The mediocre teacher, tells

The good teacher, explains

The superior teacher, demonstrates

The great teacher, inspires

Dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh dengan perubahan, murid-murid perlu berkeupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada dengan situasi yang baharu untuk menjadi seorang yang lebih berdaya saing dan lebih produktif.

Justeru, tanggungjawab seseorang guru itu bukan sahaja menyebarkan ilmu pengetahuan kepada murid tetapi juga membina sikap dan nilai murid yang matang dan berkeupayaan untuk berfikir secara kritis dan menyediakan murid-murid dalam menghadapi saingan dan cabaran sebenar di dunia luar.

Konsep guru berkesan

Tugas guru untuk mengajar bukanlah sahaja setakat memindahkan pengetahuan yang ada pada dirinya kepada para murid tetapi juga memberikan kemahiran untuk memperoleh sendiri tanpa guru.

Secara analoginya, tugas ini menunjukkan bahawa mengajar bukan sekadar tong derum atau memberikan ikan yang dipancing kepada murid tetapi guru mengajar murid-muridnya untuk menggunakan kail bagi memancing ikan. Apabila murid-muridnya memperoleh kemahiran untuk mendapatkan ilmu, proses pembelajaran sepanjang hayat akan berlaku. Tugas ini merupakan sebahagian daripada ciri-ciri guru berkesan.

Ciri-ciri seorang guru yang berkesan

1) Peranan utama dalam bilik darjah - Guru yang memainkan peranan utama dalam bilik darjah tetapi melibatkan murid dalam perancangan dan organisasi aktiviti pembelajaran.

2) Meletakkan matlamat – Guru yang berjaya meletakkan matlamat yang tinggi dan menerangkan matlamat itu kepada murid.

3) Tidak banyak mengkritik – Guru yang berkesan tidak banyak mengkritik tetapi banyak memberi peneguhan, membimbing murid menyelesaikan masalah, memastikan murid bertanggungjawab terhadap kerja mereka dan memberi perhatian yang sama rata kepada semua murid mereka.

4) Melibatkan murid dalam pengajaran – Guru yang berkesan akan sentiasa melibatkan murid dalam pengajaran mereka. Guru bertindak sebagai fasilitator untuk membantu murid bagi membentuk pengetahuan mereka. Kemudiannya, konsep pembelajaran berpusatkan murid ini akan dikembangkan lagi iaitu guru akan membantu murid membina konsep mereka terhadap subjek dan terhadap diri mereka sendiri sebagai seorang individu. Dalam proses pengajaran berpusatkan murid, murid akan bertindak dengan aktif sewaktu proses pembelajaran berjalan.

5) Strategi yang berkesan – Guru mesti menggunakan strategi pengajaran yang berkesan dari semasa ke semasa. Antaranya ialah dengan membuat perancangan pengajaran. Perancangan pengajaran amat penting untuk dilakukan seiring dengan sukatan pelajaran yang tersedia. Ini bertujuan untuk memastikan pengajaran yang dilakukan tidak lari daripada objektif dan hasil pembelajaran yang ingin dicapai. Dari semasa ke semasa juga, guru mestilah mengaitkan ilmu yang dipelajari dengan contoh-contoh sikap dan nilai yang baik agar dapat dipraktikkan oleh murid.

- Dr Abdul Ghani Jalil

Merupakan Guru Cemerlang BM, SMK Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah

Artikel menarik

Faktor 'niat ponteng sekolah'. Guru-guru perlu ambil cakna akan isu ini

Cikgu boleh cuba cara masyarakat Jerman ini buat. Wujudkan rak buku awam, terbuka untuk bacaan ramai

Pembelajaran secara dalam talian. Sejauh mana kita bersedia? Ikuti apa kata pakar