Hampir seminggu sesi persekolahan bermula, kini timbul pelbagai rencam andaian dan rungutan sesetengah ibu bapa dengan cara pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ada mendakwa ia terlalu rumit, sukar untuk menghadam dengan baik perlaksanaannya. Tidak kurang juga yang mengatakan guru sebenarnya belum bersedia dan pembelajaran dalam talian ini tidak masuk akal.

Bagaimanapun, ia hanya respon segelintir kecil ibu bapa, masih ramai lagi yang memahami situasi terkini pendidikan era pandemik.

Menurut Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim, warga pendidik itu sendiri seharusnya diberi ruang dan peluang untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu.

“PdPR ialah singkatan kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah. Pelaksanaannya  juga boleh dilaksanakan di mana-mana lokasi yang bersesuaian, sama ada di rumah, di luar rumah mahupun di pusat komuniti.

“Ia juga boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah, sama ada secara dalam talian, luar talian, mahupun secara off-site. Pada saya, niat murni kerajaan adalah bersifat serampang dua mata, iaitu untuk memastikan PdP dapat diteruskan dan pada masa yang sama menghalang daripada tersebarnya jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.  

Bagaimanapun, timbul beberapa isu, dari segi kefahaman dan implementasi. Sesetengah ibu bapa tidak berpuas hati dan mula menyalahkan guru, serta pihak kementerian.

Bersikap terlalu pesimistik, dan beranggapan PdPR ini kurang berkesan serta terdapat banyak ‘lompong’ dalam sistem pendidikan membuatkan keadaan menjadi bertambah rumit.

“Baru-baru ini tular isu ibu bapa yang mendakwa guru-guru tidak mengajar tetapi hanya sekadar meminta murid menonton YouTube. Gambarannya seolah-olah guru malas mengajar ataupun tidak kreatif dalam melaksanakan PdPR.

“Dalam hal ini, ada kemungkinan ibu bapa ataupun murid-murid kurang faham pendekatan guru-guru yang menggunakan medium tersebut sebagai salah satu daripada aktiviti pembelajaran dan pengajaran,” jelasnya.

Menurut bekas guru dan Penolong Kanan itu lagi, trend generasi muda yang gemar menggunakan aplikasi media sosial seperti YouTube, TikTok, dan Instagram untuk berinterakasi menjadi asas kepada pertimbangan guru untuk menggunakan medium tersebut dalam sesi PdPR.

Justeru, amatlah diharap ibu bapa dan semua pemegang taruh wajar memberikan peluang kepada guru-guru untuk melaksanakan tugas mereka dengan sebaik-baik mungkin.

“Murid-murid perlu bersikap positif dan cuba mengadaptasi pendekatan pembelajaran yang belum pernah dilalui sebelum ini. Sementara ibu bapa pula harus memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan internet dan peralatan yang sesuai untuk pembelajaran.

“Pun begitu, tidak ramai yang berkemampuan untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan. Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan penting dengan menyediakan kemudahan-kemudahan awam untuk memudahkan pelajar mengakses internet,” ujar beliau.

Katanya, dalam masa sama, KPM juga perlulah menggiatkan usaha dengan memperbanyakkan bahan yang boleh diakses melalui TV ataupun internet.

Modul pembelajaran melalui aplikasi telefon mobail juga perlu dibangunkan secara intensif. Bahan pembelajaran konvensional perlu ditukar menggunakan teknologi masa kini sebanyak dan sebaik mungkin.

Tambah beliau, dari segi kekangan masa, bagi sesetengah ibu bapa yang  bekerja dari rumah, tidak perlu rasa tertekan  jika perlu memantau pembelajaran anak-anak.

Pemantauan bukan bermaksud mengambil alih tugas guru tetapi pemantauan dalam konteks mengambil tahu apa yang anak mereka sedang belajar.  

Ditanya tentang pengalaman beliau sebagai guru sebelum ini, Md Nasir mengakui, cabaran guru masa kini adalah lebih mencabar berbanding 30 tahun dulu.

Antara cabaran terbesar golongan pendidik hari ini adalah kelahiran media sosial dan kuasa tular yang menjadi igauan guru-guru dan warga sekolah.  Walaupun demikian,ia bukanlah halangan, sebaliknya guru-guru perlu menukarkan cabaran tersebut kepada peluang.

“Jika kita rasa kita gagal melaksanakannya, cuba bangkit dan perbaiki pendekatan kita. Kegagalan bukan penamat, sebaliknya adalah pengalaman dan kematangan untuk menterjemahnya kepada kejayaan. Sepertimana kata Abraham Lincoln, kejayaan bermula dari satu kegagalan ke satu kegagalan yang lain, tanpa kehilangan semangat,”akhirinya.

Info

Nama: Prof. Dr. Md Nasir bin Ibrahim

Asal: Kg. Raja, Pagoh, Muar, Johor.

Jawatan: Pensyarah, di Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pendidikan:

Post-doktoral di Sheffield Hallam University, United Kingdom

PhD di University of Tasmania, Australia

M.A di McGill University, Kanada

B.A (Hons.) USM, Pulau Pinang

Art Teachers' Diploma, UiTM, Shah Alam

Sijil NPQH, Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands

 

Pengalaman mengajar:

Mengajar dari tahun 1989-2002.

Pensyarah dari tahun 2002 sampai sekarang.

 

Sekolah:

1.    SMK Bekok, Segamat, Johor

2.    SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Johor

3.    SMK Bukit Baru, Melaka.

4.    SMK Munshi Abdullah, Melaka.