Lega rasanya, apabila sesi persekolahan akan dibuka pada 20 Januari ini. Sudah tentu ramai guru yang merindui suasana pembelajaran bersemuka sepertimana sebelum berlakunya pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Namun, itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh golongan pendidik, perasaan bercampur baur, kerinduan kepada pelajar-pelajar terpaksa dipendam sementara waktu.

Bagi Guru Cemerlang, SMK Bukit Payong, Pokok Sena Kedah, Dr Abdul Ghani Jalil berkata, pembelajaran dalam talian merupakan medium terpenting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kini.

Pun begitu, beliau turut tidak menolak, kebanyakan guru dan juga pelajar masih lagi tidak dapat menerima sepenuhnya pembelajaran dalam norma baharu, dan ia menjadi cabaran baharu yang perlu dihadapi oleh semua.

Namun, dalam pada itu, beberapa masalah juga dapat dikenal pasti, antaranya guru itu sendiri belum bersedia dengan pembelajaran dalam talian serta kurang mahir  menggunakan teknologi dalam menjayakan tranformasi pengalaman pembelajaran dari persekitaran sebenar kepada persekitaran  pembelajaran secara dalam talian.

“Masalah ini boleh diatasi sekiranya guru komited dengan segala perubahan, bersedia untuk setiap sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

“Selain meningkatkan kompetensi digital, guru dan pelajar perlu lebih berani untuk meneroka, mencuba  dan membiasakan diri dengan norma baharu pembelajaran, seterusnya memperbaiki diri dalam ruang dan peluang yang ada untuk kemahiran pedagogi pembelajaran dalam talian,” katanya

Tambahnya,  cabaran bagi pelajar pula, golongan ini harus lebih berdisiplin dan bersedia untuk belajar secara kendiri, perlu bertanggungjawab terhadap pengalaman pembelajaran mereka.

“Pelajar-pelajar juga haruslah menghadiri program secara konsisten yang telah diaturkan oleh guru, memberi tumpuan semasa belajar dan memberi komitmen sepenuhnya.

“Sekiranya seseorang itu tidak dapat berbuat demikian, pembelajaran dalam talian akan gagal dipenuhi dan akhirnya memberi kesan kepada kualiti pembelajaran diri pelajar itu sendiri,” katanya.

Pun demikian, jika diberikan pilihan, sudah tentulah ramai guru menyokong pembelajaran bersemuka dilaksanakan.

Menyedari kepentingannya itu, ramai dalam kalangan guru berharap  pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan seperti sedia kala dengan mematuhi SOP yang telah digariskan.

“Pada saya, pembelajaran bersemuka lebih berkesan berbanding pengajaran dan pembelajaran dalam talian kerana guru dapat menilai tahap seseorang pelajar itu dengan lebih pantas.

“Bahkan guru juga berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap sesuatu  pelajaran, selain mudah mengesan kesalahan dan membantu mereka menyelesaikan masalah dalam pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, bagi guru subjek Sains, Dual Language Programme (DLP), Cikgu Ahmad Faizal Osman dari Sekolah Kebangsaan Pulau Seduku, Sri Aman Sarawak berkata,  beliau turut berasa sedih apabila sesi persekolahan 2021 masih lagi meneruskan pengajaran dan pembelajaran dari rumah atau PDPr, berikutan wabak Covid-19 yang masih lagi ditahap membimbangkan.

“Ini kerana keberkesanan mengajar atas talian tidak memberi impak seperti secara bersemuka. Amalan pedagogi sememangnya lebih memberi kesan jika pengajaran dibuat di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.

“Pelajar akan merasa lebih bersemangat dan segala permasalahan dapat dirungkaikan oleh guru dengan kaedah yang lebih difahami. Namun begitu sebagai guru kita juga harus mendahulukan arahan yang diberikan oleh pihak KPM atas kepentingan kesihatan dan keselamatan murid itu sendiri yang perlu diutamakan,”katanya.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Cikgu Roslan Zakaria pula berkata, kerinduan untuk menjalani kelas secara bersemuka tetap ada, namun kerisauan dan kesihatan pelajar itu lebih diutamakan.

“Sememang kami warga guru amat merindui akan kehadiran murid-murid ke sekolah memandangkan sudah agak lama anak-anak ini berada di rumah bersama ibu bapa.

“Namun demi keselamatan dan memikirkan kepentingan kesihatan mereka dalam tempoh sukar menghadapi pandemik Covid-19,  maka kami guru SK Sungai Binjai terpaksa memendam rasa yang amat rindu. Apapun kami harus akur dengan SOP dalam memutuskan rantaian Covid-19 ini,” katanya.