Kes harian Covid-19 terus mencatatkan bacaan tertinggi, sehingga mencetuskan kebimbangan  dan ketakutan dalam kalangan ibu bapa khususnya. Hal demikian menimbulkan 1001 tanda tanya, apakah lagi yang boleh dilakukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 di negara kita.

Bagaimana pula usaha ibu bapa untuk menyampaikan informasi tersebut kepada anak-anak yang masih bersekolah rendah. Adakah cara tepat untuk anak-anak memahaminya dengan mudah?

Gambar: cottonbro daripada Pexels

Enam langkah berikut boleh anda cuba di rumah. Semoga kita semua terhindar daripada virus ini dan usaha memutuskan rantaian Covid-19 berjaya dilakukan.

1. Harus update dengan berita terkini

Ketika menyampaikan info tentang Covid-19 kepada anak-anak, ibu bapa harus terlebih dahulu mengambil tahu tentang status terkini pandemik yang melanda negara.  Ia secara tidak langsung membantu anda menjawab apa sahaja persoalan yang bakal ditanya oleh anak-anak. Selain, penyampaian juga haruslah sesuai dengan usia anak anda, jangan sampai anak anda yang bersekolah rendah mula  ‘pening’ dan sukar memahami apa yang sedang anda sampaikan.

2. Berikan penjelasan mudah

Jangan terlalu panjang lebar, berikan informasi ringkas, asalkan anak-anak anda faham. Katakan pada mereka virus ini sama seperti virus yang boleh memberikan kesan kepada pernafasan. Ia boleh menyebabkan adanya gejala seperti demam, sesak nafas, batuk selesema ataupun tiada langsung gejala.  Jangan lupa nyatakan juga virus ini bahaya, anak-anak tidak boleh keluar rumah seperti sebelum ini.

3. Biarkan mereka bertanya

Untuk anak-anak yang masih kecil, biarkan mereka banyak bertanya. Elakkan anda bercakap panjang lebar, sebab takut mereka tidak faham apa yang anda sedang terangkan. Jawab soalan anak dengan jelas dan mudah faham.  Ingat, jangan tunjukkan gambar yang menakutkan, berikan informasi yang positif.  Katakan pada anak-anak, doktor di negara kita sedang bertungkus lumus mencari penyelesaian dan merawat pesakit di hospital.

4. Lakukan perbincangan dengan anak remaja

Tidak sukar untuk menerangkan tentang virus ini kepada anak-anak usia remaja. Kebiasaannya mereka sudah mendapat informasi melalui gajet dan media sosial. Cara paling mudah, lakukan perbincangan dengan mereka, tanyakan kepada mereka, apa yang anak anda tahu tentang virus ini. Jika anak-anak mula menunjukkan reaksi cemas, tenangkan mereka dan nyatakan kita akan sama-sama memutuskan rantaian ini.

5. Jaga kebersihan dan kesihatan

Pendekatan paling mudah, ingatkan mereka tentang kepentingan membasuh tangan, menjaga kebersihan dan kesihatan. Jangan lupa memakai mask ketika keluar, elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut.

6. Lihat reaksi anak-anak

Selepas memberikan keterangan, lihat reaksi anak-anak anda pula. Adakah mereka mula menunjukkan rasa cemas atau takut. Beri perhatian yang penuh dan akui perasaan mereka, selagi ia tidak terlalu cemas berlebihan. Namun, jika anak rasa cemas sehingga sukar untuk tidur atau ke sekolah, anda boleh dapatkan bantuan daripada mereka yang pakar. Jika di rumah, berikan masa lebih kepada mereka dan ajak mereka belajar bersama.
 

Sumber:ruangguru