SINGAPURA - Jumlah remaja yang mendapatkan bantuan bagi masalah kesihatan mental di republik ini akibat ketagihan pelbagai alat teknologi pintar di pasaran semakin meningkat.

Mediacorp melaporkan, perkara tersebut telah didedahkan oleh seorang pakar kaunseling berpengalaman iaitu Idah Kassim.

Beliau yang juga kaunselor kanan sebuah sekolah menengah di republik ini berkata, penggunaan teknologi dan media sosial yang tidak bertanggungjawab berisiko mendedahkan anak remaja kepada pelbagai masalah kesihatan mental seperti tekanan perasaan, keresahan dan kemurungan.

“Sekiranya mereka letakkan sesuatu hantaran itu dan mendapat maklum balas yang negatif, ini secara tidak langsung boleh menjejas nilai dan harga diri mereka di mana mereka rasa macam dibuli atau dibenci.

“Jadi hidup mereka tertumpu pada media sosial dan kesannya mendalam sebab ia boleh menjadi satu kebergantungan ekstrem yang ada orang sebut sebagai satu ketagihan,” katanya sebagaimana dipetik berkata.

Menurutnya, apabila kehidupan tidak terurus, sekolah tidak penting lagi bagi golongan remaja berkenaan.

“Isu teknologi kini semakin mencabar berbanding dahulu.

“Jika golongan remaja ini tidak ditangani seawal mungkin, ketagihan itu akan menjejaskan kesihatan mental mereka,” katanya.

Berdasarkan perangkaan Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH) dan Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH) yang dikeluarkan pada tahun lalu, jumlah remaja yang mendapatkan bantuan bagi masalah kesihatan mental naik sekitar 10 peratus hingga 15 peratus setiap tahun sejak 2012.

Meskipun bukan semuanya disebabkan oleh ketagihan teknologi, namun secara keseluruhannya ia adalah satu perkara yang serius.

Kerap berbual bersama anak bantu luahkan rasa hati mereka secara perlahan-lahan.

Ibu bapa main peranan

Idah berkata, ibu bapa juga harus memainkan peranan dalam memulakan perbualan dengan anak ketika berada di rumah.

Menurutnya, ia adalah satu kerjasama yang dianggap penting kerana ibu bapa dilihat sebagai orang utama untuk anak-anak mencari perlindungan dan berasa selamat.

“Kalau anak itu sendiri yang memulakan, mereka takut emak atau ayah itu marah kerana mereka selalu hendak menggembirakan ibu bapa.

“Kadang-kadang mereka takut hendak meluahkan jadi kita sebagai ibu bapa sendiri dapat bertanya dan berbual secara tidak formal kepada mereka," katanya.

Katanya, cara tersebut secara tidak langsung dapat membantu anak-anak mencurahkan suara hati mereka secara perlahan-lahan.

Sekolah jadi tidak penting lagi bagi remaja apabila hidup mereka tidak terurus.

Bimbingan kaunseling

Selain ibu bapa, beliau berkata, masalah dihadapi oleh remaja ini juga boleh ditangani melalui program pencelahan yang dibimbing oleh kaunselor.

Jelasnya, pihak sekolah biasanya akan mengambil pendekatan holistik termasuk bekerjasama dengan mengadakan program khusus dan sesi kaunseling yang berstruktur termasuk menekankan pendidikan kesejahteraan siber di dalam kurikulum.

Kata beliau, semuanya bertujuan menyediakan sokongan dan bantuan agar anak-anak remaja tidak terjerumus ke dalam masalah kesihatan mental yang lebih membimbangkan lalu menjurus kepada kemudaratan minda.

“Pandangan mengenai diri mereka sendiri pun negatif dan pada masa sama mereka juga mempunyai pemikiran yang tidak berasas.

“Misalnya kalau mereka gagal dalam satu ujian, mereka akan merasa gagal segala-galanya dalam kehidupan,” katanya,

Akibatnya, Idah berkata, remaja ini akan merasakan bahawa kehidupan mesti sempurna dari segi sudut segala aspek.

Media sosial berisiko dedah remaja kepada tekanan perasaan dan kemurungan.