerat dan terjerat, jom kita baca beberapa tip yang saya boleh kongsikan daripada pengalaman saya dan rakan.

1) Keperluan atau Kehendak

Ini paling basic. Walaupun mudah, tapi ramai yang tersilap langkah. Nak bezakan, apa yang perlu, dan apa yang teringin. Jadi, buat list supaya anda clear apa yang keperluan dan apa yang kehendak. Utamakan barang keperluan daripada kehendak. Macam saya kalau teringin sangat pun nak beli gajet ke apa ke, biasanya saya letak sasaran beberapa bulan duit lebihan baru lah beli.

2) Catat perbelanjaan

Ini antara benda saya buat masa mula pegang gaji. Dekat tiga tahun juga buat sebab nak catu duit. Jadi saya akan tulis berapa banyak saya nak belanja untuk makan, bayar duit kereta, sewa rumah, bil dan lain-lain. Tujuan dia supaya nampak jelas ke mana duit kita mengalir. Jadi boleh lah berhemah sikit untuk bulan berikutnya.

3) Elak MLM

Seriously benda ni paling BIG NO NO. Tak yah lah rasa cepat terpedaya sangat dengan benda-benda yang jenis takdak buat apa, takyah usaha, tapi duit boleh masuk jadi cepat kaya. Serious tipu bro! Apatah lagi bila tiba-tiba dah lama tak contact, sekali ajak pi makan belanja lah apa lah, last skali nak ajak kita join benda-benda macam nih.

Modus operandi depa semua sama saja, “Ini bukan MLM” katanya. Tapi hakikat dia lebih kurang saja. So elakkan kena tipu ok, sebab satgi tak pasai anda nak kena buat loan, berhutang banyak-banyak untuk benda yang tak ada last skali. Lebih malang lagi bila benda hangus, anda plak yang kena tanggung hutang loan bertahun-tahun.

SO JANGAN!

4) Elak kad kredit

Masa zaman saya mula jadi cikgu dulu, memang banyak tawaran kad kredit. Semua bank pakat nak bagi free, tunggu nak jerat kita bila kita guna saja. Dan godaan ada kad kredit ni memang lah sangat tinggi! Duit tak ada, tapi boleh ‘beli’ barang. Huhuhu. Lepas tu ko hadap lah bunga dan interest setiap bulan tu.

Walaupun ada yang kata guna kad kredit ni ok, takdak masalah kalau pandai urus, boleh guna masa kecemasan, etc tapi seperti yang saya kata godaan dia sangat tinggi weh. Jadi kalau anda berhasrat juga nak guna, maka fahamkan betul-betul syarat dan peraturan, supaya anda tidaklah ditipu dengan hidden charges tu.

Dengan gaya hidup sekarang ni yang banyak dipengaruhi dengan kehidupan media sosial apa semua, mujur sekarang ni, dah tak banyak bank yang kejar promosi kad kredit. Semua dah tukar kepada Kad Debit. Ko ada duit, ko belanja. Ko takdak duit, duduk senyap-senyap ok.

Bergaya dengan kad kredit, jangan sampai duit tak ada.

5) Simpan 10% atau paksa

Ini antara satu teknik simpan duit yang saya rasakan berkesan untuk saya. PAKSA! So, start awal kerja saya dah mula berkira-kira nak asingkan sedikit duit supaya boleh jadi simpanan masa kecemasan terutamanya.

Kalau ikut teknik kawan saya, dia akan simpan 10% daripada pendapatan dia. So katakan gaji dia RM3000, maka automatik dia akan simpan RM300 setiap bulan.

Macam saya pula, awal-awal keje dulu gaji pon ciput dan banyak komitmen lain termasuk nak bayar loan belajar dulu. Maka saya potong siap-siap RM50 jer untuk masuk ke Tabung Haji. Sengaja saya potong kecik, supaya duit tu tak terasa sangat. Kiranya, simpan teruslah, tak mau usik. Bila dah tahun ke 2 atau ke 3 baru lah saya upkan sket ke RM100 setiap bulan dan seterusnya.

Tahun berikutnya, potong pulak ke ASB dengan kadar RM100. So benda simpanan ni kita boleh buat ansur maju berapa nak simpan. Potong je lah berapa, pendek kata, jangan sampai anda pergi korek balik!

6) Kumpul dan beli

Ni satu lagi teknik kawalan diri yang saya guna. iaitu kumpul dulu baru beli. Katakanlah saya teringin nak beli kamera DSLR. So saya survey dulu berapa harga dia, dan akan cuba bandingkan dengan baki duit yang saya ada pada setiap bulan.

