PUTRAJAYA – Warga pendidik tidak perlu risau untuk merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana Kementerian Pendidikan telah membina asas kukuh bagi menerapkan kemahiran Abad ke 21 dalam generasi akan datang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha itu termasuklah melalui Enam Aspirasi Murid yang diterapkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Kita juga bersedia memenuhi aspirasi global kerana pendidikan di negara ini selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) keempat mengenai pendidikan yang menetapkan sasaran enrolmen universal pada 2030.

“Maka, peranan warga pendidik amat penting bagi memastikan kejayaan transformasi pendidikan berupaya menganjak kualiti generasi baharu ke arah pemikiran universal,” katanya ketika menyampaikan perutusan tahun baharu 2017 Kementerian Pendidikan di Dewan Plenari, PICC di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, beberapa perkara penting telah digariskan bagi menjayakan transformasi pendidikan negara ini.

Katanya, ini termasuklah pembangunan infrastruktur sekolah yang menjadi tulang belakang dalam melonjakkan pendidikan negara.

“Kementerian memandang serius infrastruktur sekolah yang memerlukan penyelenggaraan semula. Tahun lalu, kita menerima peruntukan berjumlah RM2.044 bilion di bawah belanja pembangunan untuk 1,047 projek iaitu 356 projek baharu dan 691 projek sambungan,” katanya.

Mahdzir berkata, bagi tahun ini, peruntukan pembangunan Kementerian Pendidikan untuk pelaksanaan Rolling Pelan Kedua RMK11 berjumlah RM1.096 bilion.

“Daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM62.53 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek baharu. Manakala baki sebanyak RM1.033 bilion diperuntukkan untuk menampung 889 projek sambungan tahun 2016,” katanya.

Sementara itu, katanya, penekanan keseimbangan ilmu dan akhlak adalah penting dalam Falsafah Pendidikan Negara.

“Amat wajar jika etika dan kerohanian diterapkan melalui aktiviti PdP, sukan, ko kurikulum serta amalan harian. Peranan ibu bapa, masyarakat, guru dan pemimpin sekolah penting bagi murid memahami konsep dan amalan nilai universal yang merujuk kepada pegangan agama serta standard moral,” katanya.

KPM akan usaha selesai masalah kerencaman tugas guru

Menyentuh soal kerencaman tugas guru, Mahdzir berkata, kementerian berusaha mencari penyelesaian isu itu.

“Mulai 2017, kementerian membuat ketetapan aplikasi yang wajib diuruskan guru kelas dan guru akademik biasa hanya Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dan Penaksiran Berasaskan Sekolah (PBS-Offline).

“Aplikasi lain melibatkan operasi sekolah seperti Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS) dan Sistem Pendaftaran Atas Talian (SPAT) akan dilaksanakan oleh guru dilantik sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif PPPM telah dikemas kini bagi memastikan momentum Gelombang 2 (2016-2020) diteruskan.

“Berdasarkan senarai inisiatif oleh bahagian berkaitan dan dipantau Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu), saya yakin transformasi pendidikan kita akan terus berada di landasan betul,” katanya.

Mahdzir turut menekankan kepentingan integriti dalam kalangan penjawat yang kini berada dalam tahap kurang memuaskan.

“Pada hemat saya, penganugerahan Tokoh Teladan Integriti wajar diwujudkan bagi melestarikan integriti menerusi pendidikan.

“Anugerah itu juga dapat mempromosikan pendekatan dakwah ‘bil hal’ yang lebih berkesan dalam membudayakan nilai integriti,” katanya.

Selain itu, katanya, masyarakat perlu diberi pemahaman mengenai dasar dan program pendidikan melalui komunikasi berkesan.

“Komunikasi berkesan sama penting dengan perancangan dan pelaksanaan sesuatu program atau inisiatif.

“Pelan komunikasi penting untuk memastikan masyarakat faham hala tuju pendidikan bagi membolehkan mereka menyokong dan membantu kementerian,” katanya.

Amanat untuk warga pendidik, ibu bapa

Dalam pada itu, Mahdzir turut menyampaikan amanatnya kepada warga pendidik yang terdiri daripada guru, pemimpin sekolah, pensyarah IPG, kolej matrikulasi dan tingkatan enam.

Katanya, golongan ini perlu meningkatkan usaha untuk menambah pengetahuan dan kemahiran, terutama dalam mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran.

“Perhebatkan aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam diri murid sejajar dengan kaedah Pembelajaran Abad ke-21. Pembelajaran harus menyeronokkan murid untuk teru kekal di sekolah.

“Pertingkatkan pengajaran dan pembelajaran kepada peningkatan penguasaan dan aplikasi pengetahuan oleh murid. Insya-ALLAH murid akan bersedia menghadapi sebarang bentuk pentaksiran,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi pegawai di kementerian, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah, mereka perlu menjadi pemikir dan pemimpin perubahan.

“Jadilah perancang yang dapat mengagih dan menggunakan sumber yang ada secara optimum dan bantuan dihulurkan secara bersasaran.

“Jadilah pemimpin transformasi yang dapat melestarikan dan memperhebat pelaksanaan semua program pendidikan,” katanya.

Beliau turut berharap ibu bapa, komuniti dan sektor swasta melibatkan diri dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta aktiviti pendidikan di sekolah.

“Berilah sokongan dan bantuan kepada pihak guru dan sekolah dalam apa jua bentuk untuk melonjakkan prestasi pendidikan anak-anak.

“Saya harap kita semua dapat bekerja dalam satu pasukan yang mantap demi menjayakan apa yang telah kita gariskan dalam perancangan strategik dan petunjuk prestasi utama kementerian tahun ini dan akan datang,” katanya.

Info

1. Langkah menjayakan transformasi pendidikan negara.

2. Infrastruktur pendidikan Penerapan nilai dan akhlak.

3. Pengurangan kerencaman tugas guru.

Antara kejayaan warga KPM pada 2016

1. Anjur pelbagai persidangan peringkat antarabangsa Lawatan delegasi asing bagi melihat lebih dekat transformasi pendidikan  negara.

2. Peningkatan skor murid dalam TIMSS.

3. Peningkatan skor murid Malaysia dalam PISA.

4. Mohd Sirhajwan Idek (Guru KV Keningau) terpilih 50 finalis Varkey Foundation Global Teacher Prize.

5. Sekolah Seni Malaysia Sarawak dapat tempat kedua dan anugerah juri di International Folklore Competition International Talent 2016 di Sepanyol Johan keseluruhan World Robot
Olympiad 2016 di India.