Baru-baru ini apabila Kementerian pendidikan (KPM) menyarankan agar guru opsyen Bahasa Inggeris menduduki Malaysian University English Test (MUET), cadangan itu menjadi bualan di media sosial.

Usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan guru dan warganet.

Sejajar dengan Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap 2015-2025 yang diwujudkan untuk menetapkan hala tuju pendidikan bahasa Inggeris di negara ini KPM mengorak langkah agresif bagi membantu guru dan murid menguasai bahasa Inggeris.

Ikuti temubual khas Editor GPS Bestari Wan Normi Hasan dan Wartawan Sarina Mohd Som bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr. Habibah Abdul Rahim.

Sejak bila Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap diperkenalkan dan mengapa ia diwujudkan?

Dr. Habibah: Pelan PembangunanPendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 telah mengenal pasti keperluan untuk membantu guru dan murid menguasai bahasa Inggeris.

Oleh itu, KPM menghasilkan Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap 2015-2025 yang merupakan satu pelan yang menetapkan hala tuju pendidikan bahasa Inggeris.

Bagaimana pelaksanaannya?

Dr. Habibah: Ini tahun kelima KPM melaksanakan Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap. Kumpulan sasaran terdiri daripada murid prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, lepasan sekolah menengah, universiti dan juga guru.

Usaha ini diambil untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid bagi memenuhi keperluan masa sekarang dan masa akan datang.

Bagi tujuan ini, KPM menggunakan kerangka piawaian antarabangsa Common European Framework of Reference for Language (CEFR) sebagai penanda aras pendidikan bahasa Inggeris.

CEFR merupakan kerangka piawaian antarabangsa penguasaan bahasa Inggeris yang membantu mengukur tahap penguasaan bahasa itu pada setiap peringkat pendidikan.

Prinsip kerangka ini menyatakan bahawa guru mesti berada pada tahap penguasaan yang lebih tinggi daripada tahap murid. Berdasarkan Baseline Study 2013, sasaran tahap penguasaan yang diaspirasikan bagi guru opsyen Bahasa Inggeris adalah minimum CEFR C1 (Profient User).

Bagi membantu guru opsyen Bahasa Inggeris mencapai tahap penguasaan CEFR C1, KPM melaksanakan pelbagai latihan bersemuka, latihan dalam talian, latihan berbentuk komuniti pembelajaran guru (PLC) memberi khidmat sokongan dan lawatan kunjung bantu kepada mereka.

Apakah program khusus yang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris?

Dr. Habibah: Program khusus yang dilaksanakan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru opsyen Bahasa Inggeris adalah Professional Up-Skilling of English Language Teachers (PRO-ELT).

Guru yang mengikuti Pro-ELT dikehendaki menduduki ujian penguasaan bahasa Inggeris setelah menghadiri latihan.

Sehingga kini seramai 67 peratus daripada guru yang telah menduduki ujian tahap penguasaan bahasa Inggeris berada pada tahap CEFR C1 dan C2.

Ini menunjukkan impak positif pelaksanaan Pro-ELT dalam membantu guru menambak baik tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Apakah Pro-ELT dikhususkan kepada mereka dalam kalangan guru opsyen Bahasa Inggeris?

Dr. Habibah: Pro-ELT hanya untuk guru opsyen Bahasa Inggeris.

Apakah tujuan diadakan Pro-ELT?

Dr. Habibah: Pro-ELT diperkenalkan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru opsyen Bahasa Inggeris, di mana akan memanfaatkan guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan pada masa sama, memanfaatkan para murid dalam jangka panjang.

Adakah KPM juga menawarkan sebarang latihan penguasaan bahasa Inggeris bagi guru bukan opsyen Bahasa Inggeris?

Dr. Habibah: KPM juga menawarkan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO ) yang memberi latihan pedagogi dan penguasaan bahasa Inggeris kepada guru bukan opsyen Bahasa Inggeris yang mengajar mata pelajaran tersebut.

Mengapa MUET dipilih?

Dr. Habibah: Pada tahun 2017, KPM mula menggunakan MUET sebagai ujian penguasaan bahasa Inggeris untuk guru opsyen bahasa Inggeris. MUET juga digunakan untuk mengenalpasti tahap penguasaan guru opsyen bahasa Inggeris yang belum mengetahui tahap mereka.

MUET dipilih kerana ujian ini dibina menggunakan kepakaran tempatan, telah dinilai berlandaskan CEFR, dilaksanakan tiga kali setahun di seluruh negara, dan lebih murah berbanding  ujian lain.

Kos untuk menduduki MUET hanya RM100.

Sejak tahun 2013 kos ujian ini ditanggung kementerian cuma pada tahun ini guru perlu menanggung sendiri kos tersebut.

Walau bagaimanapun KPM juga membenarkan guru menduduki ujian lain yang telah dijajarkan kepada CEFR.

HABIBAH menunjukkan risalah Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap 2015-2025 yang menetapkan hala tuju pendidikan bahasa Inggeris.

Apakah status pelaksanaan Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap pada masa skarang iaitu selepas lima tahun dilaksanakan?

Dr. Habibah: Tempoh pelaksanaan Roadmap ini adalah selama 10 tahun (sehingga 2025). Pelaksanaan adalah mengikut jadual yang telah ditetapkan. KPM akan terus memberi fokus bagi memastikan semua pemegang taruh atau 'stakeholders' mendapat manfaat terutama para guru opsyen Bahasa Inggeris.

KPM juga mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh seperti kesatuan guru dan majlis guru besar dari masa ke masa.

Apakah guru opsyen Bahasa Inggeris mencukupi di negara ini?

Dr. Habibah: Ketika ini terdapat seramai 41,676 guru opsyen bahasa Inggeris di seluruh negara. Jika diikutkan jumlah yang ada sekarang sudah mencukupi tetapi jika berdasarkan jumlah normal yang seharusnya ada adalah seramai 44,924 orang guru.

Daripada jumlah guru opsyen Bahasa Inggeris, berapa ramai yang telah ambil MUET?

Dr. Habibah: Sebanyak 50 peratus daripada 41,676 guru berkenaan telah menduduki ujian tersebut dan pencapaian mereka memuaskan.

Artikel menarik:

Siri 1: Temubual khas bersama Dr. Maszlee menjawab isu beban guru dan hala tuju pendidikan

Panas isu matrikulasi dan kemasukan ke Universiti Awam - Ini jawapan KPM

Penjelasan Dr. Maszlee Malik mengenai cadangan perkenal subjek kenali agama lain

Yadim tidak setuju subjek kenali agama lain diajar di sekolah

Belajar dengan ukulele, setiap murid Orang Asli Cikgu Sam ada tablet! - Kagum usaha guru Adiwira ini