MENGGALAS amanah sebagai seorang pendidik bukanlah mudah, malah menjadi satu tanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai ibu bapa kedua kepada anak murid di sekolah.

Sedar atau tidak, prasekolah merupakan peringkat pendidikan yang paling penting kepada seseorang anak murid, kerana di peringkat inilah mereka mula mempelajari asas ilmu iaitu mengenal huruf, membaca, menulis, mengira, mengaji dan membezakan kelakuan atau tindakan yang baik dan buruk.

Cabaran seorang pendidik prasekolah atau tadika pada hari ini amatlah besar. Untuk mendidik generasi A (generasi alfa) yang mempunyai pendekatan pendidikan tidak dapat dinafikan amat berbeza berbanding generasi sebelum ini.

Dalam menempuh pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 ini, pendidik perlulah kreatif dan cakna kepada pendekatan dan pedagogi yang sesuai dengan generasi masa kini seperti kemahiran teknologi, penguasaan komunikasi, kemahiran interaksi sosial dan lain-lain.

Sepanjang pengalaman saya selama 10 tahun dalam mendidik murid prasekolah Islam, fokus utama pembelajaran prasekolah adalah 5M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira, menaakul dan mengaji al-Quran selain meningkatkan keupayaan motor kasar, motor halus, kemahiran sosial, keyakinan diri, kognitif dan mendidik nilai murni.

Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek anak murid haruslah diberikan penekanan untuk memastikan kemenjadian anak murid sebelum mereka melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi.

Tip penting dalam mendidik anak murid prasekolah ialah pertama, didiklah daripada hati dengan sepenuh kasih sayang kerana ikatan kasih sayang yang terjalin antara pendidik dan anak murid menjadi penentu utama kepada keberkesanan pembelajaran.

Kedua, didiklah dengan penuh sabar kerana setiap anak murid mempunyai keupayaan dan kebolehan yang berbeza.

Setiap pendidik mestilah menanam kepercayaan bahawa setiap anak murid memiliki potensi sebenar masing-masing yang harus digilap supaya menjadi permata bersinar dalam kehidupan mereka.

Tip terakhir seorang pendidik dalam mendidik adalah keikhlasan dan pengorbanan dalam bentuk masa, wang ringgit, kudrat dan keringat tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan.

Anggaplah apa yang kita usahakan saban waktu ini sebagai satu perjuangan yang tidak akan terhenti untuk mendidik generasi anak bangsa kini sebagai pelapis terpenting tamadun pada masa hadapan.

SITI NADIAH MISLAN

Pengetua Prasekolah Smart Edukids Puncak Jalil, Selangor

Artikel Menarik:

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

"Kami lukis pada waktu senggang, cuti sekolah' - Enam guru ini hasilkan 50 mural di sekolah

Ingatkan poster filem, rupanya hasil kreatif cikgu sekolah di Kulai Johor