Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian

Walaupun bukan cikgu, saya betul-betul berharap Hari Guru tahun ini – yang akan disambut pada 16 Mei – lebih bermakna buat pendidik. Dan buat semua!

Ibu bapa, masyarakat, lebih-lebih lagi murid-murid, mesti menghormati, mengenang dan selalu menghargai jasa dan budi guru. 

Tidak kira guru tadika, guru sekolah rendah dan guru sekolah menengah, guru pondok, guru al-Quran, mereka adalah pembentuk zaman.  Selalulah ingat, tidak kira siapa kita dan di mana kita sekarang, semuanya kerana ilmu yang diajar guru.

Secara peribadi terasa besar sangat jasa cikgu kepada saya.

Dia mengenalkan saya A, B, C, Alif, Ba, Ta, 1, 2, 3. Hatta tanda-tanda mudah seperti & @. ,! ? “ - + = % semua diajarkan kepada saya. Huruf, angka dan tanda-tanda itulah menjadi asas kehidupan saya sebagai manusia.

Budi cikgu saya kenang hingga mati!

Tetapi, sejauh mana kita sebagai ibu bapa, juga anak-anak kita, menghormati guru sekarang?  Nampaknya penghargaan terhadap cikgu semakin disepikan. Hari Guru yang disambut setiap tahun sejak lebih setengah abad lalu, biasanya berlalu begitu sahaja.

Tidak banyak yang prihatin untuk sama meraikan.

Bersalaman. Tanya anak kita, apa yang diberikan sebagai hadiah pada cikgu pada hari itu? Tidak ramai murid sudi bersalaman, jauh sekali memeluk dan mencium guru mereka pada hari itu.

Tidak ramai juga murid-murid yang memberikan hadiah, walaupun sekuntum bunga, sebagai tanda terima kasih kepada insan yang mengajar mereka.

Malah, sebahagian besar murid, mungkin tidak tahu pun ada Hari Guru. Mereka tidak kisah, tidak pernah rasa terhutang budi pada cikgu. Dan tanya diri kita sendiri sebagai ibu bapa, apa yang pernah kita raikan untuk menghargai jasa golongan pendidik yang sekian lama tabah dan sabar mengajar anak kita?

Pernahkah kita datang ke sekolah untuk mengucapkan terima kasih kepada guru pada hari tersebut?

Mungkin kita juga tidak ambil peduli!  Tahun ini kesedaran mengenai wujudnya Hari Guru telah dikempenkan sejak awal menerusi program gerakan massa. ‘Terima Kasih Cikgu’. Program yang bermula sejak awal April itu digerakkan di seluruh negara untuk membuka mata dan minda masyarakat tentang Hari Guru yang tahun ini bertemakan ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’.

Orang ramai, khasnya ibu bapa, patut sentiasa menghargai dan bekerjasama dengan guru, bukan sahaja pada Hari Guru, tetapi juga pada masa-masa lain.

Malang sekali ibu bapa kita selalu tidak mendekatkan diri dengan guru. Saya pernah untuk beberapa tahun menjadi Yang Dipertua PIBG sebuah sekolah di Petaling Jaya. Setiap kali ada mesyuarat PIBG, bilangan ibu bapa yang datang amat mengecewakan.

Walaupun telah diberitahu lebih awal, ibu bapa langsung tidak peduli.

Mereka tidak sudi datang atas alasan tidak ada masa, sibuk dengan bisnes dan pelbagai urusan lain. Walhal pada mesyuarat seperti inilah ibu bapa patut menyuarakan pandangan bagi menolong guru meningkatkan prestasi sekolah.

Hatta diundang ke sekolah setahun sekali berjumpa guru darjah pada hari menyemak rekod dan prestasi murid pun ibu bapa tidak sudi.

Baik di bandar mahupun di kampung, ibu bapa hanya datang ke sekolah apabila anak mereka tidak lulus atau tidak mendapat banyak A dalam peperiksaan. Mereka akan menyoal – dan marah guru – mengapa anak mereka lemah dalam pelajaran, mengapa anak mereka gagal memperoleh 10 A?

Tidak ada terima kasih, jauh sekali sekuntum bunga, tanda terima kasih kepada guru jika anak mendapat keputusan cemerlang dalam mana-mana peperiksaan.

Tetapi guru pula yang dimarah – ada yang komplen kepada menteri! – sekiranya anak gagal dalam peperiksaan.  Di mana budi kita sebagai ibu bapa? Harap-harap dengan program massa ‘Terima Kasih Cikgu’, ibu bapa belajar mengenang budi cikgu dan sama-sama menghayati Hari Guru pada tahun ini.

Artikel menarik:

Tak berganjak walau seminit.. kesetiaan murid tahun 6 temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak

'Beg mahal dan gelang emas ni untuk aku?' - Guru terkejut terima hadiah anak murid

'Tak apa Alia, kalian dan Allag bersama saya...' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

Nak elak pembentangan hambar dalam kelas.. ini 6 tip penting untuk rujukan guru

KPM nasihatkan guru besar, pengetua nilai semula agihan tugas agar guru tidak terbeban