BERMULA dengan penghasilan enzim bromelain seterusnya penghasilan kicap soya daripada enzim bromelain, rezeki ternyata memihak kepada Prof Dr Azura Amid, penyelidik dari Institut Penyelidikan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dua inovasi dihasilkannya berjaya memenangi emas pada Pameran Ekspo Teknologi Malaysia 2019 (MTE19), berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Februari lalu.

Baginya, pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuknya terus lakukan penyelidikan dalam membangunkan industri halal serta memberi inspirasi kepada penyelidik muda untuk sentiasa berinovasi menghasilkan ciptaan baharu.

Sejenis enzim proteolitik

Dr Azura berkata, bromelain adalah sejenis enzim proteolitik yang didapati daripada bahagian tengah (empulur) buah nanas (Ananas Comosus).

“Antara khasiat bermanfaat yang terkandung dalam nanas adalah enzim bromelain. Enzim ini cukup tinggi di dalam buah nanas dipercayai memiliki banyak khasiat untuk kesihatan tubuh manusia.

“Namun, disebabkan bekalan nanas tidak mencukupi, kami ambil pendekatan dengan mengambil kod genetik daripada empulur nanas dan bakterialah yang menghasilkan bromelain tersebut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, produk ini masih belum bersedia untuk dipasarkan.

Dr Azura berkata, disebabkan masa yang diambil dalam melakukan inovasi kicap soya daripada enzim bromelain ini mengambil masa terlalu panjang, jumlah kewangan yang terlibat juga adalah besar.

Inovasi kicap soya dan enzim bromelain yang berjaya raih emas.

Kicap soya enzim bromelain

Menurutnya, penghasilan kicap soya secara tradisinya menggunakan fungus yang di campur dengan tepung gandum dan biji soya yang telah direbus.

“Apabila fungus membiak, ia menghasilkan enzim dan pada masa sama menghasilkan alkohol dan mikrotoksin yang bertoksik kepada manusia.

“Namun, menerusi teknologi yang kami hasilkan ini tidak menghasilkan fungus, sebaliknya kami menggunakan enzim terus dari bromelin,” katanya.

Jelasnya, proses penghasilannya dapat dioptimumkan, tanpa perlu menunggu lama seperti mana penghasilan kicap secara tradisional.

“Proses peraman pula hanya mengambil masa sehari sahaja menerusi teknologi ini, tanpa perlu tunggu tiga hingga enam bulan bergantung pada kondisi suhu dengan amaun bromelain yang sesuai.

“Kalau boleh, kami tidak mahu hasilkan alkohol dalam makanan kerana ia adalah persoalan yang besar dalam halal. Sebab itu kami gunakan enzim bromelin,” katanya.

Bromelain tiada alkohol

Menjelaskan manfaatnya, Dr Azura berkata, kicap soya dihasilkan oleh enzim bromelain tiada alkohol, tiada mikrotoksin dan selamat untuk dimakan.

Selain itu, ia memberi alternatif kepada industri pembuatan kicap agar tidak berdepan masalah untuk membekalkan bahan itu di pasaran.

Katanya, kicap soya ini sudah pun mendapat perhatian daripada sebuah syarikat untuk dilesenkan dan produk tersebut akan melalui proses pengilangan untuk dijual di pasaran tempatan kelak.

Peranan INHART

Menjelaskan peranan dimainkan oleh INHART, Dr Azura berkata, ia sebagai hab penyelidikan industri halal.

“Kita sering katakan produk ini halal dan ini tidak halal. Kalau kami tidak lakukan, siapa lagi akan buat. Justeru, kami ambil pendekatan untuk mendahului. Lebih baik kami lakukan daripada menunggu orang lain,” katanya.

Tambahnya, INHART membantu menghasilkan material mentah yang halal antaranya krim keju, gelatin, enzim bromelain dan kicap soya.

INHART juga berperanan sebagai sebuah institusi yang menyokong pembangunan hab halal Malaysia, serta menawarkan program kesedaran dan kefahaman halal kepada pelbagai pihak.

Bidang kepakaran INHART juga komprehensif merangkumi penyelidikan, pembangunan, inovasi dan penghasilan produk halal.

Selain program kesedaran halal, INHART turut menawarkan perkhidmatan konsultasi pensijilan halal, khususnya untuk syarikat luar negara yang ingin mendapatkan pensijilan halal Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Terdahulu, Dr Azura merupakan bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syarifah Rodziah, Melaka (tingkatan 1-3).

Kemudian, di tingkatan 4 - 5, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang. 

Produk kicap soya yang dihasilkan daripada enzim bromelain.

Dr Azura beri penerangan kepada panel juri semasa Pameran Ekspo Teknologi Malaysia 2019.