Menyertai Pertukaran Guru Korea Malaysia (KOMTEP) 2019 di bawah Program Asia-Pacific Pertukaran Guru untuk Pendidikan Global (APTE) memberi peluang yang sangat bermakna bagi 10 guru Malaysia untuk berkongsi idea dan amalan terbaik.

Ketua Deligasi Guru Malaysia, Mohd Zaki Ghazali berkata, program yang berlangsung selama tiga bulan bermula 2 September tahun lalu itu dianjurkan setiap tahun oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Persefahaman Antarabangsa Pusat Pendidikan Asia Pasifik (APCEIU) dengan kerjasama Bahagian Profesionalisme Guru (BPG) Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Korea Selatan.

Seramai 10 guru bersama pegawai BPG sebelum berlepas ke Korea

"Selain Malaysia, beberapa negara lain seperti Mongolia, Filipina, Indonesia, Thailand, dan Vietnam turut terpilih dalam penganjuran program kali ini,” katanya.  

Murid ini teruja dapat memakai pakaian dari pelbagai kaum di Malaysia ketiga pameran Hari Malaysia di Indugwon Elementary School, Anyang, Korea

Kata beliau, guru yang menyertai program tersebut perlu melalui proses pemilihan yang ketat.

“Pihak BPG telah menetapkan standard kualiti yang memenuhi ciri ditetapkan dalam pemilihan guru, pemilihan dilakukan beberapa peringkat dan proses yang ketat.

Cikgu Norsheila bersama pelajar Garim High School menunjukkan kuih tradisional Malaysia yang dibuat

“Selain itu, calon guru perlu menghadiri kursus pra persediaan di Malaysia sebelum sesi orientasi kedua yang dinamakan Latihan Penyesuaian Setempat di Korea Selatan,” katanya.

Menurut Guru Subjek Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) dan Robotik, Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Tun Razak, Melaka ini, ketika sesi latihan guru akan didedahkan dengan sistem pendidikan, persekolahan, budaya rakyat, asas tulisan Hangeul dan bahasa Republik Korea.

Cikgu Noor Munirah menunjukkan cara membuat ondeh-ondek kepada pelajar Daedong Middle School, Pohang

"Sebaik tiba di Korea Selatan, 10 guru Malaysia ditempatkan di lima buah sekolah, iaitu Sahwa Elementary School, Indugwon Elementary School, Incheon Yangchon Middle School, Daedong Middle School dan Garim High School.

"Kami mengajar kebudayaan Malaysia, di samping beberapa subjek yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

“Sepanjang program tersebut, peserta perlu mengikuti dua siri persidangan peringkat antarabangsa iaitu Global Citizenship Education (GCED) dan Sharing Stories of Asia-Pacific Education Movement (SSAEM)," katanya.

Pelajar Garim High School, Incheon gembira memakai pakaian tradisi Melayu ketika pameran Hari Malaysia

Kata beliau, guru Malaysia perlu merebut peluang untuk menyertai KOMTEP kerana banyak manfaat yang diperoleh terutama dalam melonjakkan kualiti pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang bersifat global.

"Selain berpeluang berkongsi idea dan pandangan, kami belajar amalan terbaik yang dilaksanakan oleh guru dan sekolah di Republik Korea," katanya.

Jelasnya, peluang keemasan itu memberi ruang guru Malaysia berkongsi tentang Malaysia termasuk komposisi kaum, budaya, lagu dan bahasa.

Cikgu Mon Choi (duduk, empat dari kanan) dan Cikgu Khairunnisaa (duduk, tiga dari kanan) bersama pelajar Incheon Yangchon Middle School, Incheon ketika sesi cerapan oleh wakil APCEIU (kiri) bagi menilai keberkesanan program pertukaran guru di sekolah itu.

“Lebih manis apabila dua guru Malaysia diberi anugerah kerana berjaya menunjukkan prestasi yang terbaik, Cikgu Phey Suk Ling dinobat sebagai penerima  Best Exhibitor Awards

Cikgu Mohammad Farid Mohammad Fauzi menerima Best Practise Awards, kedua-duanya menerima plak dan sijil," katanya.

Cikgu Mohd Azmanuddin mengajar murid Sahwa Elementary School membuat persembahan dikir barat dan  wau bulan.

Reaksi

“Satu ilmu berharga yang dibawa balik adalah kepentingan aspek kebersihan. Ia nampak seperti satu isu remeh tetapi sangat penting dan patut dipupuk dalam kalangan rakyat  Malaysia. Sebelum masuk ke dalam bangunan, pelajar akan menukar kasut mereka kepada ‘indoor slippers’ atau selipar khas untuk dipakai di dalam bangunan. Ia membuatkan lantai kekal bersih.  Di sekolah penempatan saya iaitu Incheon Yangchon Middle School, pelajar bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan sekolah. Walaupun pekerja kebersihan menjalankan tugas mereka setiap pagi, pelajar akan membersih kawasan sekolah setiap hari selepas makan tengah hari. Mereka bukan sahaja mencuci lantai, lorong ke kelas, tingkap dan papan hitam, malah mereka akan membersih bilik guru dan mengitar semula semua sampah di bilik kitar semula. Ada kalanya pelajar akan mengelilingi kawasan sekolah untuk mengutip sampah walaupun tanpa arahan guru. Di sana, pelajar dan guru juga akan memberus gigi selepas makan tengah hari. Satu mesin ‘hand sanitizer’ juga disediakan di kawasan sekolah untuk kegunaan semua. Saya berharap sikap ini dapat dipupuk oleh semua rakyat Malaysia.” Cikgu Khairunnisaa Mohamad, SMK Guntong, Setiu, Terengganu

