Pada program Bicara Minda ini, Dr Maszlee turut menerima soalan daripada penonton. Berikut adalah soalan mereka.

Soalan: Saya cikgu pendidikan khas. Saya nak YB beri tumpuan dan segala bantuan kepada pendidikan khas kerana sistem dan fasilitinya sangat teruk berbanding negara luar. Tolonglah kami pendidikan khas.

Maszlee: Pertamanya, OKU sentiasa berada dalam jiwa saya. Saya akan mempertingkatkan dan memperbaiki sekolah pendidikan khas di Malaysia.

Ini janji saya. Selain itu, kita mahu pelajar pendidikan khas berada dalam pendidikan arus perdana, sebab itu arahan dikeluarkan bahawa setiap sekolah perlu menyediakan prasarana kepada murid khas. 

Seorang penonton bertanyakan soalan menggunakan bahasa isyarat.

Soalan: Saya ibu kepada anak autisme yang berusia 20 tahun, kementerian telah menafikan hak seorang pelajar khas untuk memasuki universiti awam. Kenapa? 

Maszlee: Ia tidak benar.

Ramai sahaja OKU yang dapat melanjutkan ke universiti awam dan tidak pernah menafikan hak mereka. Cuma jika keputusan anak tidak bagus, tidak bolehlah memasuki universiti semata-mata alasan OKU.

Golongan ini tidak boleh ketinggalan dalam bidang pendidikan dan universiti adalah bukan segala-galanya kerana terdapat banyak ruang dan peluang lain antaranya pembelajaran atas talian. 

Soalan: Saya adalah seorang penerima biasiswa Anugerah Tokoh Siswa KPT oleh kerajaan terdahulu, tetapi masih belum menerima apa- apa dokumen. Adakah biasiswa tersebut akan dibatalkan? 

Maszlee: Setakat ini saya tidak dimaklumkan biasiswa dibatalkan.

Cuma kita tidak lagi menawarkan biasiswa luar negara selain daripada yang telah diluluskan sebelum ini. 

Soalan: Saya mengendalikan akademi seni, saya harap kerajaan mengambil kira seni dan budaya menjadi komponen sama dengan subjek lain. 

Maszlee: Pendidikan seni dan muzik setengah jam yang diadakan pada masa ini adalah satu kekurangan amat besar dalam pendidikan negara kerana negara maju memperuntukkan lebih tiga jam dalam seminggu.

Manusia akan kaku tanpa seni.

Seni melembutkan jiwa manusia. Begitu juga dengan sastera. Dua hari lepas, saya ada mengunjungi sasterawan negara, Datuk Seri A Samad Said dan beliau bersetuju untuk kembali dan ditempatkan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya juga berjanji akan membawa karyanya semula ke sekolah di awal sekolah rendah lagi.

KPM akan mempertingkatkan waktu pengajaran kesenian dan muzik.

Soalan: Kami telah 20 tahun mengendalikan TVET. Sekarang ia menjadi isu yang paling serius dan rosak dari sekolah sehingga ke IPT. Sebenarnya kita sedang menghadapi masalah besar apabila melibatkan banyak kementerian. Adakah YB bersedia dan berani mengubah TVET agar di bawah satu bumbung? 

Maszlee: Setiap kementerian ada 'niche'nya yang tersendiri dan ia dalam usaha penyelarasan oleh pasukan khas yang diketuai YB Nurul Izzah Anwar.

Kajian dan komunikasi dengan pihak terbabit telah dilakukan kerana kita menyasarkan dalam tempoh lima tahun, TVET sebagai sebahagian pendidikan arus perdana.

Soalan: Apa pendapat Dr berkenaan 'Home Schooling'? Kami berharap kerajaan mengiktiraf dan membenarkannya.

Maszlee: Saya menghormati pandangan dan pilihan ibu bapa. Sungguhpun demikian, saya secara peribadi tiada halangan. Puan adalah orang yang terpelajar dan boleh 'home schooling anak di rumah.. sekiranya ada ibu bapa yang kurang terpelajar yang membuat keputusan sama, ia akan menzalimi anak-anak.

KPM tidak boleh menjanjikan apa-apa, tetapi akan menelitinya.