Dalam abad ke-21 ini, perubahan dan perkembangan dalam pelbagai disiplin ilmu menuntut kita melakukan perubahan dan pengubahsuaian agar dapat bergerak seiring dengan perubahan dunia.

Begitu juga dengan sistem pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21, seorang guru itu perlu menyediakan dan membekalkan pelajar, bukan sahaja ilmu, tetapi juga pelbagai kemahiran seperti aspek era digital, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif.

Teknik menghasilkan karektor.

Menurut Ustaz Mohd Nasrullah Che Halim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kartun dalam kalangan pelajar, pembelajaran komik merupakan salah satu daripada pedagogi untuk proses PdPc yang mampu memenuhi gaya pembelajaran pelajar melalui pembelajaran santai.

Selain dapat membantu pelajar membuat bahan pembelajaran sendiri, ia juga melatih mereka berfikir secara kreatif dan menjana idea.

Antara karya Ustaz Kartun

Beliau yang juga Guru Pendidikan Islam dan Seni Visual di Guru Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah menjelaskan, kartun dan komik bukan sekadar lukisan dan cerita bergambar tetapi suatu bentuk media komunikasi visual yang mempunyai kekuatan untuk menyampaikan informasi.

“Saya menggunakan pendekatan kartun dan komik dalam pengajaran dan berkongsi teknik menghasilkan komik pendidikan bersama pelajar. Ketika pembelajaran, kami akan membuat skrip dialog menerusi penerangan bergambar.

Belajar tajwid menggunakan teknik kartungogi

“Pelajar akan belajar dan melatih diri mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif untuk mengeluarkan isi-isi penting daripada buku teks. Pembinaan skrip humor dan melukis watak yang melucukan adalah aktiviti yang menyeronokkan, selain dapat mengembangkan sifat kreatif pelajar,”jelas pendidik asal Alor Setar, Kedah ini.

Menurutnya, selain penggunaan peta minda atau i-tink, pelajar juga boleh menggunakan komik ketika pembentangan dalam kelas.

“Bukan mudah untuk mengingati sesuatu fakta yang terkandung dalam buku teks. Namun menerusi teknik ini, akan dapat mewujudkan suasana aktif di dalam kelas dan pembelajaran itu menjadi lebih seronok. Kesannya, pembelajaran lebih mudah diingati dan dihayati melalui komunikasi visual,”terang guru yang pernah merangkul beberapa anugerah di peringkat universiti dan IPG ini.

Pelajar sedang melakarkan kartun bersiri di dalam kelas

Pelajar belajar dan melatih diri mengeluarkan isi-isi penting daripada buku teks dan diterjemahkan dalam bentuk kartun

Teknik pembelajaran dan pengajaran menerusi komik itu apabila dipersembahkan dalam bentuk lukisan ilustrasi kartun dengan pelbagai teknik yang menarik, di situlah terdapat nilai pengukuhan atau rekod kekal.

Ia secara tidak langsung membolehkan seseorang guru itu mendapat tindak balas yang berkesan daripada pelajarnya.

Karektor Cikgu Kartun

“Bahan kartun adalah salah satu media bahan bantu mengajar yang menarik untuk digunakan dalam proses pengajaran. Pendekatan menggunakan lukisan kartun ini sedikit sebanyak menarik minat dan mendorong pelajar berasa gembira ketika berada di dalam kelas.

“Guru mahupun pelajar boleh menggunakan pelbagai aspek kemahiran, misalnya dalam pengajaran lisan; lukisan kartun bersiri boleh digunakan. Manakala dalam mengajar aspek pemahaman, soalan-soalan yang dibina daripada rentetan cerita dan dialog-dialog boleh diketengahkan.