Katakanlah, perlu ambik masa sampai enam bulan kumpul duit, maka saya akan set betul-betul sasaran simpanan. Sebab saya langsung tak ada side income masa tu, maka duit simpanan boleh ditambah melalui pengurangan duit belanja bulan-bulan. Prinsip saya, seboleh mungkin saya cuba elak berhutang yang tak mampu bayar. Sebab saya rasa seperti tidak ada keberkatan dalam kita berhutang. Nanti akan rasa macam tak habis-habis jer bayar hutang tu. Memang menjerat kita balik tu nanti.

7) Beli Kereta?

Ukur baju di badan sendiri orang kata. Maka jika anda terpaksa beli kenderaan masa awal-awal kerja, buat lah pilihan lebih tepat. Beli dulu kereta dalam lingkungan mampu milik, sekitar RM40k - 50k. Tak perlu nak nampak hebat bergaya, lepas tu anda yang sakit perut nak menghadap hutang bulanan. Padahal guna kereta tu, seminggu sekali saja.

Bukan setakat tu, bila beli kereta ni kita kena consider juga duit untuk minyak, tol, parking, road tax dan insuran, serta kes rosak dan nak baiki. Semua ni kena ambil kira jugak tau!

Ada juga yang bagi tip mudah, nak tengok kereta mana yang sesuai dengan tahap pendapatan kita. Simple saja. Kalau gaji RM3000, maka darabkan dengan 12 bulan dapatlah RM36,000. So itu ler harga kereta yang sepadan dengan gaji anda.

Buat yang tak rasa terdesak sangat nak beli kereta, so takyah beli kereta lagi ok. Bila untuk keperluan, sebab serious anda boleh guna simpanan tu untuk lebih banyak benda yang baik.

8) Lebih baru belanja

Satu lagi tip yang biasa saya amalkan adalah ada duit lebih selepas disimpan, baru lah kita belanja. Bukannya tunggu lebih belanja baru kita nak simpan. Maknanya, lepas kita dah tolak apa semua perbelanjaan bulanan yang wajib, bayar hutang apa semua, tolak siap-siap duit simpanan, baki yang tinggal tu barulah untuk keperluan kita hooray hooray.

9) Side Income

Tip akhir ni adalah jika anda nak stabilkan siket kewangan anda. Saya tak galakkan jika sehingga ini mengganggu tugas hakiki kita sebagai guru. Pendapatan sampingan ini buatlah ikut tujuan kenapa anda nak kumpulkan simpanan. Motif orang tak sama.

Seperti saya sendiri, saya dapatkan pendapatan sampingan melalui menulis blog pendidikan pada tahun ke-5 saya bekerja. Tidak lah kaya raya, tetapi cukup untuk menampung keperluan saya langgan Internet setiap bulan. Jadi ok lah kan.

Ada kawan yang gigih mengajar tuisyen dan juga menjadi tutor peribadi. Terutamanya mereka yang dapat mengajar di kawasan bandar yang lebih berkemampuan. Ada yang jual online dan macam-macam lagi. Apa pun anda nak buat, tetap saya ingatkan, bahawa jangan lah sehingga tugas hakiki kita sebagai guru terganggu dan kedua, janganlah sesekali kita terjerat dengan MLM atau Skim Cepat Kaya.

Side income guru janganlah sehingga ganggu tugas hakiki kita.

Ok, demikianlah sedikit perkongsian kepada adik-adik yang baru menjadi guru. Uruskanlah kewangan anda dengan baik. Jangan terdorong sangat dengan hasutan syaitan untuk membazir. Jangan tiru kawan yang melaram kemain nampak kaya, nampak hebat kat Instagram, padahal duit setiap bulan pun tak ada.

Kena ingat, keperluan duit dan komitmen kewangan setiap orang tak sama. Mudahan kita jadi orang yang beringat masa susah dan senang. Insya-Allah ada rezeki nanti saya kongsikan pulak beberapa amalan yang boleh membantu kita untuk murah rezeki pulak ya. Sampai jumpa lagi yer. Muahx!

Sumber: Blog Cikgu Hailmi

Artikel menarik:

Cikgu obes dan kurus. Ini yang perlu anda buat bila berada dalam kategori ini!

Penting ke menjadi guru yang berwatak? Ikuti perkongsian Guru Cemerlang Sains ini

Cikgu yang senyap dan pendiam...anda sebenarnya menjadi pilihan utama warga sekolah