Kebelakangan ini, makin kerap kita dengar masalah depresi atau kemurungan yang berlaku dalam masyarakat kita.

Paling ketara, depresi akan berlaku jika individu tersebut berdepan masalah dan tekanan hidup yang sukar diselesaikan.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, depresi akan menjadi ‘pembunuh’ senyap dalam jiwa seseorang, itu kata Pakar Analisis Tulisan Tangan dan Pembangunan Karakter, Azura Hashim.

Mari kita hadam isi kandungannya. 

 

+++

DEPRESI DAN TERAPI DIRI

Masalah depresi semakin meningkat dalam diam ramai yang menghadapinya.

1. KEHIDUPAN ini telah ALLAH susun atur dengan begitu cantik, ada ujian kenikmatan dan ujian kesusahan.

Setiap orang diuji bersesuaian dengan kemampuan masing-masing dan janganlah kita bersikap lemah kerana ALLAH berjanji, “ALLAH tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” (QS al-Baqarah: Ayat 286)

2. Bila menyebut mengenai isu depresi ini, masih ramai lagi yang bertindak menyembunyikan diri daripada mendapatkan rawatan.

Depresi, luarannya nampak normal tetapi ia mampu menjadi ‘pembunuh’ senyap dalam jiwa seseorang.

 

3. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjangkakan pada tahun 2020 penyakit depresi berada di tangga kedua tertinggi penyakit global.

4. Tanda-tanda orang yang mengalami depresi dapat dipecahkan kepada beberapa perkara.

Contohnya ketidakstabilan emosi, berada dalam ketakutan termasuk suka menyalahkan diri sendiri dan rendah keyakinan diri.

5. Aktiviti seharian turut terkesan kerana sukar untuk fokus, berlaku perubahan selera makan dan jadual tidur.

Depresi menjadikan seseorang itu hilang kenikmatan dan keseronokan untuk teruskan hidup.

 

6. Depresi yang teruk boleh membawa kepada halusinasi dan perlu dirawat segera. Penting untuk sentiasa berfikiran positif dan menggunakan teknik berdoa sambil bicara dalam hati dengan menyeru nama-nama ALLAH sepertimana firman-Nya:

“Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya...” (QS. Al-A’raf 7: Ayat 180)

7. Perlu diingatkan bahawa, segala yang dimiliki manusia adalah milik ALLAH termasuklah daya yang dipinjamkan oleh-Nya.

Bermohonlah supaya dikurniakan daya ketenangan kepada kita: “Ya ALLAH Ya Salam Yang Maha Menenangkan, tenangkan hambaMu yang ada masalah ini, daku tidak mampu menyelesaikannya, hanya Engkau yang mampu bukakan jalan penyelesaian baginya. Bimbinglah hambaMu Ya ALLAH Ya Haadi kerana hanya Engkau yang mampu membimbingku.

 

8. Kelemahan individu depresi terletak pada emosinya. Emosi mereka rapuh dan tidak stabil. Jangan perkecilkan mereka dan menganggap mereka seorang yang lemah dan manja. Sebaliknya, pimpin emosi mereka dengan pujukan dan belaian. “Ya ALLAH Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin, perkasakan, perkuatkan dan perteguhkan jiwanya untuk menghadapi ujianmu ini dan bakarkanlah semangatnya untuk meneruskan kehidupan”.

 

9. Keyakinan diri terletak pada rasa kepercayaan terhadap diri sendiri. Bina semula keyakinan dengan fokuskan diri pada fikiran yang positif. Berfikir yang positif akan memberikan rasa membangun dan membuatkan hati tenang.

10. Mendorong fikiran positif dengan bermohon: “Ya ALLAH, Ya Quddus Ya Jalil sesungguhnya Engkau yang Maha menyucikan lagi Maha Menjernihkan, sucikan dan jernihkan hatiku daripada berburuk sangka atas apa yang terjadi kerana segalanya adalah daripadaMu dan pastinya suatu hikmah. Jadikan kami kembali kepada fitrahnya seorang yang baik, dan melalui ujianMu dengan reda.

ALLAH berfirman dalam Surah at-Tin ayat 4: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

11. Yakinlah, ALLAH menciptakan manusia itu seimbang, ada kelemahan dan kekuatan. Kelemahan hanyalah kekuatan yang belum ditemukan kegunaannya. Keluarkan mutiara-mutiara yang terpendam dalam diri. Beranikan diri ambil langkah ke hadapan untuk bangunkan potensi diri yang terbaik.

12. Berdampinglah dengan orang berilmu. Individu yang depresi harus ada teman di sisi mereka. Teman terbaik adalah orang yang beramal dengan ilmu ALLAH. Berdampinglah dengan orang yang berilmu kerana ilmu membawa diri kepada kebenaran.

13. Pesan Luqman al-Hakim, “Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan”.

 

14. Kesimpulannya depresi bukanlah satu masalah yang berpanjangan. Masalah depresi boleh dirawat dengan mendekatkan diri kepada ALLAH. “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya ALLAH berserta orang-orang yang sabar” (QS. al-Baqarah: 153)

Kita berdoa semoga kita sentiasa di bawah perlindungan ALLAH Ya Hafiz Ya Muhaimin yang Maha Melindungi dan Maha Memelihara.

“Allahumma Ya Salam, Engkaulah yang Maha Sejahtera. Kurniakan kami kesejahteraan jiwa, fizikal dan jasad supaya kami berpeluang untuk berbakti kepada ummah bagi menyebarkan kebaikan”

 

#DrAzuraHashim

#Travelogjiwahamba

 

Sumber: Facebook Azura Hashim

Pakar Analisis Tulisan Tangan dan Pembangunan Karakter

Makluman: Artikel ini diterbitkan atas keizinan daripada penulis asal

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hadif masih belum pandai membaca walau sudah hantar kelas intensif..ibu muda ini kongsi sebabnya

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ibu hanya ambil upah menjahit dan buat kuih' - Murid tahun 4 ini bangga dengan pekerjaan ibunya

ARTIKEL BERKAITAN: Join grup whatsapp sekolah anak..jangan buat perkara ini jika mak ayah mahu kekal dalam grup