Setiap kali tibanya tahun baharu sama ada mengikut kalender qamariyah (contoh kalender hijriyah) mahu pun syamsiyah (contohya kalender masihi), istilah ‘azam tahun baharu’ akan muncul semula dalam masyarakat kita.

Ramai orang akan menyatakan azam tahun baharu mereka disertakan dengan usaha mereka untuk mencapainya. Walaupun begitu, kerap kali azam itu tidak tercapai dan istilah ‘postpone azam ke tahun hadapan’ (atau bawa azam ke tahun hadapan) pula timbul.

Namun, pernahkah kita fikir apakah tujuan atau objektif kita menyematkan azam tahun baru dalam hidup kita? Adakah azam tahun baru dibuat sekadar untuk mengikut ‘trend’ masyarakat dan tidak mahu dilihat ketinggalan jika tiada azam tahun baharu tanpa mengetahui tujuan, kaedah pelaksanaan dan penilaian akhir azam tahun baru tersebut?

Guru Matematik dan Sejarah SK Sungai Tua Baharu, Cikgu Ahmad Zhafran Md Noor gariskan empat langkah yang boleh anda cuba.

Langkah 1 : Luruskan / betulkan niat dalam membina azam baru

Kita wajib meluruskan dan membetulkan niat kita untuk membentuk azam yang berkesan, mampu dicapai serta mengikut tuntunan dan tuntutan agama. Sebagai contoh, kita berniat untuk memperbaiki diri ke arah kebaikan, perbaiki pengurusan diri, penampilan, masa, komitmen keluarga, dan komitmen kerjaya kerana Allah taala semata, bukan untuk mengambil hati sesiapa atau mengelakkan cercaan orang lain. Kita berubah kerana Allah taala semata!

Langkah 2 : Bina 5 amalan positif diri sebagai azam

Berikut merupakan contoh amalan-amalan positif yang boleh diamalkan :

1)    Manfaat usia

Menghadiri program-program keagamaan dan kebajikan seperti kuliah Maghrib, ekspedisi amal rumah anak yatim, bantuan fakir miskin dan asnaf.

2)    Manfaat kesihatan

Merancang aktiviti fizikal dan amalan pemakanan yang sihat demi kesenangan dalam beribadat, berkeluarga dan bekerjaya seperti berbasikal, berjogging, mengamalkan diet seimbang serta menghindari makanan dan minuman yang diharamkan dalam Islam.

3)    Manfaat harta benda

Menggunakan wang ringgit dan harta benda ke arah kebaikan dan kebajikan seperti menggunakan ke arah kebaikan sahaja, memberi hadiah kepada rakan-rakan, bersedekah kepada fakir miskin, menunaikan zakat, dan berwakaf untuk membina masjid dan surau serta bantuan pusat kebajikan.

4)    Manfaat masa

Memperuntukkan masa ke arah kebaikan seperti meluangkan masa untuk membimbing ahli keluarga di rumah dalam aktiviti keagamaan, akhlak dan akademik, mengeratkan silaturrahim dengan handai-taulan dan jiran-tetangga serta menghadiri majlis-majlis yang mendatangkan kebaikan dan pahala seperti program keagamaan dan kemasyarakatan.

5)    Manfaat kehidupan

Menyayangi dan menghargai nikmat nyawa, nafas dan kehidupan yang diberikan oleh Allah dengan melakukan perbuatan yang baik sahaja serta menghindari perbuatan yang memudaratkan diri.

Langkah 3 : Singkir 5 amalan negatif diri sebagai azam

1)    Manfaat usia

Menghadiri program-program yang tidak bermanfaat, melekakan dan menjauhkan diri kita daripada Allah taala seperti acara hiburan yang melampau.

2)    Manfaat kesihatan

Tidak mengendahkan kesihatan diri seperti menghisap rokok/vape, memakan makanan tidak seimbang dan tidak menjaga aktiviti fizikal yang sihat.

3)    Manfaat harta benda

Menggunakan wang ringgit dan harta benda ke arah pembaziran dan tiada manfaat kepada diri, agama dan masyarakat seperti berjudi, membeli barangan mengikut kemahuan dan bukan keperluan serta bersikap kikir/bakhil dalam menginfakkan harta benda dan wang ringgit ke arah kebaikan.

4)    Manfaat masa

Memperuntukkan masa ke arah keburukan seperti lepak, mengadu domba, mengumpat, leka bermain permainan video dan melakukan aktiviti ke arah kemaksiatan dan tidak bermanfaat.

5)    Manfaat kehidupan

Melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan nyawa seperti sukan ekstrim yang memudaratkan nyawa dan badan, bergaduh antara kumpulan dan sebagainya.

Langkah 4 : Azam yang dibuat mestilah jelas, tepat dan mampu dicapai

1)    Azam yang dibuat mestilah bersifat ‘objektif’ dan bukannya ‘subjektif’

Contohnya “Saya berazam untuk lengkapkan solat fardhu 5 waktu sehari semalam,” dan bukannya “Saya berazam untuk solat jika mampu,” atau “Saya berazam untuk hadir ke tempat kerja sebelum pukul 8 pagi setiap hari,” dan bukannya “Saya berazam untuk hadir awal ke tempat kerja pada tahun ini,”

2)    Azam yang dibuat mestilah dinyatakan kuantiti atau angka secara jelas

Contohnya “Saya berazam untuk mendapat keuntungan dalam perniagaan RM15,000 sebulan pada tahun ini,” dan bukannya “Saya berazam untuk untung besar pada tahun ini,” atau “Saya berazam untuk menghadiri sekurang-kurangnya 3 kursus profesionalisme pada tahun ini,” dan bukannya “Saya berazam untuk mantapkan profesionalisme saya pada tahun ini,”

3)    Azam yang dibuat mestilah mampu dicapai atau mempunyai bibit-bibit mampu dicapai

Contohnya “Saya berazam untuk mendapat pointer 3.50 ke atas atas usaha keras saya selama ini,” dan bukannya “Saya berazam untuk mendapat pointer 4.0 walau pun pointer sebelum ini pointer saya bawah 2.50,” atau “Saya berazam untuk mendapat keuntungan perniagaan RM2,000 sebulan hasil perniagaan nasi lemak dan kuih-muih ini,” dan “Saya mahu menandingi jutawan kosmetik dengan pendapatan melebihi RM100,000 sebulan dengan meniaga nasi lemak dan kuih-muih ini,”

Semoga azam tahun baharu yang dipasakkan pada tahun ini lebih bererti dan bermakna buat kita semua hasil dari kefahaman kita dalam menetapkan azam tahun baharu berdasarkan niat, perancangan dan hala tuju yang betul.