BUAT adik-adik yang bakal mengambil peperiksaan UPSR, tahniah dan syabas kerana kita masih diizinkan untuk merasai detik ini. Anggaplah ini adalah detik teristimewa kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar.

Kata kunci kepada kebahagiaan adalah berfikiran positif, maka semakin hampir dengan peperiksaan, fikiran kita sepatutnya menjadi lebih positif.

Kita harus tahu, fikiran yang positif menghasilkan keputusan yang positif. Nak ubah keputusan peperiksaan hendaklah kita ubah cara kita fikir. Senyum dan ceria sahaja, Tuhan kan Maha Tahu.

Sambil senyum detikkan dalam hati kita untuk meminta Tuhan bantu kita permudahkan segala-galanya.

Kita menarik apa sahaja yang kita fikirkan, mulai saat dan detik mahu UPSR ini, sentiasa bayangkan perkara yang baik-baik sahaja.

Banyakkan berimaginasi dan membayangkan ketika hari UPSR nanti, kita bangun awal pagi dengan hati yang riang, sarapan berkhasiat, bersalaman dengan keluarga dan melangkah ke sekolah dengan bahagia sekali.

Tindakan ini mampu memberi ketenangan kepada kita dan seterusnya mewujudkan minda yang bersedia dan gembira.

Minda yang hebat ini akan menetapkan standard yang baik semasa UPSR hampir menjelma ini.

Seterusnya lakukan beberapa amalan ini:

1) Senangkan orang sekeliling kita dengan memberi senyuman, apabila orang senang dengan kita, mereka akan turut mendoakan kesejahteraan kita.

2) Berkongsi rezeki apa yang kita ada kepada mereka di sekeliling kita, moga kebaikan ini dibalas dengan keputusan UPSR yang baik juga.

3) Jaga hubungan dengan mak dan ayah kita, banyakkan meminta izin dan doa dari mereka untuk kesenangan masa depan dan kejayaan hidup kita.

4) Setiap hari banyakkan bercakap dengan diri sendiri seperti “aku boleh, aku akan berjaya, aku akan buat yang terbaik”.

5) Makan makanan yang sihat dan baik untuk minda seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kismis, kurma, susu segar dan madu serta kurangkan minuman yang manis dan makanan yang segera atau tidak sihat.

6) Hadamkan isi-isi penting setiap mata pelajaran dengan berbincang bersama kawan agar wujud pengulangan untuk proses mengingat yang lebih baik.

7) Jumpa guru-guru untuk bertanya mengenai topik penting untuk pecutan belajar sebelum UPSR serta minta guru doakan kejayaan kita, keberkatan adalah kata kuncinya.

Amalan yang nampak biasa namun menghasilkan impak yang tinggi dalam kehidupan kelak.

Kita berusaha yang terbaik, selebihnya kita serahkan kepada Yang Maha Berkuasa. Teruskan berusaha dengan bahagia dan bersemangat, Tuhan Maha Tahu kita berusaha atau tidak, kita yang memilih untuk cemerlang dan berhak bahagia.

Buat ibu bapa dan penjaga pula, jaga emosi anak-anak kita dengan sentiasa memberi sokongan berterusan. Jangan pula asyik memaksa sehingga terganggu emosi sehingga hilang daya fokus untuk belajar.

Antara tip penting untuk ibu bapa dan penjaga:

1) Wujudkan persekitaran belajar yang sesuai di rumah

2) Kelengkapan belajar yang baik

3) Menyediakan makanan yang mencukupi dan terbaik untuk tenaga serta kesihatan

4) Awasi semangat dan emosi anak-anak dengan memberikan sokongan moral

5) Berdoa terus menerus serta bangun di tengah malam untuk doakan anak-anak yang akan mengambil UPSR

Malah peranan guru di sekolah juga amat penting, boleh aplikasikan amalan ini untuk melihat keputusan anak didik yang lebih cemerlang:

1) Menyambut kedatangan pelajar sambil tersenyum tanda sokongan moral tanpa henti.

2) Salam dan peluk bagi anak-anak didik yang sama jantina untuk memberi kekuatan dan memindahkan gelombang positif

3) Solat sunat hajat di awal waktu sehingga selesai UPSR untuk kekuatan spiritual yang tiada tandingannya.

4) Cerita perkara yang memotivasikan dan yang positif sahaja sehingga selesai UPSR

5) Maklumkan kepada anak didik, UPSR adalah medan terbaik untuk mengumpul pahala dan memberi manfaat kepada diri di masa depan, luahkan segala yang dipelajari dengan berjuang bersungguh-sungguh semasa UPSR.

Moga kejayaan dan kebahagiaan adalah milik kita semua. Urus diri dan urus emosi, kecemerlangan menunggu kita nanti.

Mohammad Afizul Mohammad

- Kaunselor Berdaftar

Power Action Resources

Tip menarik:

Nota padat topik Abakus...Calon UPSR boleh buat ulang kaji ringkas cara Cikgu Mohd Fadli

Siap sedia sebelum UPSR 2019 bermula - Ini yang mak ayah perlu lakukan di saat-saat akhir

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan