SALAM sejahtera kepada seluruh rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian.

Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk ke fasa kedua iaitu pertambahan selama 14 hari lagi sehingga 14 April 2020 pastinya mengundang rasa yang pelbagai bagi setiap rakyat Malaysia.

Ada yang begitu komited berada di rumah mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, ada juga yang gusar kerana mula bosan dengan keadaan sebegini namun saya percaya bahawa setiap dari kita faham kenapa perintah ini dikeluarkan.

Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada anak-anak pelajar supaya mengambil peluang pada ketika berada di rumah masing-masing agar terus menimba ilmu.

Saya percaya walaupun anak-anak semua tidak boleh ke sekolah mahupun hadir ke kelas-kelas pengajian, pembelajaran tidak sepatutnya terhenti dan kerana itu saya ingin mengesyorkan kepada anak-anak di seluruh Malaysia supaya menggunakan medium internet secara ‘online’ untuk terus menimba ilmu.

Banyak sumber-sumber dari internet yang boleh digunakan sebagai rujukan, bahan pembacaan, soalan-soalan ulangkaji serta panduan-panduan peperiksaan yang disediakan mereka yang pakar serta para guru.

Kepada ibu dan bapa pula, bantulah anak-anak anda dan mudahkan mereka untuk mencapai pautan yang tersedia. Buatlah carian dan luangkanlah sedikit masa untuk bersama dengan anak masing-masing kerana saya percaya dengan sokongan dan tunjuk ajar dari anda semua akan memberikan semangat kepada anak-anak.

Saya juga memahami kesukaran serta kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa dan para guru, sesetengah daripada anda mempunyai ramai anak dalam keluarga sudah tentu anak-anak memerlukan komputer dan gajet untuk melakukan pembelajaran secara atas talian.

Kerana itu saya benar-benar faham, pastinya ada anak-anak yang perlu berkongsi penggunaan komputer mahupun gajet untuk mengikuti pembelajaran secara atas talian ini, maka saranan saya berusahalah dengan sehabis baik mungkin merancang perkongsian berjadual buat sementara waktu.

Bagi para guru pula, pihak kementerian sedang berusaha untuk membantu anda dari segi penyediaan bahan-bahan pengajaran agar lebih mudah bagi anda untuk meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat.

Saya juga sedar terdapat kawasan-kawasan tertentu yang mungkin mengalami masalah kelembapan talian internet, percayalah kami juga sedang berusaha ke arah itu kerana dalam masa dan keadaan sebegini, internet adalah salah satu saluran terpenting untuk berkomunikasi serta mendapatkan maklumat.

Selain dari itu, saya yakin hubungan yang terjalin sebegitu akan lebih merapatkan lagi ikatan kekeluargaan malah kita dapat memastikan bukan sahaja nilai-nilai kekeluargaan lebih mesra tetapi juga kesihatan seisi keluarga terjamin.

Percayalah pihak kami sedang berusaha sehabis baik dan termampu untuk anda di saat sebegini.

Kita doakan agar musibah ini cepat berlalu dan bersyukurlah setakat ini wabak Covid-19 di negara kita masih dalam keadaan terkawal dan tidak seteruk seperi mana di negara-negara yang lain.

Sama-sama kita cegah Covid-19 dan kita tingkatkan ilmu untuk anak-anak kita.

Ayuh Malaysia kita buat yang terbaik untuk diri kita bersama-sama.

Tidak ada yang mustahil selagi mana kita bersatu atas nama Malaysia.

Kita hadapi masa sukar ini bersama-sama.

Sumber: Facebook Dr. Mah Hang Soon

Artikel menarik:

'Murid masih belum dapat suaikan diri masuk kelas maya' - Cikgu Haslindar

Pembelajaran digital pelajar melalui e-pembelajaran

Langkah bijak STEMZA cungkil bakat baru dalam sukan taekwondo, pelajar tak perlu bayar yuran latihan