GURU Matematik sekolah rendah yang berpengalaman mengajar selama 14 tahun iaitu Cikgu Fadli Salleh, berkongsi tip dan amalan yang perlu ibu bapa lakukan sepanjang anak menduduki peperiksaan UPSR, esok.

Perkongsian itu dikongsi menerusi FB Live Mohd Fadli Salleh yang bersiaran selama satu jam 15 minit 1 saat, Ahad lalu.

Katanya, setiap kali calon UPSR berada di dewan peperiksaan, ada sesetengah mak ayah akan berada di sekolah dan meluangkan masa bersembang dengan ibu bapa yang lain, sambil membincangkan isu semasa.

"Bergantung kepada ibu bapa masing-masing, untuk mengisi masa lapang mereka ketika anak sedang duduki peperiksaan.

"Cuma di sini, ingin saya ingin kongsikan mengenai amalan yang mak saya lakukan sepanjang adik beradik saya menduduki peperiksaan," katanya dalam sesi live tersebut.

Cikgu Fadli berkata, amalan yang ibunya lakukan cukup buat dia sebak.

"Mak akan duduk jauh daripada orang dan mendirikan solat hajat. Kemudian, mak akan berzikir dan beristighfar seberapa banyak yang mungkin serta baca al-Quran.

"Mak akan niatkan supaya anak-anak tenang menjawab soalan peperiksaan, diberi ketajaman akal dan sebagainya," ujar beliau.

Tambah guru ini, doa ibu sangat mustajab dan setanding dengan doa para rasul.

"Walaupun anak sedang berada di dewan peperiksaan dan ibu berada di rumah, namun doa seorang ibu itu tetap 'sampai'. Percayalah," ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Fadli memberi sedikit nasihat kepada semua ibu-ibu yang punyai anak dan bakal menduduki peperiksaan UPSR esok.

"UPSR sekali sahaja. Jadi, janganlah sia-siakan peluang yang ada ini, dengan bersembang hal-hal yang tidak berkaitan.

"Dalam masa satu sejam anak-anak sedang menjawab soalan di dewan peperiksaan, ada baiknya ibu-ibu berdoa, solat hajat, zikir, istighfar dan baca al-Quran. Insya-Allah, ketenangan seorang ibu...akan memberi ketenangan buat si anak ketika di dewan," katanya.

Sementara itu, Cikgu Fadli turut berkongsi tip untuk calon UPSR.

1) Bersedia mental dan fizikal untuk menjawab semua kertas.

2) Doa, tawakal dan redha - Sering berdoa dan lakukan solat hajat agar diberi ingatan yang baik dan tak dihindari maklumat lupa. Jika lupa, banyakan istighfar, insya-Allah akan ingat semula.

3) Jaga hubungan dengan Allah - Pada pagi sebelum UPSR, calon perlu solat Subuh, langkah kaki kanan dan baca bismillah sebelum menjawab peperiksaan.

4) Sentiasa berdoa dan solat hajat agar dikurniakan idea-idea semasa sedang menjawab soalan.

5) Sebaik habis peperiksaan, simpan kertas bagi subjek tersebut. Jangan semak dan tumpu pada kertas seterusnya. Ini kerana, jika dibawa berbincang, ia akan mempengaruhi emosi murid tersebut. Sebaiknya, perbincangan dilakukan selepas UPSR tamat.   

Tip Menarik: 

14 pesanan untuk calon UPSR yang akan menduduki peperiksaan esok - Tidur dan rehat dengan cukup

11 tip 'awesome' hadapi peperiksaan...sangat berguna untuk calon yang akan duduki UPSR esok

Guru ini kongsi 10 panduan skor A subjek bahasa Melayu UPSR

10 manfaat belajar awal pagi cara Cikgu Shahrul...penting untuk calon UPSR amal

UPSR: Ustaz Hasrul anjur baca dua surah ini, buat anak yang sedang menghadapi peperiksaan