Catatan bertarikh 25 Mei 2019

SEJAK petang semalam ramai rakan komrad membuat hantaran di laman sosial tentang keputusan EGtukar.

Ada yang berjaya berpindah, alhamdulillah dan ada juga yang masih belum diberi keizinan oleh Allah untuk berpindah.

Yang dapat, bergembira dan yang tidak, suram dan geram.

Maka mulalah episod luahan hati rakan-rakan yang gagal dalam permohonan mereka. Tersentuh juga hati bila baca komen-komen sedih dan juga komentar geram penuh emosi. Mula menyalahkan pihak-pihak terbabit kerana memandang sepi permohonan mereka. Semua itu fitrah bagi orang marah. Janganlah ada pegawai KPM misalnya yang membaca komen tersebut terus menyimpan rasa dendam (ada yang buat screenshot komen tersebut). Saya kira pegawai-pegawai di PPD, JPN dan KPM pun pening untuk menguruskan perihal ini. Kita cuba beri ruang pada mereka dan cuba membuat rayuan.

Kepada guru-guru yang tak berjaya pun janganlah terlalu emosi membuat komentar dalam media sosial. Tak perlu menggunakan perkataan berupa cerca, maki hamun dan pelbagai tuduhan. Saya yakin kita dah usaha untuk melakukan yang terbaik, namun Allah lebih tahu dan perancangan untuk kita lebih baik. Bersabarlah.

Kepada pihak KPM sudilah melihat kembali kepada prioriti pertukaran di pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Guru berduka lara akibat berjauhan dengan suami dan isteri ini boleh membawa impak negatif terhadap kualiti kerja malah menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga. Cuba cari jalan menyatukan kembali.

Demikian juga bagi ahli keluarga yang sakit. Contoh ibu dan ayah yang sakit. Sedangkan guru tersebut mungkin satu-satunya anak lelaki yang masih diharapkan keluarga. Permudahkan urusan mereka ini. Janganlah diselar dengan kata-kata yang menjatuhkan semangat mereka.

Ada rakan guru pernah bercerita disindir dengan ayat "ahh ayah orang lain pun sakit juga.. Tapi tak lah macam kamu nak minta balik kampung”. Saya yakin ramai pegawai yang terlibat dengan urusan pertukaran ini profesional dalam tugas mereka.

Guru-guru yang diutamakan juga bukan sekadar melibatkan guru Malaya di Sabah dan Sarawak pulang ke Malaya ataupun guru Sabah bertukar dari Sarawak dan sebaliknya, malah guru-guru tempatan yang turut berkhidmat di pedalaman negeri masing masing. Ada guru dari Kuching dan Miri misalnya dah bertahun-tahun berkhidmat di pedalaman Kapit boleh juga dipertimbangkan.

Masalah yang dihadapi mereka ini pastinya kos untuk pulang setiap kali cuti (bagi yang berjauhan dengan pasangan lebih kerap akan pulang). Ribuan ringgit akan habis. Selain itu ancaman juga boleh berlaku terhadap guru-guru pedalaman ini. Contohnya ada guru di pedalaman membawa anak kecil mereka menaiki perahu panjang menongkah arus deras Pelagus atau Balleh..kemungkinan berlaku karam adalah sesuatu yang ngeri untuk difikirkan namun ancaman sedemikian tetap ada. Belum lagi sakit demam dan sebagainya. Alhamdulillah komrad pedalaman yang saya kenali di Kapit dan Belaga dilayan oleh penduduk tempatan dengan baik dan mesra.

Pernah seorang rakan dari Kelantan anaknya demam, memanggil Manang Iban mengubati anaknya dan dengan izin Allah sembuh pula.

Pernah rakan guru dari Johor menumpangkan anaknya dijaga oleh keluarga Kenyah sementara si ibu terpaksa berkursus seminggu. Namun kisah-kisah indah seperti ini bukanlah menjadi tiket untuk merasakan guru-guru ini selesa dan tak perlu ditukarkan dahulu. Mereka ini ada yang lebih 8 dan 10 tahun berkhidmat dan berkali-kali memohon pertukaran.

Mungkin selepas ini guru-guru seperti ini diberikan keutamaan untuk berpindah. Graduan lepasan IPG yang baharu bolehlah ditempatkan sebagai ganti kekosongan yang ditinggalkan mereka nanti. Bak kata pepatah orang ribai “win win situation".

Kesimpulannya kepada guru-guru yang belum berjaya teruskan rayuan, teruskan ikhtiar dan jangan patah semangat..berserah pada Allah.

Selamat berkhidmat di stesen baharu untuk guru-guru yang berjaya.

Nukilan, Cikgu Emmet

Eg Kekal

Sumber: Facebook Cikgu Emmet Menulis

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohon EGtukar tapi tak pernah lulus - Akhirnya guru ini buat 'sesuatu' dan keputusannya mengejutkan

Surat rayuan pertukaran EGTukar cara Cikgu Hailmi

ARTIKEL MENARIK:

Kelas tambahan percuma, sering sedekah, suka bantu orang susah...Peribadi Cikgu Ven buat ramai kagum

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku