Membangunkan sesebuah sekolah, menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus konsisten mencapai kejayaan, memberi galakan agar guru terus tekad menggalas amanah dipertanggungjawabkan, menjalin hubungan baik dengan ibu bapa, menyeimbangkan pencapaian dalam akademik serta kokurikulum di sesebuah sekolah bukanlah satu kerja yang mudah.

Sebaliknya ia perlu dipikul bersama antara guru, pelajar, ibu bapa termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Bagi memastikan semua perkara itu dapat direalisasikan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 amat menitikberatkan komunikasi dan kerjasama antara sekolah dan ibu  bapa.

Siti Salmiah

Pengetua SMKS7, Siti Salmiah Yaakob, 54, berkata, peranan berkaitan perkara tersebut banyak dilaksanakan melalui Biro Sarana dan Komunikasi Ibu Bapa di sekolah tersebut.

Biro ini katanya, sangat cemerlang dan komited dalam melaksanakan hebahan maklumat kepada ibu bapa.

Pelajar dan guru SMK Seskyen 7 menunjukkan pokok labu yang ditanam di kebun sekolah.

Beliau berkata, pujian harus diberikan kepada biro terbabit kerana sepanjang penugasan beliau di lapan sekolah sejak 1989, SMK Seksyen 7 adalah yang terbaik dalam menyampaikan
 segala maklumat kepada ibu bapa.

“Semua sistem yang diaturkan termasuk grup whatsapp bersama ibu bapa dikendalikan dengan baik, malah dapat kita lihat penglibatan atau kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah sangat baik.

“Profesionalisme yang ditunjukkan oleh pasukan biro Sarana dan Komunikasi ini juga sangat bagus ketika berdepan dengan persoalan atau kemusykilan ibu bapa," katanya.

Terence

Sementara itu, Pengerusi Biro Sarana dan Komunikasi SMK Seksyen 7, Terence Jimbau Dunstan Melling berkata, Biro Sarana dan Komunikasi adalah biro yang membantu menguruskan kumpulan sokongan ibu bapa, di mana kita kendalikan ibu bapa yang berminat untuk menyumbang sama ada wang, masa, kepakaran mereka atau apa sahaja kepada sekolah dan anak-anak.

“Ada yang menyumbang kepakaran seperti beri ceramah dan motivasi kepada anak-anak dan ada yang sertai program sekolah dengan bantu bergotong-royong atau membaikpulih sekolah.

“Sejak 2015 hingga 2016, kita berusaha untuk wujudkan permuafakatan ibu bapa di mana dengan mengajak mereka memberi sumbangan atau sarana kepada sekolah.. untuk dapatkan muafakat perlu ada kepercayaan kepada pengetua dan Yang Dipertua (YDP) PIBG.. ia berjaya kita capai pada tahun lalu,”katanya.

Terence berkata, bagi  memantapkan lagi komunikasi sekolah dan ibu bapa, pihaknya turut mewujudkan grup whatsapp bagi setiap kelas.

Menurutnya, grup whatsapp itu akan dipantau oleh seorang jawatankuasa sarana dipanggil seranta.

“Seorang seranta bertanggungjawab menjaga tiga grup whatsapp yang ahlinya terdiri daripada ibu bapa pelajar mengikut kelas ditetapkan.

“Seranta akan menyampaikan maklumat yang disahkan oleh pengetua dan YDP PIBG sahaja kepada ibu bapa, selain memantau perbincangan dalam grup terbabit. Ibu bapa tidak dibenarkan berbincang soal politik atau promosi barangan dalam grup," katanya.