WABAK koronavirus (Covid-19) adalah penyakit pernafasan yang merebak melalui jangkitan titisan. Apabila seseorang batuk, bersin atau bercakap, mereka me­lepaskan titisan kecil ke udara yang dapat menjangkiti individu yang sihat sekiranya bersentuhan se­ca­ra langsung dengan mereka.

Titisan itu juga boleh kekal di permukaan dan jika anda memegang benda-benda tercemar lalu menyentuh muka atau mulut, virus tersebut dapat memasuki tubuh badan anda.

Di Fort Detrick, Maryland, Amerika Syarikat (AS), sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr David Harbourt, pegawai keselamatan biologi di Institut Penyelidikan Perubatan Penyakit Berjangkit Tentera AS menguji ketahanan virus pada permukaan pelbagai bahan termasuk kulit khinzir.

Hasil kajian mendedahkan, SARS-CoV-2 iaitu agen yang menyebabkan Covid-19 boleh kekal pada kulit selama kira-kira lapan jam pada suhu 37 darjah Celsius.

Ia juga mampu bertahan pada kulit sekitar empat hari pada suhu 22 darjah Celsius selain mampu kekal untuk jangka masa panjang sekurang-kurangnya 14 hari seperti yang dilihat dalam kajian pada suhu 4 darjah Celsius.

Untuk penyelidikan mereka, pasukan Harbourt mengkaji daya maju Covid-19 yang menyebabkan virus pada kulit khinzir, mata wang kertas AS dan pakaian pada pelbagai suhu.

Mereka mendapati, kulit adalah persekitaran paling mesra untuk virus meskipun peningkatan suhu kulit semakin cepat.

Menurut Harbourt, penggunaan kulit khinzir dalam kajian adalah kerana ia sangat mirip dengan kulit manusia, malah ia juga digunakan sebagai pengganti kulit manusia dalam pembedahan yang disebabkan oleh melecur.

Penyelidik percaya jika percubaan diulang pada kulit manusia, hasil yang serupa bakal diperoleh. Selain itu, mereka juga bimbang kilang daging dapat membantu penyebaran virus.

“Tanpa ujian dan pogram pengesanan yang luas, penyebaran di sekitar kilang pembungkusan daging mungkin akan terus menjadi masalah,” kata penyelidik.

Difahamkan, kajian AS tersebut adalah susulan kemunculan semula wabak yang mengejutkan Beijing bulan lalu. Sebilangan besar daripada 300 kes Covid-19 dikaitkan dengan pasar makanan yang menjual daging dan produk sayur-sayuran dari dalam serta luar negara.

Wabak itu menyebabkan separa lockdown dilaksanakan di ibu negara China dan ujian virus dijalankan ke atas lebih 10 juta penduduk di bandar raya terbabit.

Suhu jadi peranan

Pihak berkuasa kesihatan mengesyaki virus mungkin memasuki pasar melalui daging beku yang diimport, namun mereka tidak mempunyai sebarang bukti.

Bagi mengkaji sejauh mana ketepatan itu, Harbourt dan pasukannya meletakkan SARS-CoV-2 pada kulit khinzir dan menyimpan sampel tersebut pada suhu 4 darjah Celsius, sama seperti suhu khinzir yang biasa disimpan di kilang pembungkusan dan pemprosesan daging.

Jenis virus itu secara puratanya mempunyai separuh hayat, tempoh yang diperlukan sehingga separuh daripada patogen mati yang biasanya mengambil masa selama 47 jam.

Virus yang berdaya maju kekal dan masih boleh dikesan selama dua minggu dalam keadaan sejuk.

“Besar kemungkinan sentuhan daripada pekerja simtomatik atau tanpa gejala tanpa alat perlindungan diri yang sesuai akan tetap bertahan untuk jangka masa yang panjang di permukaan produk daging atau permukaan lain,” kata Harbourt.

Meskipun kajian pasukan Harbourt masih dalam fasa pracetak dan belum dikaji oleh penyelidik lain, mereka mendapati virus mati dengan lebih cepat apabila suhu meningkat.

Ini membawa kepada penemuan sampel kulit khinzir yang kekal positif selama empat hari pada suhu bilik 22 darjah Celsius dan hanya bertahan selama lapan jam pada musim panas (37 darjah Celsius).

Dalam eksperimen yang sama, makmal tentera AS itu turut melakukan ujian ke atas wang AS$20 yang tidak diedarkan dan mendapati virus dapat bertahan di permukaan wang kertas tersebut sehingga sehari dalam suhu bilik atau tiga kali lebih lama berbanding wang AS$1.

Bagaimanapun, perbezaannya tidak kukuh secara statistik kerana saiz sampel yang terhad dan memerlukan penyelidikan lebih lanjut.

“Terdapat kemungkinan bahawa perbezaan jenis dakwat, kepekatan atau kedua-duanya mempengaruhi kestabilan virus,” menurut kertas penyelidikan itu.

Kajian AS lebih nyata

Seorang saintis pemerintah China yang mengkaji koronavirus di Beijing berkata, kajian Fort Detrick adalah lebih dekat dengan kehidupan nyata berbanding beberapa kajian sebelumnya yang mendapati virus dapat  bertahan di permukaan bukan organik seperti kadbod selama beberapa hari.

“Kajian-kajian terdahulu itu menggunakan beban virus yang tinggi dan tidak realistik dalam persekitaran kehidupan sebenar,” katanya.

Sejak tahun 1940-an, Fort Detrick telah menjadi pusat program senjata dan pertahanan biologi AS.

Menurut laporan The New York Times, pada tahun lalu ia ditutup selama beberapa bulan kerana pelanggaran keselamatan yang serius berkaitan pembuangan bahan berbahaya.

Kejadian itu mendorong teori konspirasi yang menghubungkan pandemik Covid-19 dengan tapak berkenaan.

“AS terus menuntut ketelusan dan penyelidikan. Mengapa tidak membuka Fort Detrick dan makmal biologi lain untuk semakan antarabanga?” soal jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Hua Chunying di Twitternya pada Mei lalu. - Agensi     

Artikel menarik:      

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Wabak masih belum berakhir