"Di Jerman, adalah suatu pandangan normal dan biasa dilihat rak-rak buku awam percuma untuk dibaca. Kalian juga boleh mendapatkan buku-buku secara percuma di ‘Offentlicher Bücherschrank’ (Rak buku awam).

‘Offentlicher Bücherschrank’ adalah rak buku yang ditempatkan di kawasan-kawasan awam dan tumpuan lalu lalang orang ramai.

Begitulah hantaran Khairolizam Muhaidi menerusi posting di laman facebooknya, baru-baru ini.

Menurut beliau, rak-rak buku awam boleh dilihat di merata-rata tempat di Jerman.

"Ia boleh didapati di taman, di pusat bandar dan banyak lagi," ujarnya.  

Melihatkan pada posting ini, mungkin pihak sekolah boleh mengambil idea berkenaan dengan mewujudkan sudut-sudut membaca di sekolah.

Jika ada peruntukan, mungkin boleh membeli rak-rak buku dan meletakkan di persekitaran sekolah yang tertentu.

Dengan cara ini, ia boleh menarik minat murid-murid membaca buku.

Mari ikuti kisah rak buku di Jerman hasil tulisan Khairolizam Muhaidi.

Khairolizam Muhaidi

**********

Kebetulan bercerita tentang membaca dalam posting aku semalam. Satu perkara yang selalu aku kagumi ketika masuk menziarahi ke rumah orang Jerman adalah deretan ratusan buku yang tersusun rapi di beberapa rak.

Dari rak buku mengenai kisah kanak-kanak, rak kamus pelbagai bahasa, watak, novel, dongeng dan juga rak buku pelbagai negara-negara di dunia.

Aku sering mendapati kanak-kanak Jerman menghabiskan satu minggu atau buku yang jumlah halaman melebihi 600 muka surat.

Dalam penceritaan anak-anakku dari rakan-rakan sekolah mereka, menceritakan mereka banyak membaca buku sehingga 100 buku dalam setahun.

Tidak ada alasan untuk anda tidak membaca semasa tinggal di Jerman. Jika anda tidak membaca tidak lain tidak bukan tetapi hanyalah kerana kemalasan.

Di tengah-tengah trend membaca yang semakin meningkat melalui kaedah digital seperti e-book atau buku elektronik, ternyata buku berasaskan kertas masih sangat popular di kalangan pembaca Jerman.

Di Jerman, adalah suatu pandangan normal dan biasa dilihat rak-rak buku awam percuma untuk dibaca. Kalian juga boleh mendapatkan buku-buku secara percuma di ‘Offentlicher Bücherschrank’ (Rak buku awam).

‘Offentlicher Bücherschrank’ adalah rak buku yang ditempatkan di kawasan-kawasan awam dan tumpuan lalu lalang orang ramai.

Orang ramai boleh mengambil buku-buku dari rak buku ini secara percuma tanpa perlu mendaftar atau meletak nama. Mereka boleh meletakkan buku yang telah selesai dibaca, mengambil dan meminjam buku yang ingin dibaca atau menukar buku lain.

Tidak perlu bersusah payah mendaftar menjadi ahli seperti di perpustakaan. Dengan program sistem ini, buku-buku ini akan menjadi hak milik umum dan semakin berguna kepada orang ramai.

Satu kelebihan jelas adalah buku-buku ini dapat dibaca oleh lebih ramai orang daripada ketika dibiarkan mengumpul habuk dan debu di rumah.

Rak-rak buku awam ini boleh dilihat dan di mana-mana sahaja di merata-rata tempat di Jerman. Ia boleh didapati di taman, di pusat bandar, di pondok perhentian bas bahkan di kedai dobi cucian awam bagi mereka yang menunggu cucian mereka bersih dan kering.

Rak-rak buku yang dibina ini sangat kuat, kukuh dan tahan lasak dari sebarang cuaca ekstrem. Kadang-kala kita juga akan terjumpa rak-rak buku ini diperbuat dari pondok telefon terpakai.

Sehingga hari ini, rak-rak buku awam ini banyak terdapat di seluruh bandar besar dan kecil di Jerman bahkan di seluruh Eropah kerana minat membaca dari umum yang semakin meningkat.

Sudah tentu ada vandalisme berlaku di sana-sini tetapi biasanya ini bukanlah halangan besar untuk melakukan inisiatif program seperti itu.

Terdapat banyak penaja yang memberikan buku percuma dan orang perseorangan yang bersedia meluangkan masa untuk menjaga rak buku dan koleksi buku-buku ini.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah kalian fikir Malaysia sudah bersedia untuk memulakan sistem rak-rak buku di tempat awam seperti Jerman seterusnya menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia?

Sumber: Facebook Khairolizam Muhaidi

Artikel menarik

Kerana kemiskinan, pelajar pakai perca kain putih jahitan ibu ke sekolah. Cikgu Maisarah sebak

'Balik rumah, cikgu terus buka hadiah. Ada lori mainan, monyet dan sikat perapi dalam kotak kasut'