Pembentukan keyakinan diri anak-anak semakin mendapat perhatian masyarakat hari ini.

Sebenarnya ia sebahagian komponen penting pembentukan peribadi, kestabilan emosi dan mental anak-anak.

Keyakinan diri tidak datang dengan bentuk coklat atau vitamin, ia perlukan sentuhan ibu bapa dan suasana pembesaran anak-anak.   

Potensi diri bukan sekadar isu anak berani ke hadapan atau tidak tetapi yang lebih penting adalah kemampuan anak melihat harga diri (self-worth). Hilangnya self-worth adalah antara putik bermulanya masalah mental dalam kalangan anak-anak.

 

Pakar Psikiatri dan Penolong Professor Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Pahang, Dr Rozanizam Zakaria berkongsi lima tip praktikal bina potensi diri anak-anak.

1) Puji dan beri galakan

Yang ini orang selalu buat, tetapi buat dengan silap. JANGAN puji anak kerana kepandaiannya. Tetapi puji usahanya. Gunakan ayat "Adik memang bagus SEBAB adik cuba jawab dengan baik" berbanding "Adik memang pandai".

Anak-anak perlu diajar bahawa dia layak dipuji kerana USAHA bukan KEISTIMEWAAN. Ini yang didapati daripada kajian psikologi kanak-kanak.

Kalau anak-anak membesar dalam keadaan dipuji kerana 'pandainya anak papa', 'anak mama memang bijak'.. mereka akan terperangkap dengan pujian ini dan takut berusaha sesuatu yang lebih sukar - kerana takut tidak lagi menerima pujian yang selalu diberikan. Akhirnya, pujian ini hanya membunuh keyakinan anak-anak.

 

2) Set sasaran yang realistik

Jangan jadi ibu bapa 'reality show' maksudnya, jangan bina imej perfect son / daughter anda berdasarkan apa yang dicapai oleh orang lain. Setiap anak anda diberi anugerah dengan bakat dan kelebihan masing-masing. Jangan biarkan anak anda jadi 'tikus eksperimen' untuk feed ego anda. Jangan paksa anak anda pandai berpidato, pandai berenang, pandai kumon, pandai tujuh bahasa dan pandai tenis semata-masa rakan-rakan dalam kumpulan Whatsapp anda kongsi gambar anak mereka menang pertandingan tersebut minggu lepas.

 

3) Jujur dengan anak

Mereka perlu tahu yang anda juga sebagai orang dewasa tidak sempurna. Kajian psikologi menunjukkan kanak-kanak berusia 12 tahun sudah tahu menilai seorang dewasa menipu atau tidak bila berkongsi sesuatu dengan mereka. Jangan puji anak jika mereka tidak berjaya semata-mata tidak mahu mereka kecewa. Beri kritikan, tapi yang membantu mereka untuk bangkit semula.

 

4) Beri mereka ruang untuk lakukan kesilapan

Jangan cuba tutup kelemahan mereka semata-mata tidak mahu mereka kecewa. Terus terang adalah jalan terbaik. Beri mereka galakkan dan kesedaran bahawa tidak mengapa gagal atau tewas dalam sesuatu, asalkan kita memperoleh sesuatu daripadanya - contohnya 'at least you had fun with your friends'. Ketahuilah bahawa kegagalan lebih banyak memberi kita pengajaran dalam hidup berbanding kejayaan.

 

5) Pastikan mereka ada idola yang terbaik

Modelling Theory - Belajar dari contoh adalah kaedah belajar paling berpengaruh dalam kalangan kanak-kanak. Jika mereka cari idola yang salah, mereka akan kecewa. Ajar anak-anak mengenal peribadi Rasulullah SAW seawal mungkin dan jadikan baginda contoh terbaik dalam hidup. Anda sendiri sebagai ibu bapa perlu jadi antara idola mereka.

 

Terima kasih Dr Rozanizam atas perkongsian yang amat bermanfaat ini dan semoga memberi inspirasi kepada semua ibu bapa.