DINOBAT sebagai Guru Adiwira Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) membuatkan Guru Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi  Abdul Mutalib gigih berkongsi ilmu dengan pendidik di seluruh negara.

Menerima pelbagai anugerah hingga ke peringkat antarabangsa, terkini beliau terpilih merangkul Anugerah Amalan Terbaik Bilik Darjah dalam satu pertandingan yang dianjurkan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) pada April lalu.

Cikgu Norhailmi

Menurutnya, beliau antara yang terawal mendapat pendedahan mengenai PAK21 tetapi ramai juga guru yang menunjukkan minat dan kesungguhan yang tinggi.

"Ciri perlu ada pada pembelajaran Abad 21 (PAK21) hendaklah berteraskan Komunikasi, Kreativiti, Kolaboratif, Nilai  Murni dan Etika dan Pemikiran Kritis.

"Alhamdulillah saya rasa bersyukur dapat berkongsi ilmu dengan guru, jelas  nampak perancangan PdPc semasa sesi bengkel yang saya buat menunjukkan daya kreatif guru yang sangat tinggi.

"Lebih menarik apabila guru menunjukkan kepelbagaian dari segi pilihan aktiviti dan strategi, menjadikan sesi bengkel tersebut sangat berjaya, dan secara langsung dapat mencapai hasrat Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya.

Cikgu Norhailmi kongsi cara hasilkan video PdPc bersama guru dan staf di Pejabat Pendidikan Daerah Kulim, Bandar Baharu, Kedah.

Tambahnya lagi, beliau telah banyak buat perkongsian bersama guru di  seluruh negara.

"Saya berkongsi apa saya buat agar  lebih ramai guru berinisisatif, berdedikasi, berdaya saing dan bersemangat demi memajukan pendidikan.

"Saya ada juga membantu dan menyokong guru lain dengan memberi  konsultasi percuma sama ada melalui atas talian dan bersemuka dengan mereka yang  memerlukan sokongan motivasi dan kreativiti," katanya.

Cikgu Norhailmi (tengah) tunjukkan cara bedah jantung lembu di hadapan guru dan pelajar SMK Jerlun.

Menurut Cikgu Norhailmi, setakat ini lebih 300 bengkel pengajaran dan pembelajaran dibuat di seluruh negara yang biasanya meliputi bengkel membuat video pengajaran dengan menggunakan telefon pintar serta pemudahcaraan (PdPc) dan perkongsian PAK21.

"Di dalam kelas, saya banyak tekankan aktiviti hands on dengan  pembelajaran berasaskan projek di mana guru arahkan pelajar buat aktiviti menarik dan berkait dengan sukatan pembelajaran," ujarnya.

Pesan beliau kepada guru baharu, mulakan transformasi dalam bilik darjah  sendiri terlebih dahulu untuk menjadi  lebih kreatif agar proses pembelajaran menjadi lebih bermakna.

"Perubahan memang ada cabaran, tetapi dapat diatasi jika kita memahami keperluan transformasi pendidikan masa kini, jika kita amalkan walk the talk inilah yang akan memberi kejayaan kepada kita sebagai guru," katanya.

Keterujaan guru SMK Sultanah Bahiyah, Alor setar, Kedah dapat menghadiri bengkel cara buat video PdPc dengan menggunakan telefon pintar.

 

Tambahnya, seiring dengan perubahan zaman, gaya pembelajaran  hari ini menuntut warga pendidik untuk mempelbagaikan gaya pengajaran bagi  meningkatkan tahap keberkesanan. 

Artikel Menarik:

'Perlu jaga imej' - Guru ini kongsi empat elemen imej yang perlu ada pada pendidik

'Tidak layak ke sekolah berasrama penuh, bukan gelap masa depan' - Penulis ini kongsi pengalaman

Anak dapat tawaran SBP...kepuasan mak ayah atau kehendak anak?