DI SEKOLAH kita dididik dengan nilai murni dalam kehidupan seharian. Antaranya ialah ucapan “Terima Kasih”.

Terima kasih bermaksud kata diucapkan atau ditulis sebagai tanda bersyukur atau sebagai tanda terhutang budi.

Ucapan itu mudah dilafazkan oleh sesiapa sahaja di setiap peringkat umur. Malah boleh juga disampaikan menggunakan bahasa isyarat.

Ucapan terima kasih merupakan satu ucapan yang mendamaikan, indah dan harmoni, membuat orang lain rasa dihargai juga sebagai rasa rendah diri seterusnya mencetuskan keunikan dalam kehidupan kita.

Mungkin ada antara kita yang lupa atau mengabaikan untuk mengucapkan terima  kasih kepada orang lain dan tidak mustahil merasakan ucapan itu tidak terlalu  penting.

Ucapan terima kasih sebagai tanda kita menghargai budi, jasa dan sumbangan seseorang kepada diri kita.

Ucapan itu akan mudah dingati, dapat menjalin hubungan mesra antara kedua belah pihak menjadi lebih erat.

Ucapan ini juga menjadikan orang lain rasa dihargai atas  pemberian dihulurkan dan pastinya di lain waktu orang itu akan memberi lagi kepada kita.

Setiap orang akan merasa seronok, puas hati apabila dapat memberi bantuan lebih-lebih lagi ditambah ucapan terima kasih yang ikhlas.

Sudah tentu mudah bukan untuk kita menyeronokkan hati orang lain!  Duhai anak muridku, sekiranya diucapkan kepada guru kita, ini menunjukkan kita amat menghargai ilmu dan tunjuk ajar diberikan kepada kita.

Melaluinya kita akan beroleh keberkatan ilmu yang akan kita bawa untuk menempuh  hari-hari mendatang.

Ucapan terima kasih kepada seorang guru  akan dibalas dengan doa daripada guru untuk kejayaan dan kecemerlangan hidup kita pada masa akan datang.

Anak muridku…ucapkanlah terima kasih dengan hati yang ikhlas tanpa ada sedikit pun  rasa terpaksa bersama senyuman.

Hal ini demikian bukan sahaja dapat menaikkan seri wajah tetapi juga rasa kebahagiaan dalam jiwa kita.

Ucapan keramat ini wajar kita  lafazkan bukan sahaja apabila orang memberi sesuatu kepada kita tetapi  juga kerana ucapan tahniah, orang  yang menziarahi kita,  memberi pertolongan, mendoakan sesuatu yang baik untuk kita ataupun mengingatkan kita tentang sesuatu perkara yang kita lupa.

Ucapan terima kasih sememangnya  mudah dilafazkan tetapi kadangkala sukar diamalkan dengan keikhlasan. 

Namun sebagai seorang manusia yang sentiasa menghargai orang lain kita akan mudah mengucapkan “TERIMA KASIH”.

Marilah kita menjadi insan yang saling menghargai dan dapat dihargai.

 

Mohamad Ali Alimin Guru Besar

SK Bukit Changgang, Banting, Selangor