Perkongsian kembali majlis kahwin finalis Top 10 Global Teacher, Cikgu Samuel Isaiah sebelum ini telah tular di media sosial.

Selain kisah 100 anak orang asli yang sanggup datang memeriahkan majlis, kehadiran wanita cantik bergelar isteri di sisi guru asal Pahang itu juga menarik perhatian netizen.

Dr. Shanti S. Mugunen, pemilik nama wanita berwajah ayu, bersari kuning keemasan lembut dan sentiasa tersenyum itu sebenarnya adalah kekuatan buat guru tinggi lampai itu.

Sesuai dengan kata bidalan yang mengatakan, di sebalik kejayaan seorang suami itu adalah isterinya… begitulah halnya Dr Shanti di sisi Cikgu Samuel.

GPS Bestari cuba menyelami perasaan suri hati Cikgu Samuel. Beliau yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan Pahang itu menjelaskan, perkataan pertama yang keluar dari bibir sebaik sahaja mendapat tahu suaminya terpilih dalam 10 terbaik Guru Global, adalah..

"Oh my god! I'm so proud of you!"

“Perasaan saya terlalu gembira. Sangatlah bersyukur, terkejut dan bangga dengan kejayaannya. Dari awal saya memang yakin bahawa dia seorang yang sangat layak terpilih sebagai tokoh guru global. Walaupun terdapat saringan yang amat tinggi (12000 pencalonan seluruh dunia), saya percaya bahawa usaha-usaha luar biasa yang telah dilakukan secara ikhlas memang menjadikannya antara calon yang layak digelar finalis,”katanya.

Tambah asal Johor itu lagi, keyakinan terhadap kebolehan sendiri dan anak-anak murid, telah menyebabkan Cikgu Samuel tidak pernah berputus asa dalam mengatasi cabaran dan segala persepsi negatif.

“Sebagai suami, dia seorang yang sangat memahami, penyayang, ikhlas, bijak dan seorang yang sentiasa memberi inspirasi serta dorongan.

“Saya sentiasa tahu, awak seorang yang luar biasa. Rasa sungguh gembira… kini dunia juga turut menyaksikannya. Apapun, awak adalah pemenang kami dan Malaysia sangat berbangga dengan awak,”ujar wanita asal Johor ini.