TIP dan petua ini dikongsi oleh seorang bapa yang berkesempatan menghadiri taklimat dan perjumpaan waris bagi calon-calon peperiksaan UPSR di sekolah anaknya.

Lebih kurang 26 tip dan panduan telah diberikan oleh guru-guru yang mempunyai pengalaman dalam UPSR.

Jom hadam

1) Gunakan pensel 2B sebenar, dan bukan pensel mekanikal untuk menjawab soalan. Kalau boleh, sediakan pensel 2B yang berkualiti terbaik, atau exam grade. Kadang tulisan tak berapa jelas dan akan menyukar pegawai pemeriksa kertas.

2) Haramkan terus penggunaan pensel mekanikal, kerana penggunaan pensel ini akan buang masa anak-anak ketika menjawab soalan. Apabila mata pensel mekanikal habis, ia akan bazirkan masa jawab peperiksaan semata-mata untuk masukkan isi dakwat pensel mekanikal tersebut.

3) Latih anak-anak untuk menulis dengan tulisan yang jelas dan terang. Jika tulisan tidak cantik, sukar dibaca, tidak terang dan tunggang-langgang, kesannya akan menyebabkan pemeriksa sukar nak baca jawapan yang ditulis. Jika pemeriksa tidak faham, kemungkinan murid akan kehilangan markah yang berharga.

4) Untuk kertas Sains, ada kata kunci tertentu yang memberikan markah. Pastikan anak-anak berlatih menjawab soalan Sains menggunakan kata kunci ini, dan menulisnya dengan baik.

5) Gunakan pemadam yang berkualiti terbaik, kerana ada murid yang memadam satu-satu kesalahan sehingga mengoyakkan kertas. Cara padam yang tidak betul juga akan membuatkan kertas jawapan jadi comot. Pemeriksa kertas soalan/jawapan juga seorang manusia, dan pastinya mereka lebih senang memeriksa kertas yang kemas dan tidak comot.

6) Murid-murid atau calon UPSR perlu dilengkapkan dengan set alat tulis yang lengkap. Sila semak set kelengkapan ini setiap hari sebelum masuk ke dewan peperiksaan.

7) Latih anak-anak untuk melihat masa. Masa adalah ‘killer’. Latih anak-anak untuk menjawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Kata cikgu sekolah, ramai murid yang tidak tahu membahagi masa menjawab soalan lalu menyebabkan banyak soalan tidak terjawab di dalam masa yang ditetapkan.

8) Mengikut info yang diberikan oleh cikgu, turutan soalan adalah berkaitan antara satu sama lain. Maka, anak-anak perlu faham soalan dengan baik. Soalan kedua dan seterusnya akan mudah dijawab andai soalan pertama dijawab dengan betul dan tepat (dalam set soalan yang diberikan).

9) Sila hadir ke sekolah setiap hari tanpa ponteng. Setiap hari akan ada maklumat dan tip penting mengenai peperiksaan UPSR yang dikongsikan oleh rakan-rakan guru seluruh Malaysia.

10) Dalam peperiksaan Bahasa Malaysia, murid perlu pastikan bahawa tanda-tanda seperti noktah, sengkang, tanda seruan, tanda soal dan sebagainya ditulis dengan terang dan jelas. Tanda-tanda ini penting bagi memastikan jawapan yang diberikan itu betul, tepat, jelas maksudnya.

11) Untuk soalan Matematik, murid perlu menggunakan daya penyelesaian masalah. Jangan berfikir terlalu lama untuk mendapatkan penyelesaian. Lihat pada kata kunci soalan, contohnya - bakinya, perbezaannya, cari jumlahnya, berapa puratanya, untung, rugi, diskaun. Fikirkan jalan penyelesaian untuk masalah tersebut.

12) Pastikan murid menggunakan tanda, titik perpuluhan, dengan betul. Tulis dengan jelas dan terang. Kesilapan tertinggal titik perpuluhan boleh menyebabkan jawapan yang diberikan adalah salah, walaupun cara kira adalah betul!

13) Untuk soalan Matematik yang melibatkan unit seperti kg, gram, meter, sentimeter, minit, jam dan sebagainya; pastikan ia ditukar kepada unit yang dimahukan dalam soalan. Jangan lupa meletakkan unit-unit ini dalam jalan kira-kira penyelesaian masalah serta paling penting, ia mesti diletakkan pada jawapan akhir.

14) Tulis jawapan dengan jarak perkataan atau nombor yang sesuai. Jika terlalu jarak, ia akan menyebabkan ruang untuk menjawab soalan tidak cukup. Apabila ini berlaku, kemungkinan jawapan diberikan tidak berapa jelas di mata pemeriksa. Murid mungkin diberikan markah kosong atau markah penuh jawapan akan dipotong kerana masalah ini.

15) Ajar anak anda untuk bijak menggunakan ruang kotak atau baris jawapan. Ramai murid yang habiskan masa padam dan tulis kembali jawapan semata-mata untuk memastikan ia penuhi ruang dan kotak jawapan.

16) Buatlah latih tubi dan contoh soalan agar murid dan anak-anak berasa selesa dengan bentuk dan cara soalan diberikan. Mereka mungkin tidak tahu soalan sebenar, tetapi dengan memberikan gambaran tentang corak soalan yang bakal ditanya, ia akan mudah buat mereka faham.

17) Sebelum peperiksaan, ketatkan jadual ulang kaji. Hindarkan segala gangguan terutama gajet atau akses ke internet. Benda-benda ini akan mengurangkan daya ingatan mereka terhadap segala persiapan dan ulang kaji.

18) Buat ibu bapa, kurangkan aktiviti yang tiada kaitan dengan peperiksaan UPSR anak; contohnya pergi bercuti, melancong dan sebagainya. Kalau terpaksa, minta anak-anak membawa buku ulang kaji.

19) Pastikan kesihatan anak-anak sentiasa tip top, lebih-lebih lagi menjelang dan semasa peperiksaan.

20) Berikan makanan terbaik yang bagus untuk minda dan kecerdasan. Makanan seperti kismis, buah kurma patut dijadikan menu pagi harian.

21) Elakkan anak-anak dari makan dan minum makanan serta minuman yang telah dihurung semut atau yang lama terdedah.

22) Elakkan makan kepala ikan. Lebihkan pada sayuran dan buah-buahan segar.

23) Tidur dan dapatkan rehat yang secukupnya. Badan perlu rehat supaya dapat bekerja dengan baik. Otak yang telah digunakan semaksima ketika ulang kaji perlu disegarkan dengan tidur yang cukup. Tetapi jangan pula terlebih tidur.

24) Solat lima waktu perlu dijaga. Bukan sahaja oleh anak-anak yang bakal ambil peperiksaan UPSR tetapi juga ibu bapa.

25) Buat solat sunat hajat dan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kemudahan, kesihatan, daya pemikiran yang baik.

26) Mohon ampun maaf dan berdoa sebelum masuk dewan peperiksaan. Ucapkan alhamdulillah, selesai menjawab soalan peperiksaan.

Sumber: Blog Hasrul Hassan

ARTIKEL MENARIK:

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu di Malaysia

Silibus terkini makin susah..Cikgu Matematik ini kongsi tip penting untuk mak ayah ikut

Lagi tentang Fizik dan Kimia..bekas pelajar SMK Sungai Tiram kongsi 18 nota penting

Persediaan awal UPSR 2019..mak ayah mesti pastikan anak-anak tahun 6 wajib tahu perkara ini

1O tips ohsem ini mungkin membantu cikgu mengajar kelas belakang