Di mana ada cabaran, di situ ada ruang untuk membina perubahan.

Itulah kalimat yang sering saya utarakan dalam slot Inovasi dalam Pendidikan setiap kali saya menerima undangan untuk perkongsian pintar 'Jom Hebat sebagai Pendidik'.

Hari ini dunia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan Malaysia tidak terkecuali. Selain warga perubatan, warga pendidik turut menjadi imej tumpuan.

Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu kini berlanjutan pula hingga 12 Mei.

Mendepani dilema yang begitu kompleks guru bertindak secara proaktif menghasilkan video, menjalankan pembelajaran atas talian, menghimpunkan nota sebagai rujukan dan menyediakan pelbagai jenis soalan serta kuiz sebagai aktiviti pengukuhan.

Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) pula terus komited memberikan yang terbaik buat warga pendidik dengan mempelbagaikan fenomena penggunaan teknologi digital dalam pendidikan.

Satu idea intelek “CikgooTube” dengan slogannya yang berbunyi “Every cikgu can create” yang dilancarkan pada awal tahun 2020 terus diangkat sebagai satu mekanisme penghubung antara guru dan pelajar.

Selain itu Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin turut mengumumkan inisiatif untuk mengadakan sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan menerusi saluran baharu RTM.  

Pandemik ini telah menyaksikan sebahagian guru melangkah dengan gigih dan berintegriti dalam memastikan pendidikan berkualiti terus dikecapi oleh pelajar.

Sebagai guru senior, saya merasakan ini adalah masa yang paling penting untuk warga pendidik berganding bahu dalam memastikan kemenjadian dan  kesejahteraan pelajar terpelihara.

Ini adalah masa untuk pendidik menggunakan Kemahiran Abad ke-21 yang sering diungkapkan; Communication, Collaboration, Critical thinking dan Creative thinking secara efektif.

Pendidik perlu menggunakan segala peluang yang ada untuk membina jaringan dengan pendidik dari serata negara, berkongsi idea, kemahiran dan pengalaman serta memanfaatkan teknologi secara optimum.

Dalam keterujaan menjayakan pembelajaran secara maya suka saya mengingatkan pendidik agar sentiasa mengutamakan C yang paling penting iaitu “Common sense”.

Ingatlah bahawasanya seseorang pelajar itu tidak boleh melalui proses “Bloom” (Teori Taksonomi Bloom) andai keperluan “Maslow”nya (Teori Abraham Maslow) tidak dipenuhi.

Sebagai pendidik kita perlu faham bahawa pelajar kita adalah tanggungjawab kita justeru peranan kita bukan sekadar mengejar silibus tetapi juga mendorong mereka membesar menjadi manusia yang sejahtera.

Bagi senario yang tidak menampakkan keupayaan untuk menjayakan proses pembelajaran, kita sebagai pendidik hadirlah sebagai pendamping yang memastikan keperluan asas anak didik kita dipenuhi.

Pastikan mereka cukup makan, terpelihara kesihatan dan keselamatan serta pamerkan keprihatinan sebagai tanda kasih dan sayang.

Gunakan kemahiran komunikasi yang berkesan dalam menyampaikan maklumat, pesanan dan bukalah ruang perbincangan dua hala untuk cadangan dan pandangan.  

Cik Yumiko Yokozeki, Pengarah Institut Pengembangan Kapasiti UNESCO di Afrika ketika Webinar maklum balas pendidikan Covid-19  antara lain menekankan tentang pentingnya kerajaan memelihara kesejateraan pendidik kerana ini mungkin menjadi peluang bagi pendidik dan pelajar menjadi lebih bersemangat, kreatif dan inovatif.

Webinar anjuran UNESCO yang berlangsung pada 27 Mac lalu turut didediksasikan kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan kesinambungan pembelajaran iaitu lebih kurang 63 juta guru dan personel pendidikan dari 165 buah negara.

Ternyata pendamik ini membuka ruang untuk kita berfikir dengan lebih terperinci dan bertindak dengan lebih teliti.

Dan bagi kita, para pendidik sentiasalah beriringan dengan kebijaksanaan dan kewarasan kerana di tangan kitalah terletaknya penyambung warisan.

Oleh:

Noorjahan Sultan
Guru Perpustakaan dan Media
SK Perempuan Methodist, Kuantan

Artikel berkaitan:

Duhai anak muridku, ingat pesanku ini baik-baik

Muridku, aturlah strategi, manfaatkan masa sebaiknya

Menyemai nilai murni tanggungjawab bersama

Wahai pelajarku, ingat tiga pesanan ini jika mahu berjaya

Didiklah murid dengan penuh sabar, setiap mereka berbeza