Kartungogi Sejarah yang dihasilkan oleh lima pelajar Maktab Mahmud Alor Setar memenangi Silver Award di Pertandingan Inovasi Pembelajaran Peringkat Antarabangsa 2019 di UUM

“Guru hanya perlu berikan idea dan menjadi pembimbing kepada pelajar bagaimana untuk menggabungkan ilustrasi dan informasi ke dalam bentuk komik. Cuma yang penting isinya perlulah berkaitan dengan subjek yang mereka belajar di sekolah.  Apabila pelajar belajar mencatat dan menukarkan nota ke dalam bentuk lukisan, ia akan dapat memberi gambaran keseluruhan tajuk yang dipelajari,”katanya.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Usuludin, Universiti Al-Azhar dan juga Diploma Pendidikan, Institut Perguruan Kampus Perlis ini sering kali dijemput  untuk berkongsi teknik menghasilkan komik berkaitan pendidikan secara hands-on kepada pelajar di sekolah seluruh Malaysia.

“Pengalaman sepanjang mengendalikan program pembangunan komik pendidikan di seluruh Malaysia, saya melihat kebanyakkan pelajar sangat berbakat melukis kartun. Di sinilah guru perlu memberikan galakan kepada pelajar untuk menggunakan kemahiran itu dalam pembelajaran,” katanya.

Pelajar perempuan sedang membuat pembentangan di hadapan kelas

Menurut Cikgu Nasrullah, pelajar di peringkat rendah, menengah mahupun lepasan sekolah, perlu diberikan pendedahan awal mengenai teknik dan langkah-langkah melukis kartun dan komik.

Tambahnya, medium tersebut dilihat sesuai selain idea baharu dalam mengembangkan ilmu pendidikan.

“Kesimpulannya, keberkesanan pengajaran dapat dinilai melalui kepelbagaian bahan dan teknik yang digunakan. Saya mengharapkan komik bukan sekadar cerita bergambar yang menghibur tetapi suatu bentuk media komunikasi visual yang mempunyai kekuatan untuk menyampaikan informasi dalam pembelajaran. Secara tidak langsung boleh membantu pelajar membuat rujukan akhir sebelum menghadapi peperiksaan,”katanya.

Pemenang Emas Kategori Sekolah Menengah, di Karnival Kreativiti Inovasi PdPC Peringkat Kebangsaan (KKi 2019) di Institut Perguruan Kampus Sultan Mizan, Besut Terengganu

Beliau berkata, selain menjadi bahan bantu mengajar (BBM) di dalam kelas, teknik tersebut juga turut digunakan untuk belajar al-Quran dan tajwid.

“Kartun saya dalam komik ‘Si buncit dan Huruf Hijaiyah Kaedah Haraki’ turut dijadikan inspirasi untuk mengajar al-Quran kepada kanak-kanak dan golongan dewasa,”katanya.

Menariknya, komik berkenaan turut memenangi Anugerah Emas di International Invention, Innovation & Technology Exhibition (iTEX 2015) di Kuala Lumpur.

Bahkan, inovasi Gamifikasi Bina Ayat Bahasa Arab yang dihasilkan beliau bersama isteri, Hidayah Halil, 26, juga turut memenangi Anugerah Emas Inovasi Islam dan Bahasa Arab peringkat Kebangsaan (INOVIS 2018).

Terkini, empat pelajar Maktab Mahmud Alor Setar telah menghasilkan inovasi Komik Pendidikan dan berjaya memenangi Anugerah Emas Karnival Kreativiti Inovasi, dan menjadi wakil tunggah Kedah bagi kategori Sekolah Menengah dan juga Silver Award di Pertandingan Inovasi Pembelajaran Peringkat Antarabangsa 2019 di UUM

Profil:

Nama penuh: Mohd Nasrullah Che Halim

Gelaran: Ustaz Kartun

Jawatan: Guru di Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah

Asal: Alor Setar, Kedah

Pencapaian:

- Anugerah Emas, Karnival Kreativiti Inovasi (KKI) 2019 Peringkat Kebangsaan di IPG Besut, Terengganu.

- Anugerah Perak, Pertandingan Inovasi Pendidikan (PIP) 2019 Peringkat Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia.

- Anugerah Emas, Inovasi Pendidikan Islam dan Bahasa Arab (inovis) 2018 Peringkat Kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel Menarik:

Nasihat 'deep' Cikgu Hailmi buat guru baru posting - Hadam baik-baik

Guru pendidikan khas bawa anak muridnya sertai Klinik Poket Bike yang tak ramai orang buat

'Jika keluar tanda seperti bisul, segeralah ke hospital' - Guru ini kongsi kematian muridnya