Setiap kali menjelang hari raya, para guru antara golongan yang paling sibuk membuat persiapan kerana rumah mereka bakal diserbu pelajar dan bekas pelajar.

Bekas pelajar mengambil peluang kunjung mengunjung ke rumah guru untuk bertemu semula rakan sekolah dan melepas rindu kepada guru yang pernah mencurah ilmu.

Tentunya berbeza dengan norma baharu Aidilfitri kali ini yang mana acara kunjung mengunjung perlu dihadkan.

Apatah lagi, aktiviti kunjung mengunjung hanya boleh dibenarkan pada hari raya pertama sahaja.

Bagaimanapun, cikgu boleh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikongsikan seorang penjawat awam, Firdaus Abdul Rahim, 37 dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ku Suhaila Ku Johari sekiranya ingin menerima tetamu.

SOP menerima tetamu untuk panduan guru:

1. Sediakan cecair pembasmi kuman.

2. Hadkan kedatangan tetamu.

3. Pastikan penjarakan sosial antara satu sama lain.

4. Pemakaian penutup mulut dan hidung.

5. Pastikan di rumah tidak mempunyai warga emas yang mempunyai sakit kronik.

6. Tandakan jarak satu meter di lantai rumah untuk memudahkan urusan tetamu mengambil juadah supaya tidak berhimpit.

7. Susun kerusi dengan jarak seperti mana ditetapkan.

8. Gunakan alat periksa suhu badan untuk mencatatkan suhu badan setiap tetamu sebelum dibenarkan masuk ke dalam rumah.

9. Catatkan nama dan nombor telefon setiap tetamu yang hadir.

10. Buat jadual kedatangan tetamu supaya tidak datang serentak.

11. Kena sediakan stok penutup muka dan hidung kerana mungkin ada tetamu yang datang tidak memakainya.

12. Lantik seorang ahli keluarga berperanan sebagai ‘pemantau’.

13. Cetak kertas peringatan dan tampal di setiap sudut rumah supaya tetamu tidak alpa.

Walaupun kelihatan agak leceh dan janggal, sebagai  tuan rumah, cikgu perlu menyediakan terbaik. Tetamu akan cenderung untuk menghormati tindakan berjaga-jaga tersebut.

Sekiranya cikgu berasa sukar untuk melaksanakan, sebaiknya elaklah daripada menerima tetamu.

Semakin hampir lebaran, semakin kuat jugalah perasaan untuk 'Balik Kampung', tradisi yang sudah sinonim dengan amalan beraya warga kota.

Ada yang menyimpan cuti tahun semata-mata supaya dapat menghabiskan masa lebih lama di kampung beraya bersama emak dan ayah juga sanak saudara yang sekian lama tidak bersua.

Bertambah meriah suasana dengan lagu ‘Balik Kampung’ dendangan penyanyi tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Bagaikan tidak lengkap juga suasana menjelang lebaran sekiranya lagu berentak rancak ini tidak diputarkan oleh stesen radio dan televisyen.

Namun, tahun ini, ‘Balik Kampung’ perlu ditangguhkan dahulu.   

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas beliau Ahad lepas dengan rendah diri memohon kemaafan daripada rakyat Malaysia apabila mengumumkan "pulang ke kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tahun ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.”

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  dilanjutkan sehingga 9 Jun, sebagai langkah untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Biarpun demikian, sepertimana perutusan khas Perdana Menteri pada sebelum ini yang tidak lengkap tanpa adanya sesuatu mencuit hati seperti analogi Mak Kiah dan Pak Salleh.

"Stesen TV dan radio bolehlah mainkan lagu 'Dendang Perantau' sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

"Mainkanlah lagu-lagu hari raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu ‘Jange Kelik La Weii’. Lagu ni pun 'OK' lah," katanya.

Larangan balik kampung tidak bermakna umat Islam di negara ini tidak boleh meraikan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 24 Mei depan.

Bagaikan memahami gelojak hati rakyat, Perdana Menteri mengumumkan bahawa ziarah menziarah dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

"Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka. Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup hidung dan mulut, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan sepanjang sambutan perayaan ini.

"Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir,” katanya.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan kelonggaran yang diberi hanyalah untuk hari raya pertama sahaja sebagai usaha mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

Artikel berkaitan:

Cikgu McNor ajar empat langkah mudah buat sendiri cecair basmi kuman dengan kos hanya RM22 untuk satu liter

Sekolah perlu rancang SOP sendiri, pastikan pelajar patuh jarak sosial

Teruskan PdP dari rumah, pastikan murid dapat ilmu - Timbalan Menteri Pendidikan II

Demi cikgu, murid sanggup jual tin untuk beli kek hari lahir

'Cikgu Aminah bagai ibu kami, bila dia sakit giliran kami pula berbakti'