Pembelajaran di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang pendemic Covid 19 memberi kesukaran kepada pelajar dan juga para ibu bapa.

Pengumuman kerajaan untuk membenarkan pembukaan sekolah secara berperingkat memberi kelegaan kepada ibu bapa dan pelajar untuk meneruskan aktiviti pembelajaran dengan lebih teratur terutamanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pembukaan sekolah pada hari ini merupakan norma baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia, apabila pelajar dan guru perlu mematuhi pelbagai Standard Operating Procedure (SOP) bagi mencegah penularan wabak covid 19.

Ikuti kupasan lanjut Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Ahmad Aizuddin Md Rami

Bagi memastikan usaha tersebut tercapai, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa, pentadbir sekolah, dan guru-guru yang terlibat dengan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam mengurus pelajar di sekolah mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Malahan, bagi memastikan kelancaran proses pembukaan sekolah, pihak pentadbir sekolah, guru-guru dan kakitangan sekolah telah pun memberikan taklimat ringkas pada setiap hari kepada pelajar pelajar dan guru.

Pihak pentadbir dan guru-guru harus memastikan penjarakan sosial berlaku sepanjang keberadaan pelajar di sekolah. Bagi memastikan proses pembelajaran berlangsung dalam keadaan selamat di bawah pendemik Covid 19, semua pihak disarankan merujuk kepada garis panduan pengoperasian sekolah yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Kerjasama semua pihak dalam hal ini amat penting dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar dan bebas dari gejala Covid 19.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan utama sebelum menghantar anak-anak ke sekolah dengan mengetahui maklumat asas dan terkini mengenai jangkitan wabak ini dan memastikan bahawa anak yang dihantar ke sekolah dalam keadaan sihat dan bebas dari batuk, selsema bagi mengelakkan penyebaran kepada pelajar yang lain sepanjang keberadaan pelajar di sekolah.

Dalam usaha mengekang penularan Covid 19, ibu bapa juga disarankan supaya membekalkan anak-anak dengan penutup hidung, kain sapu tangan dan lebih baik sekiranya membawa makanan dari rumah.

Kesedaran pelajar juga amat penting dalam memastikan penularan Covid 19 dapat dielakkan. Semasa berada di sekolah, pelajar perlu mengamalkan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, elakkan bersentuhan dengan rakan-rakan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran serta mengetahui tahap kesihatan diri  semasa. Pelajar perlu memaklumkan kepada ibu bapa atau guru sekiranya mempunyai gejala tertentu dan terus kekal di rumah sekiranya demam.

Pembukaan sekolah sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua pelajar dan diharapkan pembukaan sekolah-sekolah berjalan lancar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam suasana yang selamat serta mematuhi segala Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.