Masalah disiplin dalam kalangan pelajar dilihat semakin membimbangkan dewasa kini. Banyak kes telah direkodkan menunjukkan budaya samseng mereka semakin menjadi-jadi dan berada di paras yang membimbangkan.

Masalah seperti buli, gengsterisme, vandalisme dan ponteng sekolah menjadi antara barah yang semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah masa kini.

Jika ia tidak dibendung mulai sekarang, berkemungkinan ia mampu memberikan impak negatif kepada sistem pendidikan negara pada masa akan datang kelak. 

Susulan itu, demi menambah baik peraturan disiplin sedia ada, Kementerian Pendidikan mula mengambil inisiatif untuk menggubal Peraturan disiplin Ordinan Pendidikan 1957 bagi Peraturan-Peraturan
Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 bagi memberi kuasa yang jelas kepada pihak sekolah melaksanakan tindakan disiplin kepada pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin.

Cadangan ini bagaimanapun masih berada di fasa draf terakhir sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi dan dijangka mula dilaksanakan pada 2017.

Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah memberi kuasa penuh kepada pengetua dan guru untuk melaksanakan hukuman rotan kepada pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah.

Namun, hukuman rotan ini hanya dibenarkan dilakukan di bilik sahaja dan tidak boleh dilakukan di khalayak ramai sewaktu perhimpunan.

Selain itu, antara penambahbaikan lain yang sedang dirangka ialah cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa disiplin di peringkat sekolah dan mewajibkan sesi kaunseling kepada pelajar yang terbabit
dengan masalah disiplin.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, usaha penambahbaikan hukuman disiplin ini bertujuan menjadikan peraturan disiplin lebih teratur dan menyeluruh supaya pihak sekolah dapat mengawal tingkah laku pelajar dengan lebih berkesan.

Merujuk pula kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 yang bertarikh 29 Oktober 2003, di bawah tajuk Kuasa Guru Merotan Murid, kuasa merotan murid sebenarnya telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan sejak sekian lama.

Kuasa merotan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan berasaskan peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957 dalam Peraturan 6 ada dinyatakan dengan jelas bahawa: Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkan patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu, tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu.
 

MENGIMBAS zaman belajar dahulu, rasa seram sejuk bila melihat rotan di atas meja guru disiplin. Hujung rotan dah pecah seribu. Entah berapa ramai pelajar yang sudah menjadi mangsa rotan.

Di tapak tangan atau punggung? Mungkin sahaja hanya gertakan dengan memukul rotan di atas muka meja...

Hukuman rotan ini sebenarnya tidak asing dalam masyarakat sejak zaman dahulu. Ibu bapa dan guru menjadikan rotan sebagai peringatan dan hukuman kepada anak untuk menjadi insan berguna bila besar nanti. Tambahan pula perbuatan merotan bukanlah dilakukan berkali-kali dalam satu masa seperti pesalah dijatuhi hukuman di penjara. Kebiasaannya pelajar hanya dirotan sekali dua bagi kesalahan dilakukan dengan harapan sebagai pengajaran agar ia tidak berulang lagi.

Namun perkembangan dari masa ke masa, hukuman merotan semakin kurang berbisa apabila ramai ibu bapa dan guru tidak mempraktikkan dalam mendidik anak mahupun pelajar. Akibat kelonggaran hukuman tersebut, apakah ini menyebabkan ramai kalangan remaja hari ini terjebak dalam gejala sosial, yang menimbulkan masalah kepada diri, keluarga, sekolah, masyarakat mahupun negara? Apakah hukuman rotan menjadi jalan penyelesai mutlak bagi mengatasi pelajar bermasalah?

Pada 11 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan, bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Ismail Md Noor telah menyatakan sokongan terhadap penambahbaikan hukuman disiplin dan memberi kuasa kepada cadangan pengetua atau guru untuk merotan pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

Beliau yang diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woo, berpendapat, guru-guru sedia ada sudah terlatih dalam pelbagai skop termasuk psikologi, akhlak dan disiplin. Mereka lebih maklum dengan masalah pelajar. Bagaimanapun beliau tidak mahu pelajar sebagai mangsa guru di sekolah. Ini boleh merosakkan nama baik kerjaya pendidik.

Melihat lebih lanjut terhadap pelaksanaan hukuman disiplin terbaru ini, GPS Bestari mengupas reaksi daripada pelbagai pihak termasuklah bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri untuk mengetahui penerimaan dan sejauh mana mereka bersedia untuk menghadapi penambahbaikan peraturan disiplin di sekolah ini.

Mohd Najib Mazelan

 

Disiplinkan pelajar

Guru dari Sekolah Kebangsaan Demang Taha, Masjid Tanah, Melaka, Mohd Najib Mazelan, berkata, warga guru menyambut baik hukuman rotan dilaksanakan semula.

“Hukuman rotan merupakan satu daripada cara untuk mendisiplinkan pelajar, dan bukannya mendera seperti yang diperkatakan oleh ibu bapa masa kini. Hairan juga kenapa ada sesetengah ibu bapa yang tidak boleh menerima hukuman rotan dilakukan kepada pelajar yang bermasalah disiplin sedangkan sewaktu mereka belajar dulu juga hukuman ini telah dilaksanakan, malah lebih teruk lagi.”

“Kita boleh lihat, bila hukuman rotan tidak dijalankan, kalangan murid semakin 'naik lemak' dan jalan mendada seolah-olah tidak menghormati guru yang mengajar mereka. Bila ada guru yang mengenakan hukuman, mulalah ibu bapa datang serang sekolah dan mencaci guru.

"Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kami sebagai guru tahu tugas dan tanggungjawab kami,” katanya yang berharap agar penambahbaikan hukuman disiplin ini diterima baik oleh semua pihak terutamanya ibu bapa dan murid.  

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jasin, Melaka, Nur Syafiqah Mohd Roslan yang merupakan bekas guru berkata, usaha tambah baik hukuman disiplin ini amat disambut baik oleh warga pendidik.

 

Nur Syafiqah Mohd Roslan

 

Beliau berpendapat, hukuman disiplin seperti rotan ini merupakan satu cara untuk mendisiplinkan pelajar sekolah. Ini kerana jika pelajar yang melakukan kesalahan tidak dihukum, mereka akan menganggap perbuatan dan kesalahan yang mereka lakukan itu bukan perkara besar. Jika berterusan, kesalahan tersebut sedikit sebanyak boleh menjejaskan pelajaran mereka dan juga nama baik sekolah.

“Apabila adanya hukuman sebegini, ia memberi kesedaran terhadap salah laku pelajar tersebut. Insya-Allah bila dikenakan hukuman, mereka akan tahu kesalahan dan akan ingat hukuman yang dikenakan. Ia mengelakkan mereka melakukan kesalahan yang sama berulang kali.”

“Apa yang boleh saya katakan, guru mempunyai peranan sangat kecil di sekolah. Ibu bapa juga harus memainkan peranan mereka di rumah.

"Jangan terlalu manjakan anak dan didiklah mereka supaya sentiasa berdisiplin dan menjauhkan diri daripada gejala sosial demi masa hadapan cemerlang,” katanya.