SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa Menteri Pendidikan Malaysia, Mahdzir Khalid semasa ucapan dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu di PICC Putrajaya yang antaranya telah menyentuh tentang pelibatan penjawat awam khususnya pegawai-pegawai di KPM, Jabatan Pendidikan   Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pengetua, guru besar serta guru-guru dalam politik.

Mahdzir telah memberi nasihat dan teguran secara umum kepada semua yang tersebut agar mengelakkan diri daripada berpolitik sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti sebagai penjawat awam serta melibatkan tahap kebencian dan fitnah terhadap kepimpinan negara serta kerajaan.

Mahdzir juga tidak menyentuh secara khusus atau umum tentang siapa yang hendak dipilih dalam pilihan raya, malah menegaskan mereka perlu sentiasa bersikap
profesional agar prinsip 'neutrality' dan 'impartiallity' diamalkan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Nasihat dan teguran tersebut telah disalahertikan serta diperolok-olok oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan ditularkan menerusi media-media sosial sehingga menimbulkan keresahan serta salh faham dalam kalangan warga pendidikan.

Dalam hal ini, KPM ingin menegaskan bahawa nasihat dan teguran Mahdzir ini adalah selaras dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dalam surat siaran bertarikh 6 Apri 2009 iaitu Larangan Penglibatan Dalam Politik Ke Atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi Dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Sehubungan dengan itu, semua pihak diminta bekerjasama supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu berunsur fitnah tersebut yang boleh mendatangkan keresahan khususnya kepada warga pendidikan serta boleh menjejaskan keyakinan masyarakat kepada golongan pendidik.