SEBENARNYA, pada bila-bila masa sahaja manusia boleh terkena jangkitan virus influenza atau flu. Penyebarannya kadangkala memang tidak dijangka.

Barangkali penyakit itu memang tidak boleh  dipandang enteng. Melihat jumlah kematian akibat virus influenza seperti direkodkan  Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengorbankan 500,000 nyawa setiap tahun menunjukkan wabak tersebut sangat merbahaya.

Sekiranya kita dalam golongan yang tidak menitik  beratkan amalan mudah seperti membasuh tangan dengan  bersih, masih tetap keluar rumah meskipun badan  kurang sihat dan tidak menutup mulut ketika bersin atau batuk, potensi terkena penyakit berkenaan sebenarnya sangat tinggi.

Berdasarkan fakta perubatan, virus berkenaan memberi risiko yang lebih  tinggi kepada warga emas dan kanakkanak ekoran 'kerapuhan' ketahanan badan.

Untuk kanak-kanak, terdapat satu cara  paling efektif mencegahnya iaitu hanya melalui vaksin.

Namun, di Malaysia pertelagahan tentang suntikan vaksin dalam  kalangan ibu bapa zaman moden masih berterusan.

Persoalan lain, disebabkan virus influenza dan selesema yang dikatakan hampir mirip telah mengakibatkan ramai yang mengabaikan gejala itu tanpa rawatan sewajarnya.

Pada minggu ini, Sihat:Aktif mengupas tentang topik mengenai bahaya influenza  terutama dalam kanak-kanak. Bagaimana simptom mengenali dan mencegahnya dihuraikan secara terperinci?

Influenza bukan penyakit biasa-biasa

DEMAM dengan suhu tinggi, selesema dan batuk yang berpanjangan membuatkan tubuh kecil itu semakin tidak bermaya dari sehari ke sehari.

Kebimbangan si ibu, Norliyati Osman, 39, bukan kepalang. Masakan tidak, usia  anaknya baru lapan tahun. Bayangkan, suhu badan Nur Arfa Dalili Mohd Mazri tidak
berganjak antara suhu 39 dan 40 darjah Celcius.

Untuk seorang kanak-kanak yang tidak aktif dan bermuram durja selama  dua minggu, memang tidak senang duduk dibuatnya. Lebih menakutkan ibunya, Nur Arfa  juga tidak lalu makan, tidak berdaya dan lesu. Akhirnya, Norliyati mengalah dengan menghantar anaknya ke hospital.

Rupa-rupanya si cilik itu disahkan menghidap influenza!

"Ini pengalaman pertama keluarga kami berhadapan dengan penyakit influenza. Mulanya kami ingat ia demam biasa, namun apabila suhu badan Nur Arfa Dalili tidak berganjak, kami merasakan ada yang tak kena.

"Sepanjang tiga hari berada di dalam wad, anak saya telah diberikan antibiotik  setiap tiga jam, barulah demamnya surut," imbau wanita yang masih fobia terhadap apa yang telah berlaku ke atas anak kesayangannya.

Difahamkan, Nur Arfa Dalili mendapat influenza itu daripada  rakan sekelasnya yang batuk dan bersin. Biarpun sudah  keluar dari hospital, si kecil itu masih dikuarantin di rumahnya di Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor selama seminggu.

Kematian  Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus  influenza sebenarnya berlaku sepanjang  tahun di kawasan tropika seperti Malaysia.

Wabak itu juga amat aktif pada musim sejuk iaitu pada November hingga Mac di Hemisfera Utara dan dari April hingga  September di Hemisfera Selatan. Ia juga mudah tersebar di kawasan beriklim sederhana.

Jika diamati, laporan tahun penularan wabak berkenaan oleh  WHO agak menakutkan.

Dianggarkan tiga hingga lima juta  kes dalam kategori sakit teruk yang mana 250,000 ke 500,000 kes melibatkan kematian.

Di negara perindustrian misalnya, kebanyakan kes kematian berkaitan dengan influenza sering direkodkan oleh golongan dewasa berumur 65 tahun ke atas.

Kajian juga menunjukkan,  kira-kira 99 peratus kes kematian dalam  kalangan kanak-kanak terdiri daripada  mereka yang berumur di bawah umur lima tahun.

Melihat data WHO berkenaan, wajarlah kita  semua berasa bimbang dengan situasi penyakit semasa itu.

Pun begitu, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menganggap  demam, batuk dan selesema  merupakan satu perkara biasa,lebih-lebih lagi dalam  kalangan anak kecil.

Cukupkah sekadar memberi si kecil ubat demam secara berterusan? Adakah pendekatan itu tepat? Atau kita dalam kategori 'tunggu dan lihat' meskipun anak sudah  lebih seminggu demam? Jika ya, anda perlu segera mengubah sikap itu.

Penyakit membimbangkan

Bagi mendapatkan pencerahan  mengenai virus influenza dalam kalangan kanak-kanak dan impaknya, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan

Pakar Perundingan Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar.

Menurut Dr Mohammad Iqbal, influenza bukan satu penyakit biasa. Ia berbeza berbanding dengan selesema (biasa) yang mana kadar komplikasi dan kematian melibatkannya rendah.

Kata pakar tersebut, influenza dalam kebanyakan kes merupakan penyakit  yang lebih membimbangkan. Mengulas lanjut, Dr Mohammad Iqbal berkata, virus influenza amat mudah berjangkit melalui titisan air yang tersebar melalui mulut dan hidung.

Pastinya apabila pesakit bersin dan batuk, ia secara automatik akan  menyebabkan virus tersebar ke udara. Keadaan itu boleh menyebabkan orang yang berada berhampiran terdedah kepada virus.

"Jangkitan boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan masalah  pernafasan yang teruk terutamanya individu yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Biarpun anak kecil mudah terkena virus berkenaan, jelas beliau, virus  influenza boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal umur, jantina, taraf kehidupan atau status kesihatan.

Golongan berisiko pula seperti wanita hamil, kanak-kanak berumur antara enam bulan ke lima tahun dan warga emas  berumur 65 tahun ke atas.

Untuk mengenali bagaimana jangkitan penyakit itu, berikut ialah tanda-tanda awalnya:

  • 1) Demam lebih 38 darjah celcius.
  • 2) Hidung berair.
  • 3) Kelesuan.
  • 4) Batuk.
  • 5) Sakit perut.
  • 6) Sakit tekak.
  • 7) Sakit kepala.
  • 8) Sakit dada.
  • 9) Sakit otot.
  • 10) Cirit-birit.

Artikel lain:

SJKC Tai Tong guna cara ini atasi masalah wang saku hilang - sekolah lain perlu contohi (7 foto)

'Jika bukan kerana ayah, saya tak mampu habiskan bacaan surah Al-Qori'ah'

Cetusan idea pengetua, SMKA Miri jana pendapatan RM3,400 sebulan - Ini yang mereka buat