Anda cukup bertuah jika punyai ibu bapa yang peka dengan pendidikan anak-anak.

Sekurang-kurangnya mereka tahu bagaimana prestasi akademik anak dan mungkin akan segera mencari jalan penyelesaian dalam memastikan si anak cemerlang dalam peperiksaan.

Bagi Datin Wan Naimah Wan Daud iaitu ibu kepada lima orang anak, setiap kali tibanya peperiksaan besar, beliau memang tidak senang duduk.

"Ibu mana yang tak bimbang bila anak nak 'exam'. Macam saya, 24 jam bimbang. Gemuruh dan risau silih berganti bagaikan anak sedang berjuang di medan perang.

"Suami, Datuk Azhar Abdul Hamid pula lebih tenang dan terkawal perasaannya. Saya pula yang tak keruan," katanya.

Keluarga Wan Naimah sering bantu membantu antara satu sama lain.

Empat anak Wan Naimah iaitu Nur Azweena, 26 (graduan Queen Mary University of London); Nur Elianie, 23 (mahasiswa Universiti Alexandria, Mesir); Nur Aimie Wahida, 20 (Curtin University, Australia - cawangan Malaysia) dan Mohamad Azwa Arif, 19 (Cyberjaya University College of Medical Sciences, CUCMS) masing-masing sudah ke menara gading.

Cuma seorang sahaja lagi iaitu Mohammad Azham Arif, 16 yang bersekolah di tingkatan empat di SAS.

Wan Naimah berkata, dalam memastikan anak-anak cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki, beliau mengamalkan konsep 'mula dari awal'.

"Saya ambil contoh anak, Mohammad Azham Arif yang kini berada di tingkatan empat. Walaupun dia akan duduki 'exam' SPM tahun hadapan, tapi saya dah tak senang duduk.

"Saya dan suami memang tidak meletakkan sebarang target (berapa A+) yang perlu anak capai kerana ini hanya akan menjadikan Mohammad Azham Arif lebih tertekan dalam menghadapi peperiksaan," katanya.

Kata beliau, apa yang mereka tekankan adalah supaya anak mereka berusaha sebaik mungkin untuk mendapat ilmu pengetahuan melalui pelajaran di sekolah kerana mereka percaya bila mana anak-anak faham dan seronok belajar, maka kecemerlangan itu akan datang dengan sendirinya.

Tanya pada guru

Wan Naimah sentiasa berhubung dengan guru yang mengajar anaknya di sekolah untuk mengetahui mata pelajaran mana yang perlu diberi perhatian yang lebih dan secara khusus.

"Berdasarkan maklumat yang guru berikan, kami terus aturkan kelas tambahan untuk Mohammad Azham Arif iaitu menurut mata pelajaran yang diperlukan.

"Guru yang mengajar kelas tambahan ini kami pilih daripada kalangan guru cemerlang dan guru penanda kertas peperiksaan supaya anak didedahkan kepada teknik menjawab soalan yang betul selain cara pembelajaran serta pendekatan yang terbaik," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Naimah dan suami sentiasa memberi penekanan kepada aspek pemakanan anak sepanjang masa.

"Bila menjelang tahun peperiksaan, aspek ini akan kami tekankan. Misalnya makanan yang mengandungi kafein akan dielakkan ataupun dikurangkan.

"Aspek pengurusan masa juga kami utamakan. Jadual waktu pembelajaran yang berkesan dan bersesuaian dengan keperluan anak akan turut disediakan buat mereka," jelas beliau.

Akhir sekali, ibu ini sempat menitipkan sedikit nasihat buat semua anak-anaknya.

"Untuk berjaya dalam hidup bukanlah perkara yang mudah. Kita bukan sahaja harus bekerja keras tetapi kita juga mesti bijak mengambil dan menggunakan kesempatan yang ada.

"Rancang setiap tindakan kita kerana kegagalan merancang adalah petanda bahawa kita sebenarnya merancang untuk gagal," katanya.