MUZIK merupakan salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan kreativiti dan estetika.

Kanak-kanak di sekolah lebih cenderung ke arah meminati mata pelajaran Muzik. Seperti yang kita semua tahu, muzik pada masa kini merupakan 'trending' utama kepada remaja mahupun kanak-kanak.

Di sekolah, murid sentiasa menanti nanti apa jua tajuk atau pembelajaran seterusnya yang akan diajar oleh guru apabila tiba mata pelajaran Muzik.

Pendidikan muzik sebenarnya sangat meluas bidangnya. Bidang kurikulum pendidikan Muzik memberi tumpuan kepada perkembangan kognitif dan kemahiran murid dalam bidang Muzik. Murid diberi pelbagai peluang untuk meluahkan idea kreatif di samping meningkatkan apresiasi terhadap estetika muzik.

Pada tahap ini juga, murid berpeluang untuk mempelajari pembacaan dan penulisan notasi muzik secara konvensional seterusnya mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran tersebut menerusi permainan alat muzik.

Sebagai guru, saya sentiasa berusaha mencuba, mengesan dan mencungkil bakat yang terpendam dalam diri murid-murid.

Dalam masa yang sama, kita harus memberi dorongan dan peluang untuk mereka yang berkebolehan dalam bidang Muzik ini untuk menonjolkan bakat mereka.

Ramai orang di luar sana tidak sedar, kadangkala murid yang lemah dalam bidang akademik sebenarnya sangat berkebolehan dalam bidang muzik. Mereka ini perlu diberi peluang untuk mengetengahkan bakat mereka.

Apabila diberi peluang yang sebetulnya, murid-murid ini akan menampakkan hasil dan menyerlah dalam bidang muzik yang diceburinya.

Sesungguhnya bakat merupakan anugerah istimewa kepada seseorang individu tersebut. Tidak semua berpeluang untuk memiliki bakat yang terpendam. Bakat jika diasah dengan betul akan membuahkan hasil yang baik.

Di samping itu, sebagai guru, saya sentiasa memberikan kata-kata positif dan dorongan kepada murid-murid saya.

Bakat tanpa usaha hanyalah sia-sia. Bakat jika digilap dan diguna dengan sebaiknya sebenarnya dapat memberikan kejayaan kepada seseorang individu tersebut. Ramai individu sudah berjaya apabila dapat mengembangkan bakat mereka dengan sebetulnya.

Tidak mustahil akan menjadi ikon pada masa hadapan.

Jadi, terdapat banyak aktiviti muzik yang dapat dipraktikkan di dalam kelas. Antaranya nyanyian, gerakan, permainan rekoder, permainan notasi dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti ini sememangnya memberi kesan positif kepada jiwa dan juga emosi murid-murid.

Untuk itu, murid haruslah sentiasa fokus dalam pembelajaran Muzik terutamanya dalam mengenali notasi muzik.

Hal ini sebab, dengan mengenali notasi, barulah murid dapat memainkan rekoder berdasarkan skor yang diberi dengan baik. Dengan itu, murid-murid akan berasa puas dan gembira dengan permainan yang baik.

Selain itu, murid haruslah berada dalam suasana yang ceria.

Murid-murid kadangkala stres dengan subjek teras yang diajar di dalam kelas, jadi dengan wujudnya suasana ceria dalam jiwa murid semasa aktiviti nyanyian dan sebagainya, murid akan kembali ceria dan bersemangat untuk belajar.

Akhir sekali, keyakinan adalah sesuatu yang paling penting.

Jangan takut yaa. Dengan adanya keyakinan semasa persembahan, bakat murid akan terserlah dan persembahan akan menjadi lebih hebat.

Jadi, pendidikan Muzik adalah satu subjek yang menyeronokkan dan menjadi satu terapi kepada murid. Ingatlah, “MUSIC IS MOONLIGHT IN THE GLOOMY NIGHT OF LIFE”.

Nur Ameera Nabila Azmi

Guru Muzik, SK Seksyen Enam, Shah Alam

Artikel Menarik:

Pelajarku, sila amalkan empat tip ini untuk hadapi ujian paling getir... SPM

Raikanlah kejayaan dan santuni kegagalan

Kalian bukan pelanggan, jangan sesekali tinggalkan adab

Anak muridku... belajarlah terokai peluang

Jangan merendahkan orang lain, jaga sikap dan tutur kata