DALAM kehidupan ini, kita tidak dapat terlepas daripada menghadapi masalah. Masalah itu sebenarnya adalah kehidupan dan merupakan sesuatu yang lumrah. Sesiapa sahaja akan berhadapan dengan masalah.

Begitu juga sesebuah masyarakat dan negara akan menghadapi masalah. Serius tidaknya sesuatu masalah itu bergantung pada darjahnya. Jika darjahnya rendah maka masalahnya tidak akan memudaratkan tetapi jika darjahnya tinggi maka masalahnya akan memberi kesan dan lebih memudaratkan yang melibatkan orang ramai, dan masalah seperti inilah perlu ditangani segera dengan cara yang bijaksana.

Nak pergi! Tak nak pergi! Pergi! Pergi! Pergi! Tak nak! Tak nak! Tak nak! Ahhhhh, boring, lebih baik aku ponteng!

Sikap Guru

Ketidakprihatinan guru dalam menarik minat murid dan gaya PdPc yang sangat membosankan. Ini akan menimbulkan rasa bosan terhadap sesuatu mata pelajaran dan seterusnya murid memasang niat untuk tidak hadir ke sekolah.

Jika guru mengajar dengan kaedah PdPc yang menarik akan membuatkan murid sentiasa menantikan waktu PdPc guru tersebut. Dengan itu, murid tidak akan merasa bosan atau jemu untuk belajar, bahkan mereka akan merasakan masa pembelajaran berlalu dengan begitu cepat bagi mata pelajaran tersebut.

Salah satu sifat guru yang paling penting ialah menimbulkan minat murid terhadap sesuatu mata pelajaran yang diajarkannya. Guru yang baik akan sentiasa mencari jalan bagi membantu murid memahami tentang isi pelajaran yang akan diajar. Guru yang dapat membuatkan murid memahami apa yang diajar tidak harus memberi kerja sekolah yang terlampau banyak sehinggakan murid tidak dapat menyiapkannya.

Murid tidak akan membuat sesuatu kerja yang mereka sendiri tidak tahu dan faham untuk melakukannya. Oleh sebab itu, mereka tidak menyiapkan kerja sekolah dan seterusnya tidak akan datang ke sekolah.

Peranan guru sebagai pendidik, pengajar dan kaunselor perlu menonjol dan memiliki sifat yang terpuji. Guru seharusnya berusaha untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan para murid tidak kira mereka itu pandai atau sebaliknya dan juga tidak mengamalkan sikap pilih kasih antara murid.

Corak hubungan guru yang mesra dapat menghasilkan suasana persekolahan yang sihat. Manakala, perhubungan individu yang lemah di antara guru dengan murid merupakan salah satu sebab yang menyebabkan niat murid untuk ponteng sekolah.

Kurangnya hubungan positif kualiti guru dengan komitmen murid

Kurangnya wujud hubungan positif antara ciri kualiti mempengaruhi komitmen belajar murid. Sepatutnya guru haruslah berpotensi mengubah sikap dan status murid terhadap sesuatu kurikulum.

Guru yang berkualiti akan dapat meningkatkan komitmen murid dalam aktiviti pembelajaran mereka serta menggalakkan penglibatan intelektual murid dalam proses PdPc di dalam bilik darjah.

Perkara ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pencapaian murid tersebut.

Oleh itu, guru perlu memainkan peranan untuk meningkatkan komitmen belajar murid tanpa mengambil kira latar belakang seseorang murid. Ciri guru yang kualiti yang boleh menjadi peramal terbaik kepada komitmen murid adalah hubungan guru-murid.

Guru yang mempunyai hubungan yang baik dengan murid di dalam bilik darjah mampu membantu murid untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam proses PdPc. Hubungan antara guru dan murid boleh memberi kesan terhadap pembelajaran murid dan pencapaian akademik mereka dan guru cuba untuk menjadikan PdPc lebih menarik, seperti membimbing murid berkomunikasi, menunjukkan sifat mengambil berat, jujur serta melayan murid secara adil, murid akan membalasnya dengan menunjukkan tingkah laku yang lebih positif di dalam bilik darjah.

Berasaskan faktor tersebut, guru harus berusaha memperbaiki hubungan mereka dengan para murid di dalam bilik darjah. Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi memastikan ilmu itu diterima dan difahami oleh muridnya.

