Pengumuman pembukaan semula sekolah secara berperingkat telah memberi seribu satu reaksi dalam kalangan ibu bapa, guru-guru dan kanak-kanak khususnya.

Sesetengah ibu bapa menarik nafas lega setelah semput menguruskan keperluan anak-anak sepanjang PdPR, begitu juga guru-guru yang telah berhempas pulas memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk memastikan pendidikan anak-anak pelajar adalah berkesan.

Namun, dalam kelegaan terpalit juga perasaan gusar terhadap keselamatan diri dan anak-anak memandangkan jumlah jangkitan semasa Covid-19 masih tinggi.

Begitu juga dengan kanak-kanak, perasaan teruja kerana dapat bersua kembali dengan rakan-rakan yang setelah beberapa bulan hanya mampu bertemu disebalik skrin.

Keterujaan bagaikan di awal kemasukan persekolahan memandangkan ibu bapa mula membuat persiapan menyediakan baju sekolah dan juga peralatan sekolah.

Pun begitu, tidak dapat dinafikan pandemik corona virus telah menyebabkan gangguan besar dalam kehidupan seharian dan kanak-kanak merasakan perubahan ini dengan mendalam.

Pembukaan semula sekolah dialu-alukan bagi kebanyakan kanak-kanak, namun sebagaimana orang dewasa terdapat juga dalam kalangan kanak-kanak yang merasa cemas dan takut terutamanya bagi kanak-kanak yang sering didedahkan dengan perkembangan semasa Covid-19 dan juga bagi kanak-kanak yang mempunyai pengalaman jangkitan wabak dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Umum mengetahui kesan pandemik terhadap kanak-kanak sangat ketara terutamanya bagi kesihatan mental.

Gaya hidup semasa pandemik adalah bertentangan dengan fitrah semula jadi kanak-kanak yang suka bermain, menyiasat, mencuba dan seumpamanya.

Perlaksanaan PKP bagi membendung penularan wabak telah mengehadkan dan menghalang aktiviti-aktiviti tersebut.

Malahan, kesan pandemik juga telah menggugat perkembangan sosial dan emosi mereka yang merupakan tunjang kepada kesejahteraan mental.

Adakah pembukaan semula sekolah telah menamatkan tekanan terhadap perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak?

Harus diingat, pembukaan semula sekolah tidak sesekali menamatkan penderitaan terhadap sosial dan emosi kanak-kanak.

Walaupun sekolah telah dibuka semula namun, persekitaran sekolah semasa pandemik adalah berbeza dengan persekitaran sebelum pandemik.

Memakai pelitup muka, duduk menghadap ke depan, tidak dapat berhubung dan bergurau senda dengan rakan atau makan dikantin sekolah adalah tingkah laku yang kanak-kanak terpaksa tempuhi.

Namun, kanak-kanak terpaksa akur dengan norma baharu ini yang hakikatnya tidak sihat secara sosial atau emosi untuk mereka.

Justeru, kembali ke sekolah tanpa kesediaan fizikal dan mental boleh meningkatkan tahap ketakutan dan kegelisahan kanak-kanak yang seterusnya mengganggu perkembangan sosial dan emosi mereka.

Oleh itu, kanak-kanak perlu dibantu untuk lebih bersedia.

Dalam situasi sebegini, apakah yang ibu bapa boleh lakukan?

1) Mula bercakap, bercerita atau berkongsi berkaitan sekolah, guru-guru dan rakan-rakan serta berikan gambaran suasana baru sekolah dengan tidak menakutkan mereka.

2) Betulkan rutin tidur kanak-kanak. Tidak dapat dinafikan kebanyakan kanak-kanak tidak mempunyai rutin tidur yang betul kesan daripada perubahan gaya hidup akibat pandemik. Tidur yang cukup adalah elemen yang penting untuk kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak.

3) Komunikasi terbuka. Penularan wabak Covid-19 menyebabkan tahap tekanan yang tidak pernah dialami sebelum ini bagi semua masyarakat termasuklah kanak-kanak. Malahan kanak-kanak menunjukkan lebih banyak tanda-tanda kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain. Oleh itu, kanak-kanak perlu berkomunikasi mengenai perasaan mereka dan ibu bapa boleh membantu anak-anak untuk mengekspresikan emosi melalui kata-kata, seni dan permainan.

4) Kawal keresahan ibu bapa. Anak-anak dapat merasakan kerisauan ibu bapa mereka. Dalam situasi sekarang ibu bapa pasti bimbang untuk menghantar anak-anak untuk kembali kesekolah. Ibu bapa harus mencari jalan untuk menyampaikannya tanpa menimbulkan ketakutan kepada anak-anak dengan mengimbangi antara berkongsi kebimbangan dan melepaskan nyakepada anak-anak.

5) Meneruskan penjagaan kesihatan. Sering mengingatkan anak-anak untuk menjaga kesihatan dengan perasaan seronok. Contohnya, memilih pelitup muka kesukaan anak-anak.

6) Ibu bapa juga perlu untuk bersikap fleksibel dan tidak meletakkan ekspektasi yang tinggi terutamanya terhadap pencapaian akademik semata-mata. Belajar untuk menjadi pemaaf dengan anak-anak termasuklah dengan diri sendiri. Harus diingat sekolah bukan sahaja medan untuk mendapat ilmu akademik sahaja, malahan sekolah juga menyediakan ruang untuk kanak-kanak bersosial, berdikari serta membentuk resilien dan jati diri.

Oleh itu, ibu bapa janganlah melihat perkembangan anak-anak dalam aspek akademik semata-mata. Terakhir dan terpenting adalah ibu bapa perlulah memberi kerjasama yang jitu dalam membantu pihak sekolah terutamanya dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

*****Dr Nor Hamizah Ab Razak merupakan Pensyarah Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel menarik

Buat ibu bapa, ini 4 adab yang wajib anda ajar pada anak sebelum mereka ke sekolah, esok

Panduan menulis karangan, Cikgu Ayu kongsi teknik yang mudah untuk murid buat