Mengimbas kembali kedatangan jenama besar ini ke Malaysia, Ahli Lembaga Eksekutif Faber-Castell, AG Countess Mary Von Faber-Castell yang juga isteri kepada Pengasas Faber-Castell Malaysia, mendiang Count Anton von Faber-Castell berkata, beliau dan suaminya bertemu usahawan terkenal, Dr Ton Yan Peng pada 1978.

"Detik itu menjadi satu pertemuan yang menarik dan kami menjangkakan ia akan memberikan impak besar kepada jenama ini.

"Selepas pertemuan di Jerman, maka keputusan menubuhkan Faber-Castell Malaysia dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, Faber-Castell Malaysia beroperasi secara kecil-kecilan dan fokus kepada pengeluaran pemadam dan produk lukisan.

"Mereka menerima pelbagai kritikan dan kata-kata negatif tetapi tidak mematahkan semangat Yan Peng bersama yang lain untuk meneruskan perniagaan alat tulis itu. Faber-Castell mengambil masa yang panjang untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan.

"Untuk memperkenalkan Faber-Castell, mereka bermula dari bawah, menghadiri pelbagai pameran untuk perkenalkan jenama tersebut. Yan Peng berjaya membangunkan Faber-Castell dan membuktikan ia bukan jenama biasa, malah meletakkan Malaysia sebagai pengeluar terbesar dunia bagi pemadam," katanya.

Faber-Castell di Malaysia.

Countess Mary berkata, pada 1990-an, Faber-Castell kukuh dalam pasaran.

"Yan Peng berjaya mengembangkan operasi dan menambahkan pengeluaran produk dan mula menembusi pasaran antarabangsa. Pada 1997, berlakunya Krisis Kewangan Asian yang memberikan tekanan kepada beberapa perniagaan, kewangan kami stabil dan turut membangunkan fasiliti baharu.

"Faber-Castell Malaysia mengambil peluang untuk melabur dalam penjenamaan dan pelbagai perancangan masa depan," katanya.

LIBATKAN SEMBILAN GENERASI

Mengimbas kembali penubuhan Faber-Castell, Countess Mary berkata, Faber-Castell diasaskan pada 1761 di Stein berhampiran Nuremberg oleh pembuat kabinet KasparFaber (1730–84), kekal sebagai perusahaan milik keluarga selama sembilan generasi.

Menurutnya ketika di bawah cicit Kaspar Faber yang bercita-cita tinggi, Lothar (1817–96), Faber-Castell berkembang ke peringkat antarabangsa dan membuka cawangan di New York (1849), London (1851), Paris (1855), Vienna (1872) dan St Petersburg (1874).

"Ketika Faber Castell membuka kilang di Geroldsgrun, pembaris yang dikenal sebagai ‘slide rules’ dikeluarkan. Lothar von Faber adalah pelopor dalam bidang pemasaran dan jualan serta merupakan seorang usahawan yang berwawasan.

"Beliau menetapkan standard bagi pensil berkualiti tinggi, memulakan inisiatif undang-undang tanda dagangan di Jerman dan diberi penghormatan oleh Raja Bavaria bagi pencapaiannya dalam inovasi produk serta komitmen sosial dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata, pada 1898, selepas perkahwinan cucu perempuan Lothar dengan kadet Counts of Castell-Rudenhausen, keluarga serta syarikat tersebut menggunakan nama Faber Castell.

"Pada 1993, logo korporat yang baru diperkenalkan, menggabungkan nama syarikat dengan “Since 1761” sebagai rujukan kepada warisannya yang sekian lama bertahan dan ikon “jousting knights” – simbol kesaksamaan, nilai dan tradisi.

"Hari ini, syarikat mengendalikan kilang di sembilan negara dan unit jualan di 23 negara, iaitu di Eropah, Asia, Amerika Utara dan Selatan, Australia dan New Zealand," katanya.

 

Menurutnya, Kumpulan Faber-Castell mempunyai kira-kira 8,000 kakitangan dan menjalankan perniagaan di lebih daripada 100 negara.

JENAMA PREMIUM GLOBAL

Sementara itu, Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia, Dr Yan Peng berkata, 40 tahun yang lalu Faber-Castell menubuhkan subsidiarinya di Malaysia, yang membuka laluan kepada pasaran Asia.

"Faber-Castell Malaysia merupakan pengeluar dan pembekal produk alat tulis berkualiti tinggi yang utama di negara ini dan juga pengeluar pemadam yang terbesar di dunia.

"Faber-Castell Malaysia ditubuhkan pada 1978 dengan hanya lapan orang kakitangan dan memulakan pengeluaran pemadam getah asli dan PVC pada 1980," katanya.

Kata beliau, Faber Castell dibangunkan sehingga menjadi salah satu pengeluar pemadam yang terbesar di dunia dengan eksport sebanyak 90 peratus daripada 150 juta keping pemadam termasuklah alat tulis dengan inovasi gel cepat kering yang terkini.

Yan Peng

Menurutnya, untuk memenuhi keperluan perkembangannya yang pesat, Faber-Castell Malaysia berpindah ke kilangnya yang terkini pada September 2002.

"Ia dirasmikan pada 13 November 2002, salah satu daripada ciri istimewa kilang ini ialah Menara Pensel yang menempatkan Pensel Tertinggi di Malaysia. Pensel yang berketinggian  19.75 meter dan mempunyai diameter 0.8 meter ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records dan Guinness World Records sebagai pensel terpanjang di dunia, dan kini ia menjadi antara mercu tanda di Malaysia," katanya.

Yan Peng berkata, setiap tahun, Faber-Castell Malaysia mengeluarkan 180 juta batang pen mata bola dan pen gel serta lebih 200 juta keping pemadam bagi pasaran tempatan dan eksport.

"Di Malaysia, perjalanan Faber-Castell menemani kehidupan pelbagai penduduk di negara ini bermula empat dekad yang lalu, tempoh di mana syarikat tersebut mencatat pelbagai pencapaian.

“Pencapaian ini menunjukkan masa 40 tahun tersebut digunakan dengan sebaik-baiknya dan menunjukkan komitmen syarikat ke arah memperkukuhkan Faber-Castell sebagai jenama premium global yang dikenali dan diakui semua,” katanya.

Kata beliua, sambutan kejayaan 40 tahun Faber-Castell Malaysia dilengkapkan dengan pusat edaran seluas 90,000 kaki persegi yang baharu dilancarkan yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

Ia menampilkan proses operasi digital dengan kemajuan dalam ketepatan penghantaran dan kecekapan sistem, sistem pengurusan gudang dan enam ruang punggah yang dipertingkatkan.