Perkara ini hanya akan berlaku apabila guru mengambil berat perkembangan akademik murid mereka. Guru perlu bersedia berbincang dengan setiap muridnya bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka. Murid yang sentiasa diberi dorongan untuk mengoptima kebolehan mereka serta memperbaiki kelemahan yang ada, pasti akan lebih komited dalam pembelajaran mereka.

Lengkapkan diri dengan ilmu dan teori

Guru juga harus sentiasa dilengkapkan dengan ilmu dan teori terkini berkaitan perkembangan remaja dan permasalahan mereka. Ilmu ini akan membolehkan guru mendekati murid dengan cara berhemah dan seterusnya mendorong murid untuk lebih komited terhadap pelajaran mereka.

Kurangnya pengetahuan dan kemahiran guru dalam menangani perkembangan diri remaja khasnya murid yang mempunyai masalah disiplin seperti ponteng akan menyebabkan sebahagian guru lebih cenderung menggunakan kata-kata negatif, menyindir atau memandang rendah murid mereka.

Sikap guru seperti ini tidak menggalakkan murid memberikan komitmen terhadap sekolah dan pelajaran mereka. Daripada kenyataan-kenyataan ini jelaslah menunjukkan peranan guru dalam menangani niat ponteng sekolah amat penting.

Guru merupakan model bagi murid untuk meneruskan kerjaya mereka di masa hadapan. Jadi, guru haruslah sentiasa menunjukkan teladan dan contoh yang baik kepada semua murid bagi meneruskan harapan negara untuk melahirkan insan yang cemerlang.

Pengaruh rakan sebaya

Pengaruh rakan sebaya merupakan sebahagian faktor yang mempengaruhi niat ponteng sekolah dalam kalangan murid. Sesuatu perbuatan yang baharu bagi seorang murid biasanya mempunyai kaitan dengan perbuatan kawan yang lain.

Sekiranya seseorang murid tidak mengikut perlakuan kawan, murid tersebut akan berasa bimbang dan kemungkinan tidak mendapat kawan yang ramai. Jadi menganggotai sesuatu kumpulan merupakan jalan untuk mencapai objektif murid tersebut.

Ajakan daripada kawan dan terpengaruh dengan rakan yang tidak hadir. Pengaruh rakan sebaya pada peringkat remaja amat ketara kesannya kerana pada peringkat ini remaja cuba memilih rakan-rakan yang sehaluan dengan hobi dan minat mereka. Pergaulan murid dengan rakan sebaya tanpa kawalan amat berbahaya kerana boleh menyebabkan seseorang murid melakukan perkara-perkara yang tidak diingini seperti menghisap rokok, menghidu gam, mencuri dan lain-lain lagi.

Keadaan akan bertambah meruncing jika murid tersebut bergaul dengan rakan-rakan yang tidak bersekolah lagi.Oleh itu, pemilihan rakan sebaya yang sesuai akan dapat meningkatkan prestasi murid dalam pelajaran. Ia juga penting bagi mempertingkatkan mutu pencapaian pelajaran.

Jadi, murid-murid seharusnya bijak untuk mencari siapakah rakan-rakan yang sepatutnya dijadikan kawan sewaktu berada di sekolah kerana kawan yang baik akan sentiasa berada di sisi kita walau dalam apa pun keadaan. Sehubungan dengan itu, perbuatan ponteng sekolah akan dapat dikurangkan.

Pengaruh penggunaan teknologi

Penggunaan Teknologi merupakan antara faktor lain dalam mempengaruhi niat ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah menengah selain daripada faktor guru. Kewujudan pengaruh media massa seperti media cetak dan media elektronik dilihat sebagai punca yang menyebabkan niat ponteng sekolah murid.

Murid kini lebih suka berminat menonton televisyen, mendengar radio, bermain game dan melayari internet berbanding mengulang kaji pelajaran. Perkembangan media massa digunakan untuk mendapatkan bahan-bahan yang ilmiah disalahgunakan oleh para murid dengan melihat perkara-perkara yang berunsur negatif serta pornografi.

- Dr Abdul Ghani Jalil

Merupakan Guru Cemerlang BM, SMK Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah.

Artikel menarik:

Mak dan ayah...jangan MALU jika anak ada masalah pembelajaran

'Sejak masuk sekolah ni, Nana sudah lancar membaca'- Cikgu Ashikin senyum, mula menyusun kata-kata