Tahun ini cukup memberi tamparan hebat buat semua pelajar terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan awam.

Peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) masih tetap berlangsung tahun hadapan berdasarkan tarikh yang ditetapkan.

Mahu atau tidak, calon-calon yang terlibat, tetap perlu belajar secara dalam talian sebagai persediaan menduduki peperiksaan.

Bersama calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra, Kedah, Nur Sakinah Samsudin, berkongsi tentang rasa yang dialami olehnya dan rakan-rakan lain.

Ikuti luahan adik Nur Sakinah ini.

***

Webex, Google Meet, Whatsapp dan pelbagai aplikasi yang lain, merupakan dunia pembelajaran yang baru buat kami.

Tidak pernah sesekali untuk kami terfikir akan mengikuti pembelajaran sebegini.

Bukan satu perkara mudah untuk belajar secara online.

Dengan masalah internet atau mempunyai kadar capaian internat yang lemah, tentunya menyukarkan saya dan rakan-rakan lain belajar dengan selesa.

Namun, satu pujian harus diberikan kepada golongan guru kerana merekalah yang memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan calon-calon peperiksaan berjaya dengan cemerlang.

Guru-guru menganjurkan kelas online bukan sahaja pada waktu pagi hingga tengah hari sahaja, tetapi mereka juga meneruskan kelas hingga waktu malam semata-mata mahu pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Malah ada juga yang mengadakan kelas online pada hujung minggu demi tanggungjawab sebagai pendidik. Salute!

Justeru, kami berterima kasih dan berjanji akan berusaha dengan lebih gigih dan membawa kejayaan yang cemerlang buat guru-guru.

Untuk ibu bapa pula, kami ucapkan terima kasih kerana sanggup berkorban masa dan tenaga serta wang ringgit.

Mereka menyediakan akses internet walaupun ada antara perlu berdepan dengan kos yang agak tinggi.

Terima kasih ayah, terima kasih mak.

Kepada semua, doakan kami berjaya dan meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan kelak.

Artikel menarik

15 panduan penting untuk calon peperiksaan buat persediaan sekarang. Hadamkan

Jadikan aktiviti membaca seperti menonton wayang, cikgu ini ada tipnya

Tiada UPSR akan datang, contohi apa yang negara Finland buat!