“Sepanjang saya di sini, saya diberi tugas dan tanggungjawab untuk mengajar pelajar gred 1. Kelas yang diberikan adalah kelas bebas semester dan saya diminta untuk berkongsi dan memberi pendedahan kepada pelajar di sini tentang budaya masyarakat di Malaysia. Selain itu, saya turut diberikan tugasan untuk berkongsi dan memperkenalkan pakaian tradisional yang terdapat di Malaysia. Kelas ini berjaya menarik perhatian sekolah dan artikel tentang kami telah diterbitkan di dalam surat khabar tempatan. Selain itu, saya juga berpeluang untuk berkongsi tentang kebudayaan Malaysia dengan pelajar Program Pertukaran Antarabangsa yang datang dari daerah Fukuyama, Jepun. Intipati perkongsian yang telah dilakukan oleh saya bersama pelajar tersebut adalah tentang tarian ringkas dikir barat yang berjudul “Ewa Bulan.”Noor Munirah Muhammad Yusoff, Kolej Vokasional Keningau, Sabah

“Selama tiga bulan kami di sana, terlalu banyak yang telah kami pelajari dan alami. Selain daripada waktu persekolahan yang tidak sama, kami juga didedahkan dengan budaya kerja yang berbeza. Bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar, guru di Korea akan berada di sekolah walaupun selepas waktu persekolahan berakhir bagi membuat persiapan pengajaran dan pembelajaran pada keesokan harinya. Mereka sentiasa menghormati rakan sekerja. Ucapan selamat sentiasa meniti di bibir setiap kali berjumpa kami walaupun berlainan bahasa.” Cikgu Nur Fazilah Othman, SK Puchong Perdana, Selangor

Lapan perbezaan antara pembelajaran Malaysia dan Korea

1. 10 minit rehat bagi setiap peralihan waktu kelas. Memberi peluang kepada guru dan pelajar untuk bersedia bagi memulakan kelas seterusnya. Korea tidak asing lagi dengan disiplin masa, mereka sangat menepati masa.

2. Program Bebas Semester ditawarkan kepada pelajar gred 1 di sekolah menengah. Bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk mencari impian dan potensi mereka semasa satu semester di sekolah menengah. Sepanjang satu semester ini mereka dibebaskan daripada beban peperiksaan. Program tersebut sangat menarik kerana ia mengubah budaya pendidikan berorientasikan persaingan yang sedia ada ke dalam satu sistem yang mana meningkatkan pembelajaran kendiri dan kreatif.

3. Kurikulum sekolah juga adalah fleksibel dan kelas tersebut lebih tertumpu kepada penyertaan pelajar seperti melakukan projek, eskperimen, perdebatan dan lain-lain. Pelajar juga didedahkan dengan akitiviti kerjaya. 4. Kebajikan pelajar amat dijaga melalui klinik khas yang ada di setiap sekolah. Setiap klinik ditempatkan seorang jururawat terlatih. Fungsi klinik ini tidaklah sama seperti klinik di hospital, tetapi mereka memberikan rawatan kecemasan dan ubat yang perlu untuk pelajar sekiranya sakit di sekolah.

5. Makanan juga amat dititikberatkan. Setiap pelajar akan makan tengah hari di kafeteria. Menu yang sama, dan setiap menu diawasi kadar nutrisi oleh pegawai khas nutrisi di sekolah. Pegawai ini bukanlan dari kalangan guru dan beliau memang orang yang pakar dalam menentukan diet seimbang kepada warga sekolah.

6.Setiap pelajar akan berdisiplin dan beratur mengikut peraturan dewan makan yang ditetapkan. Guru kelas akan turut makan bersama palajar mereka, terutamanya sekolah rendah. Ada sekolah yang mengenakan bayaran dan ada juga yang ditaja oleh pihak sekolah.

7.Selaras dengan perkembangan teknologi, setiap kelas dilengkapkan set komputer, pencetak, bahkan TV LED sebagai ganti kepada LCD Projektor. Pembelajaran diselangselikan dengan modul dan bahan secara digital yang telah disediakan oleh pihak pembekal buku teks. Ada juga guru yang mengolah semula bahan yang telah di sediakan. Pembelajaran akan menjadi lebih menarik

8.Pelajar tiada halangan untuk membawa telefon sendiri, namun mereka cukup berdisiplin dan tidak menggunakan telefon tesebut di dalam kelas ketika guru mengajar. Hanya digunakan selepas kelas berakhir.

Senarai delegasi KOMTEP 2019

1. Mohd Zaki Ghazali

Guru TMK dan Robotik, SK Kg Tun Razak, Melaka

2. Diana Alui Daniel

Guru Bahasa Inggeris, SMK Kunak, Sabah 

3. Mohd Azmanuddin Azman

Guru Bahasa Inggeris, SK Putrajaya Presint 14(1), Putrajaya

4. Nur Fazilah Othman

Guru Bahasa Inggeris, SK Puchong Perdana

5. Muhammad Amir Aminuddin 

Guru Bahasa Inggeris, SK St Mark (M) Selangau, Sibu, Sarawak

6. Khairunnisaa Mohamad

Guru Bahasa Inggeris, SMK Guntong, Setiu

7. Lee Mon Chooi

Guru Pendidikan Seni Visual, SMJK Chung Ling, Pulau Pinang

8. Phey Suk Ling

Guru Matematik, SMK Seri Patiambun, Limbang, Sarawak

9. Norsheila Julmohamad

Guru Bahasa Inggeris, SMK Balung, Tawau, Sabah

10. Noor Munirah Muhammad Yusoff

Guru ERT Masakan, KV Keningau, Sabah