TULISAN ini untuk peringatan calon peperiksaan 2019 tidak kira UPSR, PT3, SPM dan STPM. Sebagai seorang pendidik saya ingin ingatkan awal-awal.

Lima tahun punya kesalahan, dua minit sahaja mohon maaf.  Itupun masuk-masuk jumpa cikgu dengan muka 'seposen' sambil gelak-gelak "Cikgu, kami datang nak minta maaf".

Mudahnya. Memang guru ini adalah manusia yang tiada subsidi.  Bermula mengajar sehinggalah meningkatkan kemahiran diri semuanya duit poket sendiri. Lebih parah 'marker  pen' dalam kelas pun guna duit cikgu!

Inikan pula secebis kemaafan? Benar, orang yang memaafkan adalah satu kemuliaan.  Namun kalian sebagai pelajar cuba fikirkan selama berada di sekolah dan dalam kelas apakah kalian menjaga hati kami?

Buku yang disuruh bawa kalian tinggalkan, kerja rumah yang diminta buat beribu alasan  kalian berikan.

Ada ketika, kalian mencebik bibir, mengejek  dan mengata malah mengumpat kami sebagai  guru.

Guru tetap mengajar  kalian dengan hati terbuka. Kami endahkan apa  yang telah kalian lakukan kepada kami kerana kami tahu tugasan kami mendidik kalian.

Apabila peperiksaan hampir tiba, seperti satu adat di sekolah,  ramai-ramai pergi jumpa cikgu  yang mengajar kalian.

Tujuannya konon untuk minta maaf tapi kalian lupa sepanjang belajar kesalahan yang dilakukan bagai celah gigi sahaja. Di pandang mudah.

Mengapa nak peperiksaan sahaja baru nak minta halal ilmu dan mohon maaf?

Tahun 2019 kita tukar adat ini. Setiap kali tamat sahaja kelas mana-mana subjek salam dan mohon maaf kepada guru  tersebut dan mohon halal ilmu.

Kami guru-guru tak minta  duit atau material daripada kalian. Kami hanya kalian hormati ilmu yang kami berikan.

Kalian hormat dengan ilmu secara tidak langsung kalian  hormat kami. Kami guru tidak diminta takut pada kami. Kami minta anda pelajar hormat pada kami.

Dan sebenarnya kami  guru tiada pernah terlintas mendoakan yang buruk-buruk kepada kalian dan kesalahan kalian kami maafkan.

Cuma, kami guru-guru perlukan keikhlasan  dan kejujuran kalian dalam memohon kemaafan.

Nilai kemaafan sangat tinggi. Tiada dijual di  mana-mana. Secebis kemaafan daripada guru memberi impak yang besar dalam kehidupan anda sebagai manusia.

MOHD FADHLI OTHMAN
GURU SK JUBLI INTAN, RENGGAM KLUANG