PROSES merancang dan mereka bentuk adalah proses membentuk sebuah komunikasi yang berkesan.

Kedua-dua komponen memainkan peranan penting dalam memastikan mesej diterima oleh semua pihak.

Dalam pendidikan, transformasi komunikasi pada awalnya berasaskan media cetak iaitu melalui buku teks dan lembaran kerja beralih kepada penggunaan media elektronik seperti komputer dan gajet berasaskan internet yang memberi ruang kepada guru menyampaikan maklumat kepada murid dimana-mana sahaja tanpa mengira masa.

Persoalannya, adakah komunikasi tersebut berkesan kepada murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kepelbagaian ini perlu difahami dan dirangka  oleh guru bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai.

Sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru-guru telah menyertai pelbagai webinar yang dianjurkan oleh kumpulan guru seperti MIE dan CikgooTube.

Aktiviti tersebut telah memberi pengenalan pelbagai teknologi yang boleh digunakan untuk melaksanakan sesi pembelajaran pada situasi sekarang.

Kepelbagaian teknologi memerlukan kebijaksanaan guru dalam mewujudkan sebuah pembelajaran yang inklusif pendidikan digital bagi menyediakan peluang pembelajaran yang sama kepada murid-murid (Navarro et. at., 2016 ).

Ia bertujuan untuk memastikan pelajar yang mempunyai kepelbagaian keperluan menerima peluang yang sama dalam akses sumber, perkhidmatan dan pengalaman pendidikan (Florian & Linklater, 2010).

Konsep inklusif dalam pendidikan digital bererti murid berpeluang untuk belajar bersama-sama melalui akses pelantar dan sumber pembelajaran yang mudah dan mesra pengguna.

Justeru itu, inklusif dalam pendidikan boleh mengurangkan ketidakseimbangan dan meningkatkan tahap kompetensi semua murid secara bebas daripada kepelbagaian keperluan dan keutamaan. Selain itu memacu peningkatan inovasi dan produktiviti serta daya ekonomi jangka panjang (Hanushek & Woessmann, 2010; UNESCO, 2005).

Dalam perspektif ini, kepelbagaian merujuk kepada murid yang mempunyai latar demografi, ekonomi dan kompetensi ICT. Tiga latar ini merupakan faktor dominan dalam menyediakan pembelajaran pendidikan digital.

Dari aspek latar demografi, ia merujuk kepada kawasan tempat tinggal murid yang memberi kesan  terhadap capaian internet. Aspek ekonomi pula merujuk kepada kemampuan keluarga terhadap kos menyediakan talian internet dan gajet untuk akses pembelajaran.

Aspek kompetensi ICT murid merujuk kepada kemahiran murid dalam menggunakan teknologi untuk membantu pembelajaran mereka.

Perkara-perkara  ini perlu dipertimbangkan oleh guru sebelum pelaksanaan pendidikan digital. Hal ini penting bagi memastikan pembelajaran inklusif dapat berlaku dalam pembelajaran secara maya.

Dalam era pendidikan moden, penggunaan teknologi meningkatkan pembelajaran (Technology Enhance Learning) bertujuan untuk meningkatkan aspek kefahaman, pemikiran kritis dan penyelasaian masalah berbanding pelaksanaan pembelajaran mengingat (Jha&Parvatti,2014).

Walaubagaimana, sudah pasti ada halangan dan guru perlu mengikut prinsip-prinsip untuk mengelakan halangan iaitu  Representation, Action and Expression dan Engagement. Representation bermaksud kesamarataan akses kepada murid.

Action and expression merujuk kepada komunikasi alternatif kepada murid.

Engagement merujuk kepada strategi penglibatan semua murid dalam pembelajaran.

Perkara ini memerlukan kompetensi guru dalam mengenal pasti perbezaan antara murid (Watkin, 2012) serta mereka sebuah kerangka konsep inklusif pendidikan digital.

 Kita boleh menggunakan teknologi yang paling efisyen jika kita mempunyai kerangka konsep yang memenuhi keperluan prinsip tersebut.

Penggunaan halaman youtube membolehkan murid mengakses pembelajaran dengan lebih mudah kerana ia merupakan halaman yang mampan (Representation). Alternatif komunikasi belaku dengan adanya ruang Live Chat dimana komunikasi antara guru dengan murid berlaku secara dua hala melalui komunikasi tulisan (Action and expression).

Seterusnya, dengan berbantukan teknologi, guru perlu mewujudkan sebuah pembelajaran aktif secara maya menggunakan pendekatan yang sesuai mengikut situasi untuk mencapai objektif pembelajaran (Engagement).

Melihat situasi ini, kita dapat lihat bahawa penggunaan beberapa aplikasi memadai untuk mewujudkan sebuah pendidikan digital yang inklusif dan menepati prinsip-prinsip tersebut.

Kesimpulannya, guru merupakan penggerak dalam mewujudkan pembelajaran digital yang inklusif bermula dengan mengenal latar belakang murid dan menguasai pelbagai teknologi.

Kepekaan guru terhadap latar belakang murid, membolehkan guru merancang dan memilih teknologi yang sesuai terhadap bahan yang hendak diajar.

Pemilihan teknologi yang sesuai membolehkan murid-murid berkomunikasi secara dua hala tidak kira secara audio-vsual mahupun secara tulisan.

Kejayaan guru menwujudkan inklusif dalam pendidikan digital memberikan pengalaman bermakna kepada murid pada abad ke 21.

Teknologi itu memudahkan, membuka peluang, bukan menyulitkan.

   

Bibliografi

Navarro, S. B., Zervas, P., Gesa, R. F., & Sampson, D. G. (2016). Developing teachers' competences for designing inclusive learning experiences. Journal of Educational Technology & Society, 19(1), 17-27.

Florian, L., & Linklater, H. (2010). Preparing teachers for inclusive education: Using inclusive pedagogy to enhance teaching and learning for all. Cambridge Journal of Education, 40(4), 369–386.

Hanushek, E. A., & Woessmann, L. (2010). The High cost of low educational performance: The Long-run economic impact of improving PISA outcomes. Paris, France: OECD Publishing.

Jha,P., & Parvati, P. (2014) Assessing progress on universal elementaray education in India. Economic and Political Weekly, 49(16), 44-51

UNESCO. (2005). Guidelines for inclusion: Ensuring access to education for all. Paris, France: United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Watkins, A. (Ed.) (2012). Teacher education for inclusion: Profile of inclusive teachers. Odense, Denmark: European Agency for Development in Special Needs Education. Retrieved from https://www.european-agency.org/sites/default/files/Profile-ofInclusive-Teachers.pdf

Oleh,

Muhammad Sabiq Mohd Noor & Dr Mohd Asnorhisham Adam

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital Daerah Pasir Gudang, Johor

Tip menarik:

Ustazah Zulfa sediakan 10 soalan mudah untuk calon UPSR jawab – Boleh rujuk buku teks

Cikgu Mohd Azif kongsi set latihan Fizik untuk calon SPM ulangkaji sepanjang PKP

Latih tubi soalan objektif Matematik SPM 2020 – Perkongsian Guru Cemerlang

Teknik pencarian perkataan menggunakan kamus - Cara Cikgu Asraf ini buat murid jadi pantas

Nota poket bantu murid ingat fakta dengan tepat - Cikgu Ahmad Safarman