Lain bapa, lain caranya. Bagi Gajendran Poon Chandoo, 55, perkembangan kesihatan anaknya, Subanan sangat penting buat masa sekarang.

Ini sebab, SPM sedang berlangsung dan jika tidak jaga kesihatan dengan baik, proses menjawab peperiksaan juga akan terganggu.

Selain kesihatan, Gajendran turut memastikan Subanan mengambil sarapan yang berkhasiat sebelum ke sekolah.

"Tidur yang mencukupi amat penting sepanjang 'exam' berlangsung. Kalau boleh, janganlah ibu bapa memberi tekanan pada anak.

"Jangan paksa mereka untuk belajar hingga larut malam," katanya.

Subanan adalah pelajar Sekolah Menengah Tinggi Kajang dan kini sedang menduduki peperiksaan SPM 2017.

Dia adalah anak kedua daripada dua beradik.

Kakaknya, Piryengkasai, 20, masih belajar di Universiti Teknologi Petronas, Perak dan Subanan telah menjadikan kejayaan kakaknya itu sebagai perangsang untuk dia meraih kecemerlangan dalam SPM.

Sementara itu, Gajendran berkata, persekitaran rumah yang selesa turut membantu seseorang itu membaca dengan tenang.

"Saya menyediakan suasana pembelajaran di rumah yang selesa untuk Subanan seperti sediakan muzik kegemarannya, meja belajar dan kerusi yang selesa, beli buku disukai dan banyak lagi.

"Tidak terkecuali saya bersama isteri, Leela Appalasamy membeli makanan dan minuman berkhasiat agar Subanan sentiasa bertenaga sepanjang musim peperiksaan ini," jelasnya.

Subanan di majlis graduasi yang dianjurkan pihak sekolah.

Gajendran tidak menjanjikan sebarang ganjaran yang mewah kepada Subanan jika anaknya itu mendapat 'straight' A dalam semua subjek.

"Mungkin saya akan bawanya makan angin jika berjaya dengan cemerlang. Kalau tak dapat pun tak mengapa, yang penting dia dapat duduki SPM dengan baik.

"Untuk Subanan, berusahalah dengan bersungguh-sungguh bagi mendapat kejayaan. Tiada jalan pintas buat anda. Kehidupan ini diberi dengan sempurna oleh Tuhan. Laluinya dengan tenang dan berdoalah kepada Tuhan," katanya.

Keluarga besar Subanan yang tidak pernah berhenti berdoa untuk kejayaannya.

Ulang kaji bersama rakan banyak membantu Subanan skor A dalam subjek tertentu.