Seramai 60 guru dan 150 pelajar daripada 10 sekolah di Segamat terlibat dalam sesi penyampaian maklumat dan ceramah serta aktiviti interaktif untuk menguasai ilmu kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

Program yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat itu dianjurkan sempena Karnival Profesor Bersama Masyarakat, baru-baru ini.

Rektor UiTM Johor, Profesor Madya Dr Naqiyuddin Bakar dalam ucapan perasmiannya berkata, program ini dapat memperlihatkan ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) dalam membantu dan memperbaiki sistem penyampaian serta kompetensi guru Stem.

“Program ini juga dapat memotivasikan pelajar dan menambah minat mereka dalam aliran sains dan teknologi dan selain MPN dan UiTM, kita juga mendapat kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Dalam keadaan dunia yang kini berada pada abad ke-21, gerakan pembaharuan bagi memberikan nafas baharu kepada pendidikan sains dan matematik di peringkat persekolahan telah bermula melalui pendekatan Stem ini,” katanya.

Naqiyuddin (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Stem Karnival Profesor Bersama Masyarakat di Dewan Temenggong, UiTM Kampus Segamat, di sini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Profesor UTM, Profesor Dr Omar Yaakob dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Mohd Shahrunizam Mohd Said.

Menurutnya, Stem penting sebagai persediaan kepada murid untuk menghadapi cabaran dan berdaya saing di peringkat global.

“Keperluan kepada Stem adalah jauh lebih tinggi berbanding bidang lain. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, 80 peratus bidang pekerjaannya adalah melibatkan bidang Stem. 

“Maka, pelajar perlu disediakan dengan bidang ini bagi membantu menyediakan lebih banyak sumber pekerjaan kepada negara,” katanya.

Guru sedang mengikuti program Stem.

Pembelajaran menyeronokkan

Naqiyuddin berkata, dalam hasil kajian yang lain juga mendapati kebanyakan negara maju menekankan Stem kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan masyarakat dan penyumbang kepada kemajuan ekonomi masa depan.

Katanya, pekerjaan medan Stem merupakan bidang paling banyak ditawarkan dan di Malaysia, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran Stem diperlukan untuk negara kekal berdaya saing di peringkat global.

“Pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berfokuskan murid dapat menghasilkan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan dan dapat meningkatkan minat serta kecenderungan murid terhadap Stem.

“Dikatakan murid yang mengikuti PdP Stem ini mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi, inovatif, berhemah tinggi, berdikari, celik teknologi, boleh menyelesaikan masalah dan membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya, bagi menyemai budaya sains, beliau yakin guru yang hadir dalam program ini akan menggunakan ruang pendidikan di sekolah masing-masing sebagai pentas untuk memupuk budaya Stem di sekolah.

Sekitar program.

Peserta yang menyertai program Stem.