Isu PdPR sejak akhir-akhir ini banyak mengundang persepsi banyak pihak yang rata-rata bimbang PdPR tidak adil kepada murid-murid yang bermasalah belajar secara dalam talian.

Mendepani cabaran ini bukanlah mudah apatah lagi bagi murid-murid yang berada di kawasan luar bandar dan kawasan pendalaman.

Selain masalah kestabilan talian dan capaian internet, kebanyakan murid tidak mempunyai telefon bimbit sendiri dan hanya bergantung sepenuhnya dengan ibu bapa.  

Bahkan, bukan semua ibu bapa mempunyai talian jalur lebar yang stabil akibat ketiadaan data yang mencukupi kerana masalah ekonomi dan tekanan hidup.

Masalah logistik dan struktur geografi juga memberi kesan kepada kadar kepantasan penerimaan maklumat. Walaupun mempunyai media elektronik dan pelbagai aplikasi, masalah capaian tetap membelenggu murid-murid untuk menerima maklumat dengan pantas.

Bagi memastikan kelangsungan pendidikan dan murid-murid menerima bimbingan berterusan. Sekolah Kebangsaan Kg Baharu, Jerantut Pahang telah mewujudkan  Drop Box Homework Emengency Remote Teaching Centre.

Ia berfungsi sebagai medium perantara bagi menyalur latihan kepada murid-murid dan kutipan buku-buku latihan untuk semakan guru.

Menurut Guru Panitia subjek Bahasa Melayu dan Sejarah, SK Kg Baharu, Cikgu Norafizah Abdul Razak berkata, guru-guru sekolah di sekolah itu menyediakan bahan-bahan latihan dan modul setiap hari Khamis untuk semua mata pelajaran.

Katanya, ibu bapa dan penjaga akan mengambil bahan atau modul PdPR setiap hari Khamis dan guru akan mengutip tugasan tersebut pada hari yang sama minggu berikutnya.

“Pembelajaran berterusan melalui bimbingan di dalam  grup WhatsApp Mata Pelajaran oleh guru masing-masing turut diwujudkan. Bagi murid-murid yang  disukar dihubungi melalui telefon, mesej atau WhatsApp, guru mengambil inisiatif sendiri pergi ke rumah mereka untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang permasalahan yang dihadapi selain menghantar tugasan ke pintu rumah murid-murid.

“Sesi pembelajaran secara off-site ini membantu murid-murid yang menghadapi masalah capaian dan berkongsi peranti, memandangkan PdPR berjalan serentak. Walaupun murid-murid kami berada di luar bandar dan tidak mempunyai gajet atau peranti yang canggih, kami tetap memastikan mereka mendapat bimbingan berterusan melalui aplikasi whatsApp dan panggilan video,” jelas Cikgu Norafizah.

Ujar beliau, kaedah melalui offsite ini telah bermula sejak PKPB diperkenalkan pada tahun lepas lagi. Ia juga telah mendapat sokongon sepenuhnya daripada pihak ibu bapa serta penjaga.

Selain itu pengawal keselamatan juga banyak membantu dalam pematuhan SOP  ketika pengambilan dan pemungutan semula tugasan oleh ibu bapa dan guru.

“Sebenarnya, tugasan yang diambil dan dipulangkan dibuat secara pandu lalu kerana plastik khas digunakan untuk mengasingkan modul mengikut nama murid  dan kelas.

“Selain itu, guru-guru juga menggabungkan kaedah offline  dengan membincangkan tugasan melalui aplikasi WhatsAPP  iaitu medium yang paling ‘mesra’ dengan ibu bapa dan penjaga di luar bandar,”

ujarnya.

Terang beliau, bilangan murid yang sedikit memberi kelebihan kepada guru-guru untuk membimbing murid-murid melalui teknik gabungan. Hasil kerja murid juga dapat disemak seperti mengikuti pembelajaran bersemuka.

Apa jua kaedah yang digunakan kreativiti dan komitmen semua pihak adalah penentu kejayaan PdPR.

Setiap sekolah mempunyai cabaran berbeza, guru seharusnya menggunakan kekuatan dan peluang yang ada untuk meminimakan kelemahan dan cabaran yang dihadapi.  

Lebih-lebih lagi bagi Sekolah Kurang Murid (SKM), terutamanya di Sabah dan Sarawak, guru-guru adakalanya perlu menempuh arus sungai yang deras, melalui denai yang sempit, hutan dan semak samun kerana kedudukan SKM yang terletak jauh di pedalaman.

“Bahan-bahan PdPR sebaiknya dibina dan digubal oleh guru mengikut tahap keupayaan murid-murid. Bahan-bahan yang dikongsi di platform pendidikan haruslah disesuaikan dengan kemampuan murid agar mencapai objektif yang ditetapkan.

“PdPR bukan hanya sesi pembelajaran dalam talian semata-mata, tetapi penggunaan pelbagai sumber dan strategi mampu membantu semua pihak mendepani situasi pendidikan yang mencabar ini.” Katanya.