PERMUDAHKAN rakan yang lain itu adalah konsep saya apabila bekerja. Setiap kali diajukan bagaimana cara saya bekerja? Apa yang saya buat? Itulah jawapan saya.

Sering saya berpesan kepada rakan guru yang baru, muda belia, jangan pernah gunakan alasan.. saya tidak tahu.. saya tidak pernah buat, atau saya orang baru. Jika kita tidak mulakan langkah pertama, selamanya kita tetap tidak tahu.

Bertanyalah dengan yang lebih arif. Sesungguhnya malu bertanya sesat jalan. Apa yang saya lakukan adalah keikhlasan, sentiasa ada konsep untuk memperbaiki mutu kerja. Tidak pernah kenal erti jemu.

Sentiasa mencari teknik atau kemahiran baru untuk membantu murid- murid saya khasnya. Bukan mudah mengajar bahasa kedua dengan anak- anak luar bandar. Kitalah pelakon, kitalah pengarah, kitalah penerbit.

Setiap kali berhasilnya kejayaan mereka, kepuasan yang tidak terhingga. Semangat semakin meningkat. Apa yang saya kongsikan setiap kali saya dijemput untuk memberikan ceramah adalah apa yang saya laksanakan dengan murid saya.

Dalam ketegasan ada kelembutan, dalam kelembutan itu semailah kasih sayang seikhlasnya. Sesungguhnya anak–anak itu dahagakan ilmu.

Setiap laluan kerjaya kita berbeza. Pasti ada pasang surutnya. Pernah saya lalui kegagalan apabila peratus mata pelajaran yang saya ajar merosot serta penyebab tiada calon UPSR tahun itu yang memperoleh 5A.

Apalah alasan yang boleh saya berikan selain saya mengakui ia adalah kesilapan saya sebagai seorang guru. Kemudian saya terus pandang ke hadapan, terus membina keyakinan.

Tamparan hebat saya apabila anak saya yang ketiga disahkan menghidap kanser tahap tiga. Air mata dan semangat jatuh entah ke mana tetapi itu tidak lama.

Alhamdulillah saya membina kekuatan diri daripada semangat yang diberikan oleh suami, keluarga, barisan pentadbir serta rakan sekerja. Dalam berulang alik ke hospital setiap hari untuk rawatan anak saya, anak didik saya tetap ada ruang tersendiri di hati.

Tidak pernah saya lupakan mereka walau sibuk manapun saya. Apa yang ingin saya terapkan di sini adalah sentiasa bersemangat dalam mendidik, jangan pernah kenal erti putus asa, sentiasa mencari yang terbaik, permudahkan urusan rakan–rakan kita.

Kongsilah segala pengetahuan yang kita ada. Jangan pernah lokek dengan ilmu yang kita peroleh.

Siapapun anak didik kita, mereka berhak menerima ilmu dalam apa keadaan kita sekalipun. Untuk anak- anak didik sering saya berpesan, dahulukan agama kalian, taatilah ibu bapa, serta hormatilah guru kerana akademik itu sendiri akan mudah kalian peroleh melalui keberkatan serta kebaikan.

Akhir kata, mulakan setiap hari dengan semangat yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab, jangan pernah mengalah dan didiklah mereka seikhlasnya.

Kita tidak tahu sejauh mana, selama mana kita dapat terus menjalankan tanggungjawab ini sebagai insan bergelar GURU.

 

Marina Fadzil

Guru Cemerlang Bahasa Inggeris SK Bandar Rengam Kluang, Johor

 

Artikel lain:

‘Saya nak baca al-Quran semula’ - murid SK Sik hilang penglihatan, hidap kanser otak

Berkat gaji seorang guru

Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 - Ini teks penuh ucapan Maszlee