Dewasa ini sistem pendidikan berhadapan dengan satu lagi fenomena; mengukur keberkesanan guru melalui anugerah dan pencapaian. Senario ini bukan sahaja sedang hebat dibicarakan di Malaysia bahkan juga banyak dibahaskan di peringkat global.

Tidak dinafikan guru yang banyak merangkul anugerah atau mencipta pelbagai kejayaan mempunyai iltizam yang tinggi, berdedikasi dan berjaya mempamerkan karektor seiring dengan kehendak institusi seterusnya berupaya melonjakkan kualiti, prestasi dan kemenjadian pelajar.

Pun begitu, satu hakikat yang tidak dapat disangkal adalah semua guru (hampir semua) bekerja dengan sepenuh hati dan berusaha memberikan yang terbaik kepada pelajar mereka.

Kesempatan bertemu dengan guru dari serata negara melalui perkongsian pintar telah memberi saya satu gambaran bahawa terdapat ramai guru hebat di Malaysia namun ada beberapa faktor yang menghalang mereka menjadi imej tumpu dalam sistem pendidikan.

Antara yang boleh saya senaraikan adalah:-

1. Tiada/kurang maklumat

2. Kedudukan dari segi geografi yang jauh dan sukar

3. Pemimpin sekolah yang tidak/kurang menyokong

4. Kurang kemahiran teknologi

5. Kelemahan sistem dokumentasi

6. Malu/takut

7. Kurang kemahiran bahasa Inggeris (untuk peringkat antarabangsa)

8. Tidak mahu dikenali

9. Masalah kesihatan

10. Masalah peribadi

Dan mungkin kita adalah antara yang berjaya menempa nama kerana tidak dibelenggu dengan mana-mana faktor di atas.

Kadangkala pengiktirafan adalah satu keadaan di mana kedinamikan satu-satu individu bertemu dengan kriteria penilaian.

Secara peribadi, saya bersyukur kerana dianugerahkan dengan pelbagai kemanisan dalam perkhidmatan.

Dan yang membuat saya lebih bersyukur adalah anugerah Tuhan yang mempertemukan saya dengan insan yang baik hati; yang sudi memberi tunjuk ajar, mendorong dan mendoakan yang baik-baik.

Justeru jika anda sedang atau sudah didampingi kejayaan, sambutlah dengan hati yang penuh kesyukuran kerana ramai antara sahabat kita yang sedang bergelut dengan cabaran yang tidak terjangkau akal namun memilih untuk meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang atas nama amanah.

Saya tidak pernah bekerja dengan meletakkan anugerah sebagai sasaran lantaran itu saya hanya mampu berkongsi prinsip dan falsafah memperkasakan pendidik dan pendidikan.

Saya tiada strategi dalam mencapai kejayaan.

Saya percaya kita hanya perlu terus melakukan yang terbaik dan yang terbaik akan datang pada kita.

Dan semestinya ia bukanlah dalam bentuk pengiktirafan semata-mata.

Kredit: Noorjahan Sultan