CUTI sekolah adalah masa yang sangat sesuai untuk baiki mana yang kurang bagi subjek Matematik. Terutamanya buat mereka yang akan menghadapi UPSR, pastikan kalian menggunakan cuti yang ada dengan sebaiknya. Bukan dengan membuat perkara yang membuang masa.

Pesanan ini khas buat murid-murid di luar sana.

Murid yang bijak adalah mereka yang konsisten dalam membuat ulangkaji tanpa menunggu sehingga minit-minit terakhir sebelum sesuatu ujian atau peperiksaan tiba. Elakkan budaya bertangguh yang akhirnya akan memakan diri sendiri.

Tiada langkah mudah untuk kalian menguasai subjek Matematik. Ia memerlukan latih tubi yang banyak setiap hari. Buat pembetulan dan kesan di mana kesalahan. Kemudian, cari soalan yang hampir sama bentuknya, buat lagi dan lagi. Langkah-langkah ini akan mengelakkan kalian daripada melakukan sebarang kecuaian seterusnya meningkatkan markah dalam peperiksaan. 

Semasa cuti sekolah ini, pastikan kalian peruntukkan masa untuk subjek Matematik.

Paling kurang 10 minit untuk selesaikan beberapa soalan latih tubi. Lagi bagus jika kalian ada jadual waktu belajar khas sepanjang cuti ini. Murid yang cemerlang, mereka belajar secara bersistem dan melatih diri mereka untuk tepati waktu. 

Jika suasana di rumah tidak begitu kondusif untuk belajar, kalian boleh mendaftar di mana-mana pusat tuisyen berdekatan kawasan perumahan kalian dengan kebenaran dari penjaga.

Cumanya pastikan pusat tuisyen tersebut mempunyai tenaga pengajar yang mahir. Malahan itu, kalian juga boleh mendapatkan khidmat tutor jika kalian mahukan perhatian yang lebih khusus. 

Murid yang bijak adalah mereka yang menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya. Misalnya ketika berada dalam kenderaan menuju ke mana-mana destinasi, kalian boleh baiki dan lancarkan penghafalan sifir. Seperti yang kita sedia maklum, sifir ini umpama nadi dalam Matematik. Murid yang dapat menghafal sifir, sudah pasti akan dapat menyelesaikan soalan Matematik dengan baik. 

Pesanan saya yang seterusnya adalah berkaitan dengan penggunaan gadget semasa cuti sekolah.

Jadilah pengguna yang bijak dengan memilih aplikasi-aplikasi yang dapat membantu dalam pelajaran.

Bagi subjek Matematik khususnya, aplikasi permainan seperti Sudoku dan Uno adalah pilihan yang baik. Ini kerana aplikasi-aplikasi tersebut bukan sahaja menyeronokkan, malahan juga dapat membantu dalam mengukuhkan penguasaan Matematik.

Selain itu, terdapat banyak saluran-saluran pembelajaran yang boleh dilayari di platform seperti Youtube, Telegram dan Facebook yang mana ia mengandungi ribuan perkongsian yang dapat menambah serta mengukuhkan pengetahuan kalian. 

Akhir kata dari saya, jangan terlalu leka dengan cuti kerana ia hanyalah bersifat sementara. Gunakanlah cuti yang ada dengan sebaiknya. Cuti-cuti juga, ulangkaji jangan dilupa ya!

MOHAMAD HAKIM MOHAMMAD NOR

Guru Matematik

SK SLDB No.1, Mukah, Sarawak

Artikel Menarik:

Guru perlu sentiasa cungkil dan kesan bakat murid

Pelajarku, sila amalkan empat tip ini untuk hadapi ujian paling getir... SPM

Raikanlah kejayaan dan santuni kegagalan

Kalian bukan pelanggan, jangan sesekali tinggalkan adab

Anak muridku... belajarlah terokai peluang

Jangan merendahkan orang lain, jaga sikap dan tutur kata