MURIDKU, ingatlah bahawa ilmu itu penting di dalam hidupmu. Menuntut ilmu adalah seumur hidup.

Janganlah membuang masa. Gunakanlah masa emasmu  untuk menuntut ilmu yang bermanfaat sebanyak yang mungkin. Janganlah disia-siakan hidupmu.

Muridku, ingatlah usaha tangga kejayaan. Apa yang kau usahakan itulah yang akan  kau peroleh.

Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citamu.

Mula berazam dan mencipta cita-cita seawal usiamu.

Kejarlah cita-citamu sehingga berjaya. Jadilah insan yang berguna kepada  agama, bangsa dan negara. Hormatilah ibu dan ayah serta gurumu.

Kenanglah jasa mereka di sepanjang hidupmu. Ingatlah segala pesanan mereka demi membentukmu menjadi manusia.

Jadikan pesanan mereka sebagai panduan hidupmu agar kau tidak tersasar daripada matlamat hidupmu.

Muridku, andai kau berjaya suatu hari nanti, janganlah kau mendabik dada dan lupa asal-usulmu.

Janganlah kau bongkak dan angkuh dengan kejayaanmu. Sentiasa merendah diri dan membantu mereka yang memerlukan keringatmu.

Jadilah manusia yang hadirmu membahagiakan orang lain.

Namun begitu, jika kau gagal janganlah kau berputus asa.

Kegagalan itu bukanlah penamat masa depanmu sebaliknya ia mengajarmu memperbaiki kelemahan diri, dan permulaan kepada sesuatu yang lebih baik.

 

Norzuliana Amir

Guru Pemulihan Khas, SK Kuala Kubu Bharu, Selangor